Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah terdapat cadangan secara sulit antara Umair bin Wahab al-Jumahi dengan Safwan bin Umaiyyah untuk membunuh Rasulullah SAW?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

وَأَسِرُّوا قَوْلَكُمْ أَوِ اجْهَرُوا بِهِ ۖ إِنَّهُ عَلِيمٌ بِذَاتِ الصُّدُورِ

Maksudnya: “Dan tuturkanlah perkataan kamu dengan perlahan atau dengan nyaring, (sama sahaja keadaannya kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada.”

(Surah al-Mulk: 13)

Al-Syaukani berkata: ‘وَأَسِرُّوا قَوْلَكُمْ أَوِ اجْهَرُوا بِهِ’ Kerana semua itu tetap diketahui oleh Allah SWT, dan kerana tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi daripada-Nya. ‘إِنَّهُ عَلِيمٌ بِذَاتِ الصُّدُورِ’ Yakni segala yang ada dalam lubuk hati. (Lihat Fath al-Qadir, 8/233)

Secara ringkasnya, selepas peperangan Badar, Umair bin Wahab al-Jumahi berada bersama Safwan bin Umayyah di Hijr Ismail di Makkah, kedua-keduanya pemimpin kafir Quraisy yang masih hidup. Kata Umair: “Kalaulah bukan kerana hutang yang mesti saya bayar, keluarga yang saya risaukan akan sia-sia setelah saya tiada, pastilah saya akan pergi menemui dan membunuh Muhammad, kerana sesuatu antara saya dan mereka. Anak saya menjadi tawanan mereka.”

Lalu, Safwan mengambil kesempatan itu dan berkata: “Saya yang akan menanggung untuk membayar semua hutangmu. Keluargamu biar tinggal bersama keluarga saya, saya akan menanggung mereka selama mereka hidup. Saya sama sekali tidak keberatan melindungi mereka. Kalahkanlah mereka.”

Perbualan itu hanya mereka berdua saja yang tahu. Setelah itu, Umair berangkat ke Madinah dengan membawa pedang dan para sahabat melihat kehadirannya di hadapan masjid di Madinah. Para sahabat terutamanya Umar bin Khattab sangat berhati-hati dan khuatir sekiranya Umair ada niat buruk kepada Rasulullah, namun Baginda memberi izin Umair mendekatinya. Umair berbual dengan Rasulullah, dan Baginda bertanya tentang hajat Umair datang ke situ.

Pada awalnya, Umair berdalih. Sudah pasti dia tidak ingin beritahu bahawa dia mahu membunuh Baginda. Kata Baginda: “Bukankah engkau telah duduk bersama Safwan bin Umayyah di Hijr Ismail. Kamu berdua menyebut tentang para pemimpin Quraisy yang dibuang ke dalam perigi di Badar.”

Rasulullah juga bercerita secara terperinci perbualan itu, sedangkan pada ketika itu hanya ada mereka berdua saja. Umair berasa sangat terkejut, siapa lagi yang memberitahu Rasulullah melainkan itu semua daripada Allah? Lalu, Umair memeluk agama Islam dan meminta izin Baginda untuk pulang ke Makkah semula. Sampai saja di Makkah, setelah Safwan mengetahui bahawa Umair telah masuk Islam, Safwan bersumpah tidak akan bercakap dengan Umair untuk selama-lamanya dan tidak akan membantunya lagi. (Lihat Garis Masa Hayat al-Rasul SAW, hlm. 112)

Syeikh al-Mubarakfuri dalam kitabnya al-Rahiq al-Makhtum menyebut:

Kekalahan orang musyrikin dalam Perang Badar telah menyemarakkan lagi api kemarahan mereka. Kota Makkah bagaikan kawah yang menggelegak, menyimpan dendam untuk menentang Rasulullah SAW. Dua orang jaguh mereka telah berkomplot mahu menghapuskan punca timbulnya perselisihan dan perbalahan serta kehinaan ini yang menurut dakwaan mereka ialah Rasulullah SAW.

Umair bin Wahab al-Jumahi bersama-sama Safwan bin Umayyah sedang duduk-duduk dalam Hijir Kaabah, iaitu tidak lama selepas Perang Badar (Umair ialah salah seorang Quraisy yang jahat dan kuat menyakiti Rasulullah SAW serta para sahabat Baginda SAW semasa di Makkah). Ketika itu, anaknya, Wahab bin Umair, telah menjadi tawanan Perang Badar. Dalam perbualan mereka, Umair menyebut-nyebut mengenai mayat-mayat yang dicampak ke dalam telaga serta mereka yang cedera. Lantas, Safwan berkata, “Demi Allah, ada baiknya kita masih hidup lagi selepas mereka.”

Umair pun berkata kepadanya, “Kamu benar. Demi Allah, kalaulah tidak kerana aku ini ada hutang yang perlu dilunaskan dan ada tanggungan- tanggungan yang dibimbangi hilang tempat bergantung selepas ketiadaan ku, nescaya akan aku pacu kenderaanku pergi membunuh Muhammad. Aku ada sebab untuk berbuat demikian kerana anakku sedang menjadi tawanan mereka.”

Mendengarkan kata-katanya, Safwan pun mengambil kesempatan dengan berkata, “Aku sanggup menanggung hutangmu dan aku akan melunaskannya bagi pihakmu; tanggunganmu akan bersama-sama dengan tanggunganku atau aku akan menjaga mereka selagi mereka masih hidup.” Lalu, Umair berkata kepadanya, “Tolong rahsiakan rancangan kita ini Safwan menajawab, “Baiklah.”

Umair kemudian menyediakan pedangnya lalu diasah dan diletakkan racun. Kemudian, dia pun bertolak ke Madinah. Semasa dia berada di pintu masjid, sedang menderumkan untanya, tiba-tiba Umar bin al-Khattab ra terpandang ke arahnya (ketika itu, Umar bersama-sama beberapa orang sahabat sedang berbual-bual mengenai kemuliaan yang Allah kurniakan kepada mereka dalam Perang Badar). Umar berkata, “Anjing ini adalah musuh Allah! Umair tentu ada niat buruk dengan kedatangannya ke mari” Kemudian, Umar pergi kepada Rasulullah SAW dan berkata, “Wahai Nabi Allah, ini dia seteru Allah! Umair yang datang sambil membawa pedangnya.”

Rasulullah SAW bersabda, “Bawakan dia masuk kepadaku.” Umair pun tampil dan disambut oleh Umar bin al-Khattab R.A sambil menggalas tali pedangnya. Umar berkata kepada beberapa orang lelaki Ansar, “Masuklah kepada Rasulullah SAW dan duduk di sisinya serta awasilah Rasulullah SAW daripada si kotor ini kerana dia ini tidak boleh dipercayai!” Kemudian Umar pun membawa Umair masuk. Apabila Rasulullah SAW melihatnya (ketika itu Umar sudah memegang tali pedangnya yang disangkut di lehernya), Baginda SAW berkata, “Hai, Umar. Lepaskan pedangmu, dan kamu Umair, marilah dekatku.”

Umair pun menghampiri Rasulullah SAW sambil berkata “Selamat pagi.” Rasulullah SAW menjawab, “Kami telah dimuliakan oleh Allah dengan ucapan yang lebih baik daripada ucapan kamu itu, hai Umair, iaitu dengan ucapan salam; ia adalah ucapan ahli syurga.”

Rasulullah SAW pun bertanya, “Apa tujuan kamu ke mari, hai Umair?” Jawab Umair, “Aku datang kerana tawanan ini yang berada dalam tanganmu, maka tolonglah layani dia dengan baik.” Rasulullah SAW bertanya lagi, “Mengapa engkau sangkutkan pedang di lehermu?”

Umair menjawab, “Adakah kita semua tidak perlu sedikit pun pada pedang?” Rasulullah SAW bertanya lagi, “Bercakap benarlah kepadaku, mengapa engkau ke mari?” Umair menjawab, “Aku tidak ada tujuan lain kecuali itu sahaja.”

Rasulullah SAW berkata, “Bahkan, engkau pernah duduk bersama-sama Safwan bin Umayyah dalam Hijir Kaabah, lalu kamu berdua menyebut tentang mayat-mayat orang Quraisy di telaga buruk itu. Kemudian, engkau berkata, ‘Kalaulah tidak kerana aku ada hutang dan tanggungan yang perlu aku sara, nescaya aku akan keluar untuk membunuh Muhammad. Kemudian, Safwan sanggup menanggung hutangmu dan tanggunganmu dengan syarat kamu membunuh aku, dan Allah menjadi penghalang antaraku dengan rancanganmu itu.”

Mendengarkan itu, Umair terus berkata, “Aku naik saksi bahawa engkau adalah Rasulullah. Wahai Rasulullah, dulu kami mendustakan kamu tentang berita-berita yang engkau bawa kepada kami dari langit serta wahyu yang diturunkan kepadamu. Sekarang urusan ini tidak disertai oleh sesiapa pun kecuali aku dan Safwan, maka, demi Allah, aku benar-benar yakin bahawa tidak ada yang memberitahumu tentang hal ini kecuali Allah. Alhamdulillah yang telah memberi hidayah untukku memeluk Islam dan membawaku dengan cara ini.” Kemudian, dia mengucapkan kalimah Syahadah. Lalu, Rasulullah SAW berkata, “Ajarilah saudara kamu ini tentang agamanya; bacakan al-Quran kepadanya dan bebaskan untuknya tawanannya.”

Sementara itu Safwan yang berada di Makkah berkata, “Terimalah berita gembira dengan satu kejutan yang akan sampai kepada kamu dalam beberapa hari lagi. Berita yang akan melupakan kamu kepada kenangan pahit di Badar.” Dia sering bertanya rombongan yang datang mengenai Umair, sehingga ada yang datang memberitahunya mengenai keislaman Umair. Lalu, Safwan bersumpah tidak akan bertegur sapa selama-lamanya dengan Umair dan tidak akan memberi sebarang bantuan kepadanya.

Kemudian, Umair pun pulang ke Makkah. Di Makkah, dia memainkan peranannya mengajak orang ramai memeluk Islam. Maka, ramailah orang yang memeluk Islam melalui dakwahnya. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 385; al-Sirah al-Nabawiyyah oleh Ibn Hisyam, 1/661)

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً  إِنَّكَ أَنتَ الْوَهَّابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat daripada sisi-Mu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberian-Nya.”

Leave a Reply