Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah yang dimaksudkan dengan solat Bardain dan apakah keistimewaannya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Firman Allah SWT:
حَافِظُوا عَلَى الصَّلَوَاتِ وَالصَّلاَةِ الْوُسْطَى وَقُومُوا لِلَّهِ قَانِتِينَ
Maksudnya: Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardhu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk.
(Surah al-Baqarah: 238)
Merujuk kepada dalil di atas, al-Qurtubi mentafsirkan maksud perkataan “peliharalah” ialah merujuk kepada suruhan Allah SWT ke atas hambanya supaya memelihara serta menjaga solatnya dengan mengerjakan solat tersebut dalam waktunya dan memenuhi syarat-syaratnya. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 3/212)
Menjawab persoalan di atas, kami katakan, solat Bardain (البَرْدَيْنِ) ini adalah solat Subuh dan Asar. Adapun kelebihannya sudah tentu mereka yang memeliharanya akan dapat memasuki syurga Allah SWT.
Daripada Abi Bakr ibn Abi Musa, daripada ayahnya, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
مَنْ صَلَّى البَرْدَيْنِ دَخَلَ الجَنَّةَ.
Maksudnya: “Sesiapa yang solat pada dua waktu yang dingin (Subuh dan Asar), dia akan masuk syurga.”
Riwayat al-Bukhari (574)
Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Dikehendaki dengan solat Bardain ialah Solat Fajar dan Asar, Hal ini berdasarkan hadith Jarir, iaitu solat sebelum keluarnya atau terbitnya matahari, dan sebelum tenggelamnya matahari. Tambahan dalam riwayat Muslim pula, disebut dengan solat Asar dan Fajar dan kedua-duanya dinamakan dengan solat Bardain kerana kedua-duanya dilakukan pada waktu hari yang mula sejuk, iaitu pada awal hari dan pada akhir hari. Mengikut riwayat Abu Ubaid, termasuk solat Bardain juga solat Maghrib. Al-Bazzar berkata: Taujih secara khusus dua solat ini yang membawa kepada masuk syurga bukan solat yang lain kerana ‘مَنْ’ di situ bersifat mausul, bukan syarat. Dan dikehendaki mereka yang melakukan kedua-duanya kerana inilah yang mula-mula difardhukan sebelum difardhukan lima waktu, kerana permulaan fardhu solat, adalah dua rakaat pada waktu pagi dan dua rakaat pada waktu petang. Kemudian dinasakhkan dengan difardhukan lima solat waktu. (Lihat Fath al-Bari, 2/53)
Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”
Surah Ibrahim (40-41)