Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh kisahkan kepada kami berkenaan dengan kisah Abu Afak yang dikatakan seorang yahudi selalu mencerca Rasulullah SAW?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Firman Allah SWT:
إِنَّ الَّذِينَ يُؤْذُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ لَعَنَهُمُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ وَأَعَدَّ لَهُمْ عَذَابًا مُّهِينًا
Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang melakukan perkara yang tidak diredai Allah dan RasulNya, Allah melaknatkan mereka di dunia dan di akhirat, dan menyediakan untuk mereka azab seksa yang menghina.
(Surah al-Ahzab, 33:57)
Ibn Kathir menyebut dalam tafsir: “Allah menjauhkan mereka daripada Rahmat-Nya di dunia dan di akhirat dan menjanjikan mereka di akhirat nanti azab yang menghinakan dan kekal di dalam azab itu selama-lamanya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 6/480)
Syeikh al-Maraghi: “Terdapat sesetengah manusia menyakiti Rasul-Nya seperti orang yang mengatakan Rasulullah SAW itu seorang penyair, ahli nujum, orang gila, dan banyak lagi kata-kata yang menyakitkan Baginda. Sesiapa yang menyakiti Rasul bererti dia menyakiti Allah SWT; dan sesiapa yang mentaati Rasul bererti dia mentaati Allah SWT. Allah SWT menjauhkan mereka daripada rahmat dan nikmat-Nya ketika di dunia lagi. Maksudnya, Allah SWT menjadikan mereka terus berada dalam kesesatan dan menjadikan mereka gembira melakukan kesesatannya itu. Kesesatan ini bakal menyeret mereka ke dalam neraka, sebagai tempat yang amat buruk; kemudian mereka akan dilaknat ketika ketika di akhirat nanti dengan memasukkan mereka ke dalam neraka yang membakar tubuhnya.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 22/35)
Menjawab persoalan di atas, kami katakan: Seorang Yahudi bernama Abu Afak, seorang syeikh yang sangat tua, terkenal dengan sindiran sengitnya terhadap umat Islam. Salim bin Umair R.A merupakan salah seorang sahabat yang menyertai Badar, dan dia terkenal menangis ketika membaca Al-Quran. Beliau bernazar untuk membunuh Abu Afak atau mati tanpanya. Abu Afak ialah seorang lelaki tua yang telah melebihi seratus dua puluh tahun, tetapi dia berniat jahat menghasut orang Islam dan Rasulullah SAW. Sehinggalah pada malam musim panas, mereka menyerbunya ketika dia sedang tidur di halaman, meletakkan pedang di dalam hatinya dan membunuhnya, dan apabila orang itu berteriak, orang ramai berkumpul dan menguburkannya di dalam rumahnya. (Lihat Garis Masa Hayat al-Rasul, hlm. 112)
Abu ‘Afak adalah seorang Yahudi yang biasa menghina Rasulullah SAW dengan puisi-puisinya dan menghasut manusia untuk menentang Baginda SAW. Oleh kerana itu, salah seorang sahabat R.A yang bernama Salim bin Umair pergi menemui Abu ‘Afak dan membunuhnya.
Kisah ini diriwayatkan di dalam Uyun al-Athar fi Funun al-Maghazi wa al-Syama’il wa al-Siyar: “Maka berlakulah misi Salim bin Umair Al-Amri melawan Abu ‘Afak si Yahudi di bulan Syawal, di awal bulan ke-2 setelah Hijrah Nabi SAW. Abu ‘Afak adalah lelaki yang berasal dari Bani Amr bin Auf. Dia adalah seorang lelaki tua yang berusia 120 tahun. Dia adalah seorang Yahudi, dan memiliki kebiasaan menghasut manusia untuk melawan Rasulullah SAW. Dia juga selalu membuat puisi-puisi jenaka jahat dan mempersendakan Nabi Muhammad SAW.
Salim bin Umar, yang merupakan salah seorang sahabat yang mudah menangis dan yang ikut serta di dalam Perang Badar, berkata: “Saya bersumpah bahawa saya akan membunuh Abu ‘Afak atau mati dalam usaha membunuh orang tersebut.” “Dia menunggu satu kesempatan hingga tiba suatu malam yang panas yang membuat Abu ‘Afak tidur di halaman. Salim bin Umair mengetahui hal tersebut lalu pergi ke arahnya, kemudian menempatkan pedangnya tepat di atas lehernya dan menikamnya sehingga tembus ke tilam (Abu ‘Afak). Musuh Allah ini menjerit dan beberapa pengikutnya lantas bergegas pergi menuju ke arahnya, membawanya masuk ke dalam rumah, dan menguburkannya.”
Terlalu banyak fatwa ulama’ berdasarkan hadith Nabi SAW bahawa haram menghina Rasulullah SAW, bahkan halal darahnya. Sabda Rasulullah SAW:
مَن سَبَّ نبيًّا فاقتُلوه
Maksudnya: “Siapa yang menghina Nabi maka hendaklah kamu bunuh.”
Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Saghir (659), al-Dailami dalam al-Firdaus (5688) dan Ibn ‘Asakir dalam Tarikh Dimasyq (5688).
Semoga Allah SWT menjadikan kita golongan yang kasih dan cinta kepada Rasulullah SAW serta mentaatinya. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”