Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, kisah berlakunya Ghazwah Ghatfan?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Firman Allah SWT:
أُذِنَ لِلَّذِينَ يُقَاتَلُونَ بِأَنَّهُمْ ظُلِمُوا ۚ وَإِنَّ اللَّهَ عَلَىٰ نَصْرِهِمْ لَقَدِيرٌ
Maksudnya: Diizinkan berperang bagi orang-orang (Islam) yang diperangi (oleh golongan penceroboh), kerana sesungguhnya mereka telah dianiaya; dan sesungguhnya Allah Amat Berkuasa untuk menolong mereka (mencapai kemenangan).
(Surah al-Hajj: 39)
Nama “Ghathafan” berasal dari nama kaum yang berasal dari Bani Tsa’labah bin Muhairib. Orang-orang dari Ghathafan ini memiliki niat untuk menyerbu Kota Madinah, memerangi Rasulullah dan memerangi kaum Muslim yang ada di Madinah.
Peperangan ini berlaku pada bulan Rabiul Awwal, tahun ke-3 Hijrah. Peperangan ini diketuai Rasulullah SAW. Tibanya berita bahawa Bani Tha’labah dan Bani Muharib sedang bersiap-siap untuk menyerang Rasulullah SAW dengan diketuai Du’thur bin Al-Harith. Sebagai tindak balas, Rasulullah SAW menyerang mereka terlebih dahulu. Du’thur mengetahui hal ini dan lari bersama tentera mereka ke gunung-gunung berhampiran. Seorang lelaki bernama Jubar dari Bani Tha’labah tidak sempat melarikan diri, dan ditawan oleh Kaum Muslimin. Dia kemudian memeluk Islam di tengah jalan, dan menjadi penunjuk jalan. Hujan turun dengan lebat, Rasulullah dan pasukan berehat.
Ketika ini, Du’thur berjaya menyelinap dan mengacukan pedang ke tengkuk Rasulullah SAW dan bertanya: “Siapa yang dapat menyelamatkan kamu hari ini?”. Baginda menjawab: “Allah.” Terus pedang di tangan Du’thur jatuh. Rasulullah SAW pula mengacukan senjata itu dan bertanya: “Siapa yang dapat menyelamatkan kamu daripada aku hari ini?” Du’thur menjawab: “Tiada siapa.” Kemudian dia mengucap kalimah syahadah. Du’thur kemudian kembali kepada Bani Tha’labah dan Bani Muharib, menyerukan Islam. Rasulullah SAW dan pasukan pula menetap di lokasi tersebut selama 11 hari, kemudian pulang ke Madinah bersama tenteranya. (Lihat Garis Masa Hayat al-Rasul SAW, hlm. 114)
Setelah itu Du’thur datang menemui kaumnya di puncak gunung dan mengajak kaumnya masuk Islam. Serta meninggalkan sembahan berhala dan hanya menyembah kepada Allah. Setelah kejadian itu, turunlah ayat:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ هَمَّ قَوْمٌ أَنْ يَبْسُطُوا إِلَيْكُمْ أَيْدِيَهُمْ فَكَفَّ أَيْدِيَهُمْ عَنْكُمْ ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ وَعَلَى اللَّهِ فَلْيَتَوَكَّلِ الْمُؤْمِنُونَ
Maksudnya: “Hai orang-orang yang beriman, ingatlah kamu akan nikmat Allah (yang diberikan-Nya) kepadamu, di waktu suatu kaum bermaksud hendak menggerakkan tangannya kepadamu (untuk berbuat jahat), maka Allah menahan tangan mereka dari kamu. Dan bertakwalah kepada Allah, dan hanya kepada Allah sajalah orang-orang mukmin itu harus bertawakkal.”
(Surah al-Maidah: 11)
Nama penuh Du’thur ialah Du’thur bin al-Harith bin al-Muharib. Al-Zahabi berkata: Du’thur dalam hadith dari segi sanadnya pelik dan hampir sama dengan kisah Ghaurath. Begitu juga al-Hafiz, selepas menyebut kisahnya daripada jalan al-Waqidi berkata: Kisahnya hampir sama dengan kisah ‘Aurath bin al-Harith. Boleh jadi orang yang berlainan atau mempunyai dua nama. (Lihat al-Tajrid, 1/166 dan al-Isabah, 1/163)
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”
Surah al-Hasyr (10)