Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Soalan saya berkaitan anjing  lepak atas simen halaman rumah. Ada kalanya ada bekas tapak kaki tapi tiada najis yang dikesan. Bagaimana cara untuk mensucikan tempat itu yang jadi laluan kita sebelum masuk dalam rumah? Adakah perlu di sertu? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Menurut mazhab Syafi‘i, anjing keseluruhannya adalah najis, tidak kira anjing terlatih atau selainnya, anjing kecil atau besar. Ini juga merupakan pendapat al-Auza‘i, Abu Hanifah, Ahmad, Ishaq, Abu Thaur dan Abu ‘Ubaid. Manakala al-Zuhri, Malik dan Daud pula berpendapat, anjing adalah suci kerana diwajibkan untuk membasuh bekas yang dijilat oleh anjing disebabkan oleh ta‘abbudi — yakni semata-mata mematuhi perintah Allah. Dinukilkan mengenai pendapat ini daripada al-Hasan al-Basri dan ‘Urwah bin al-Zubair. Mereka berhujah dengan firman Allah SWT:

فَكُلُوا مِمَّا أَمْسَكْنَ عَلَيْكُمْ

Maksudnya:Oleh itu makanlah daripada apa yang mereka tangkap untuk kamu.”

(Surah al-Ma’idah: 4)

Hal ini kerana dalam ayat di atas, tidak disebutkan untuk membasuh tempat yang disentuh atau dipegang oleh anjing terlatih itu ketika menangkapnya. Begitu juga berdasarkan riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, beliau berkata:

كَانَتِ الكِلاَبُ تَبُولُ، وَتُقْبِلُ وَتُدْبِرُ فِي المَسْجِدِ، فِي زَمَانِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَلَمْ يَكُونُوا يَرُشُّونَ شَيْئًا مِنْ ذَلِكَ

Maksudnya:Pada zaman Rasulullah SAW, anjing-anjing kencing dan keluar masuk ke dalam masjid. Tetapi mereka (para sahabat) tidak merenjis (membasuh) apa-apa pun (pada tempat itu).”

Riwayat al-Bukhari (174)

Manakala ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i berhujah bahawa anjing keseluruhannya adalah najis berdasarkan riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasululullah SAW bersabda:

إذا ولَغَ الكَلبُ في إناءِ أحدِكُم فلْيُرِقْهُ ثم ليَغسِلْهُ سَبعَ مَرّاتٍ

Maksudnya:Apabila anjing meminum pada bekas salah seorang daripada kamu, maka tuanglah (yakni buang) air itu. Kemudian, basuhlah ia (bekas) sebanyak tujuh kali.

Riwayat al-Nasa’i (66)

Hadith ini jelas menunjukkan kepada kenajisan anjing itu. Dalam erti kata lain, jika ia bukan dianggap sebagai najis, sudah tentu tidak diperintahkan untuk menuangnya — yakni membuang baki air daripada sisa minum anjing — kerana perbuatan tersebut termasuk dalam merosakkan harta benda dan kita dilarang daripada mensia-siakan (membazir) harta. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/567-568).

Selain daripada itu, kenajisan anjing juga dikategorikan sebagai najis mughallazah — yakni najis jenis yang berat. Dalil menunjukkan najis ini jenis yang berat ialah ia tidak memadai membasuhnya dengan air sekali sahaja seperti najis-najis yang lain. Dalam hal ini, ia mestilah dibasuh dengan air sebanyak tujuh kali, dan satu daripadanya dengan air tanah. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/40).

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami berpendapat dalam isu tapak kaki anjing di simen halaman luar rumah anda, ia dihukum sebagai suci dan bersih.  Ini adalah sebagaimana kaedah menyebutkan:

الْأَصْلَ فِي الْأَشْيَاءِ الطَّهَارَةُ حَتَّى تَتَحَقَّقَ النَّجَاسَةُ

Maksudnya:Asal bagi sesuatu adalah suci bersih sehinggalah ternyata kenajisannya.” (Lihat Tarh al-Tathrib fi Syarh al-Taqrib, 2/114).

Hal ini juga kerana kami mengambil kira faktor panas matahari, hujan, angin, tanah dan seumpamanya, secara tidak langsung, turut membantu dalam menghilangkannya. Selain itu, keadaan ini juga sekiranya berlaku adalah seperti umum al-balwa. Sementelahan, untuk mengawalnya adalah sangat susah. Pada masa yang sama, kita tidak mahu perkara ini membawa kepada timbulnya syak atau ragu-ragu sehingga menyusahkan ramai orang. Bertepatan dengan syariat Islam yang bersifat memudahkan dan tidak menyusahkan. Firman Allah SWT:

يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

Maksudnya: “(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.

(Surah al-Baqarah: 185)

Namun, sekiranya terdapat najis anjing di simen luar halaman rumah kita, maka wajib kita menyertunya kerana telah jelas najis anjing tersebut.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin. Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

 رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka”

Wallahu a‘lam

Leave a Reply