Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kisah Ghazwah Sawiq?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Ghazwah Sawiq berlaku pada bulan Syawal tahun ke-2 Hijrah. Peperangan ini diketuai Rasulullah SAW.
Secara ringkasnya, selepas matinya Abu Jahal di Perang Badar, Abu Sufyan diangkat menjadi Ketua Quraisy di Makkah. Dia bernazar tidak membasuh kepalanya dengan air selagi dia tidak dapat memerangi kaum Muslimin, maka Abu Sufyan nekad. 200 orang tentera berkuda dari Makkah bergerak hingga ke Uraidh, pinggiran Madinah. Di situ Abu Sufyan membunuh dua orang Muslim yang sedang bekerja di sebuah kebun. Rumah dan tanaman di situ dimusnahkan. Selepas itu mereka bergegas lari ke Makkah semula. Rasulullah SAW mempersiapkan 200 orang tentera sebaik sahaja khabar itu tiba dan mengejar mereka. Abu Sufyan dan tentera berjaya melarikan diri, dan semasa melarikan diri itu, mereka melemparkan ‘sawiq’(campuran gandum dan barli) untuk mengurangkan beban mereka. (Lihat Garis Masa Hayat al-Rasul SAW, hlm. 114)
Kami kemukakan peristiwa ghazwah ini secara terperinci sebagaimana dijelaskan oleh Syeikh al-Mubarakfuri dalam kitabnya, al-Rahiq al-Makhtum (hlm. 403):
Ketika Safwan bin Umayyah, orang Yahudi dan orang munafik sedang merencanakan rancangan dan tindakan mereka, Abu Sufyan pula memikirkan satu tindakan yang kurang biayanya tetapi ketara kesannya. Usaha itu perlu disegerakan demi menjaga nama baik kaumnya dan menzahirkan kekuatan yang ada pada mereka.
Sebelum itu, dia telah bernazar tidak akan membasahkan kepalanya jika berjunub melainkan setelah dia berjaya memerangi Muhammad SAW. Dia pun keluar bersama-sama 200 orang yang berkenderaan untuk melaksanakan sumpahnya itu. Apabila sampai di Sadr Qanah yang menghala ke sebuah bukit bernama Nabib berdekatan Madinah sejauh satu barid atau seumpamanya, dia pun berhenti di situ. Namun, dia tidak berani untuk menyerang Madinah secara terang-terangan. Lalu, dia pun menjalankan tindakan yang mirip kepada kerja lanun: dia masuk ke pinggir-pinggir Madinah pada waktu malam secara sembunyi-sembunyi. Dia pergi ke rumah Huyay bin Akhtab dan minta supaya dibukakan pintu tetapi Huyay enggan kerana takut.
Lalu, dia beredar dari situ dan pergi ke rumah Sallam bin Misykam (ketua Bani al-Nadhir dan pemegang tabung harta mereka) lalu meminta izin untuk masuk; Sallam memberinya izin. Sallam meraikannya serta menghidangkannya dengan arak dan menceritakan rahsia hal ehwal penduduk Madinah. Kemudian, Abu Sufiyan keluar dan pergi kepada teman-temannya lalu diutuskan satu kumpulan kecil untuk menyerang satu kawasan di pinggir Madinah yang bernama al-Arid. Di situ mereka memotong dan membakar pagar-pagar kebun kurma; mereka menemui seorang lelaki Ansar dan rakan sekutunya dalam kebun mereka lalu kedua- duanya dibunuh. Kemudian, kumpulan itu melarikan diri pulang ke Makkah.
Berita itu sampai ke pengetahuan Rasulullah SAW, lalu dengan segera Rasulullah SAW mengejar Abu Sufiyan dan pasukannya. Namun, pasukan Abu Sufyan dapat melarikan diri dengan pantas. Mereka membuang banyak tepung (sawiq) yang mereka bawa sebagai bekalan serta bekalan-bekalan lain untuk meringankan kenderaan mereka – keadaan itu yang membolehkan mereka melepaskan diri. Rasulullah SAW mengejar mereka sehingga ke Qarqarah al-Kudr. Kemudian, Rasulullah SAW pun berpatah balik. Tentera Islam membawa tepung-tepung yang dicampakkan oleh pasukan kafir itu; dan, mereka menamakan peristiwa ini sebagai Perang Sawiq (tepung). Peristiwa ini berlaku pada bulan Zulhijah, tahun 2 Hijrah, iaitu dua bulan selepas Perang Badar. Semasa meninggalkan Madinah, Rasulullah SAW telah melantik Abu Lubabah bin Abd al-Mundhir untuk memangku urusan hal ehwal di Madinah. (Lihat Zad al-Ma’ad, 2/90; al-Sirah al-Nabawiyyah oleh Ibn Hisyam, 2/44; seperti dalam al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 403)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَنْجِ الْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ
Maksudnya: “Ya Allah selamatkanlah orang-orang yang lemah dari kalangan orang-orang yang beriman.”
Riwayat al-Bukhari (6393)
اللَّهُمَّ مُنْزِلَ الكِتَابِ، وَمُجْرِيَ السَّحَابِ، وَهَازِمَ الأَحْزَابِ، اهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ
Maksudnya: “Ya Allah yang menurunkan Kitab, yang menjalankan awan, yang menghancurkan pasukan musuh, kalahkan mereka dan bantulah kami menewaskan mereka.”
Riwayat al-Bukhari (2965)