Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apakah hukum seorang yang menipu laporan kesihatan demi mendapatkan pekerjaan ? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Umumnya, perkataan ‘menipu’ menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat berasal daripada perkataan ‘tipu’ yang bermaksud perbuatan curang atau kata-kata dusta untuk menyesatkan orang. Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyebutkan, menipu ialah mengkhabarkan akan sesuatu berbeza dengan keadaan sebenarnya, sama ada dengan sengaja ataupun tersilap. Manakala Imam al-Nawawi menambah lagi dengan menyebutkan, sama ada perkhabaran itu perkara yang telah berlaku ataupun yang akan datang. (Lihat Fath al-Bari, 1/201; al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 1/69)

Perbuatan menipu termasuk dalam dosa-dosa besar. Hal ini adalah sebagaimana firman Allah SWT:

‎فَاجْتَنِبُوا الرِّجْسَ مِنَ الْأَوْثَانِ وَاجْتَنِبُوا قَوْلَ الزُّورِ

Maksudnya: “Maka jauhilah kekotoran syirik yang disebabkan oleh penyembahan berhala, serta jauhilah perkataan yang dusta.”

(Surah al-Hajj: 30)

Begitu juga Imam al-Nawawi turut menjelaskan bahawa telah jelas nas-nas daripada al-Quran dan al-Sunnah ke atas pengharaman berbohong. Ia termasuk dalam perbuatan dosa yang buruk dan suatu keaiban yang keji. Malah, para ulama telah menyatakan ijma‘ akan pengharamannya bersama-sama dengan nas-nas yang jelas. (Lihat al-Azkar, hlm. 377)

Lebih-lebih lagi terdapat sebuah hadith mengingatkan supaya menjauhi amalan berdusta agar tidak tercatat di sisi Allah SWT sebagai seorang pendusta. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

إِنَّ الصِّدْقَ يَهْدِي إِلَى البِرِّ، وَإِنَّ البِرَّ يَهْدِي إِلَى الجَنَّةِ، وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَصْدُقُ حَتَّى يَكُونَ صِدِّيقًا. وَإِنَّ الكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الفُجُورِ، وَإِنَّ الفُجُورَ يَهْدِي إِلَى النَّارِ، وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَكْذِبُ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللَّهِ كَذَّابًا

Maksudnya: “Sesungguhnya kejujuran itu membawa kepada kebaikan dan kebaikan itu membawa kepada syurga. Sesungguhnya seseorang itu sentiasa berlaku jujur sehingga dia ditulis di sisi Allah sebagai seorang yang jujur. Sesungguhnya pendustaan itu membawa kepada kejahatan, dan kejahatan itu membawa kepada Neraka. Sesungguhnya seseorang itu sentiasa berdusta sehingga dia ditulis di sisi Allah sebagai seorang pendusta.”

Riwayat al-Bukhari (6094)

Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa hadith di atas mengandungi galakan kepada setiap insan untuk bersifat dengan sifat benar dan melaziminya, serta larangan daripada berdusta dan bermudah-mudah dengannya. Hal ini kerana jika terlalu bermudah-mudah dengan sifat menipu ini, lama kelamaan akan menjadi biasa — sehingga layak ditulis sebagai seorang penipu. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 16/160)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan perbuatan menipu merupakan perbuatan yang amat tercela kerana ia merupakan perbuatan orang   munafik. Sebagai muslim hendaklah bersikap jujur dalam setiap perbuatan mahupun kata-kata kerana ia merupakan perintah Allah SWT. Oleh yang demikian, menipu dalam laporan kesihatan demi mendapatkan pekerjaan juga  termasuk dalam perbuatan yang tidak jujur yang diharamkan oleh Allah SWT sepertimana yang diriwayatkan daripada Abu Bakrah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَلاَ أُنَبِّئُكُمْ بِأَكْبَرِ الكَبَائِرِ؟ قُلْنَا: بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ، قَالَ: الإِشْرَاكُ بِاللَّهِ، وَعُقُوقُ الوَالِدَيْنِ، وَكَانَ مُتَّكِئًا فَجَلَسَ فَقَالَ: أَلاَ وَقَوْلُ الزُّورِ، وَشَهَادَةُ الزُّورِ، مَرَتَينِ». فَمَا زَالَ يَقُولُهَا، حَتَّى قُلْتُ: لاَ يَسْكُتُ

Maksudnya: “‘Hendakkah aku beritahu kepada kalian dosa paling besar di antara dosa-dosa besar?’ Kami berkata: ‘Sudah tentu wahai Rasulullah.’ Baginda bersabda: ‘Syirik kepada Allah dan derhaka kepada kedua orang tua.’ Ketika itu Baginda SAW bersandar, lalu baginda duduk dan berkata: ‘Ketahuilah, perkataan dusta dan kesaksian palsu,’ sebanyak dua kali. Baginda terus menyebutnya hingga aku berkata: ‘Baginda tidak diam’.”

Riwayat al-Bukhari (5977) dan Muslim (88)

Rasulullah SAW turut bersabda:

وَمَنْ غَشَّنَا فَلَيْسَ مِنَّا

Maksudnya: “Dan sesiapa yang menipu kami, maka dia bukan daripada kalangan kami.”

Riwayat Muslim (101)

Syams al-Haq al-‘Azim Abadi menukilkan daripada al-Khattabi, beliau menyebutkan bahawa hadith di atas bermaksud bukan berada di atas jalan dan mazhab kami (yakni panduan Nabi SAW). Dalam erti kata lain, sesiapa yang menipu saudaranya dan meninggalkan untuk menasihatinya, maka sesungguhnya dia telah meninggalkan petunjuk Baginda dan tidak berpegang dengan sunnah Baginda. Namun, terdapat sebahagian ulama berpendapat maksudnya ialah menafikannya daripada Islam. Akan tetapi takwilan ini tidak benar kerana makna yang dikehendaki daripada hadith tersebut ialah mengikuti panduan dan sunnah Nabi SAW. Hal ini dikuatkan lagi melalui firman Allah SWT:

فَمَن تَبِعَنِي فَإِنَّهُ مِنِّي ۖ وَمَنْ عَصَانِي فَإِنَّكَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Oleh itu, sesiapa yang menurutku (dalam Islam yang menjadi peganganku) maka ia adalah daripada golonganku; dan sesiapa yang menderhaka kepadaku (dengan menyalahi agamaku), maka sesungguhnya engkau Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (kiranya ia insaf dan bertaubat).” 

(Surah Ibrahim: 36)

Oleh itu, hadith ini menjadi dalil yang menunjukkan bahawa haramnya pebuatan menipu dan perkara tersebut telah disepakati. (Lihat ‘Aun al-Ma‘bud, 9/231)

Justeru kami katakan sebagai seorang Muslim, amatlah penting untuk menjauhi segala bentuk ketidakjujuran dalam setiap tindakan. Menipu adalah amalan yang sangat dimurkai dalam syarak, bahkan dianggap sebagai dosa besar. Dalam hal ini, kami menasihati agar bertaubat kepada Allah SWT dan menghindari perbuatan sedemikian. Tindakan menipu dalam laporan kesihatan untuk mendapatkan pekerjaan bukanlah tindakan yang jujur; sebaliknya, ia melanggar undang-undang dan mungkin membawa kesan  terhadap keberkatan rezeki yang diperoleh daripada pekerjaan tersebut.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Wallahua’lam

Leave a Reply