Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah permulaan peperangan Badar berlaku seorang sama seorang, dan boleh ceritakan kisah tersebut?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Firman Allah SWT:
وَلَقَدْ نَصَرَكُمُ اللَّهُ بِبَدْرٍ وَأَنتُمْ أَذِلَّةٌ ۖ فَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
Maksudnya: Dan sesungguhnya Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah (kerana kamu sedikit bilangannya dan kekurangan alat perang). Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur (akan kemenangan itu).
(Surah Ali Imran: 123)
Abu Bakar al-Jazairi ketika menfsirkan ayat ini beliau menyatakan bahawa: Allah SWT memperingatkan orang-orang yang beriman untuk tidak mengambil perlindungan dari golongan kafir dan munafik, dan memberitahu mereka bahawa jika mereka bersabar dan bertaqwa, tipu daya musuh mereka tidak akan mendatangkan kemudaratan kepada mereka. Allah mengingatkan mereka tentang dua keadaan: satu di mana mereka tidak bersabar dan tidak bertaqwa sehingga mereka ditimpa kekalahan, iaitu dalam peristiwa perang Uhud, dan yang kedua di mana mereka bersabar dan bertaqwa sehingga mereka memperoleh kemenangan dan mengalahkan musuh mereka, iaitu dalam peristiwa perang Badar. (Lihat Aisar al-Tafasir, 1/370)
Syeikh al-Mubarakfuri dalam al-Rahiq al-Makhtum menyebut:
Orang yang mula-mula mencetuskan peperangan ini ialah al-Aswad bin Abd al-Asad al-Makhzumiy. Dia adalah seorang lelaki yang jahat dan buruk akhlaknya. Dia keluar ke tengah medan dan berkata, “Aku berjanji kepada Allah bahawa aku akan minum air dari kolam mereka ini atau aku akan musnahkannya atau aku akan terkorban sebelum dapat meminumnya.” Apabila dia keluar untuk minum dari kolam tentera Islam, Hamzah bin Abd al-Muttalib R.A keluar untuk menghalangnya.
Apabila mereka bertemu, Hamzah R.A dengan segera melibaskan pedangnya sehingga menyebabkan kaki al-Aswad terputus separuh betisnya. Ketika itu, al-Aswad belum sampai ke kolam lagi. Dia terjatuh dengan darah kakinya memancut-mancut ke arah teman-temannya. Kemudian, dia merangkak untuk sampai ke kolam dengan tujuan mahu melaksanakan sumpahnya tadi. Akan tetapi, Hamzah R.A memukulnya kali kedua ketika al-Aswad sedang masuk ke dalam kawasan kolam itu.
Beradu kekuatan
Itulah permulaan tercetusnya peperangan. Selepas itu, keluar pula tiga orang pahlawan berkuda Quraisy yang terbilang dari satu keluarga. Mereka ialah Utbah dan saudaranya, Syaibah bin Rabi’ah serta anaknya al-Walid bin Utbah. Apabila mereka melepasi barisan hadapan, mereka mencabar untuk beradu kekuatan. Keluar tiga orang pemuda Ansar iaitu Auf dan Muadh bin al-Harith (ibu mereka berdua ialah Afra), dan Abdullah bin Rawahah. Ketiga- tiga orang pahlawan Quraisy itu berkata, “Kamu ini siapa?” Lalu, mereka menjawab, “Kami adalah sekumpulan orang Ansar.”
Berkata lagi pihak Quraisy, “Hantarkan kepada kami yang setaraf dengan kami. Kami tidak perlu kepada kamu; yang kami mahukan ialah dari kalangan kaum kerabat kami.” Kemudian, seorang penyeru di pihak mereka berseru, “Hai Muhammad! Keluarkan kepada kami mereka yang setaraf dengan kami daripada kalangan kaum kita!” Rasulullah SAW berkata, “Bangunlah, hai Ubaidah bin al-Harith; bangunlah Hamzah; bangunlah Ali.” Apabila mereka bertiga ini telah bangun dan menghampiri pahlawan Quraisy itu, berkatalah pahlawan Quraisy, “Siapakah kamu?” Lalu diberitahu kepada mereka. Maka, pahlawan Quraisy itu pun berkata, “Kamulah yang setaraf dengan kami.”
Lalu, Ubaidah selaku yang paling tua di antara mereka, beradu kekuatan dengan Utbah bin Rabiah; Hamzah R.A berlawan dengan Shaybah, dan Ali R.A berlawan dengan al-Walid. Hamzah R.A dan Ali R.A tidak mengambil masa yang lama untuk membunuh lawan masing-masing. Ubaidah pula saling tetak-menetak dengan lawannya sehingga kedua-duanya sama-sama menerima satu tetakan. Hamzah dan Ali segera menerkam ke arah Utbah lalu membunuhnya. Mereka mengusung Ubaidah yang telah terputus sebelah tangannya. Dalam keadaan tercedera begitu, Ubaidah masih dapat bertahan sehingga akhirnya beliau gugur di al-Safra selepas empat atau lima hari peperangan tersebut – iaitu, semasa tentera Islam dalam perjalanan pulang ke Madinah.
Ali R.A pernah bersumpah dengan nama Allah bahawa ayat al-Quran ini diturunkan berkaitan mereka:
هَٰذَانِ خَصْمَانِ اخْتَصَمُوا فِي رَبِّهِمْ ۖ فَالَّذِينَ كَفَرُوا قُطِّعَتْ لَهُمْ ثِيَابٌ مِّن نَّارٍ يُصَبُّ مِن فَوْقِ رُءُوسِهِمُ الْحَمِيمُ
Maksudnya: “Inilah dua golongan (mukmin dan kafir) yang berbantah-bantahan mengenai Tuhan mereka. Maka, orang yang kafir akan disediakan untuk mereka pakaian dari api neraka serta dicurahkan atas kepala mereka air panas yang menggelegak.”
(Surah Al-Hajj: 19)
Perlawanan tiga orang pahlawan ini berakhir dengan permulaan yang buruk di pihak orang musyrikin. Mereka telah kehilangan tiga orang terbilang daripada kalangan mereka, iaitu pahlawan berkuda dan pemimpin besar mereka dalam masa yang serentak. Lantaran itu, kemarahan mereka semakin meluap-luap; dengan segera mereka menyerbu ke arah tentera Islam.
Sementara itu, tentera Islam dengan penuh harapan bergantung kepada Allah dan meminta pertolongan daripada-Nya, mengikhlaskan hati berjuang di jalan-Nya, maka, mereka dengan cekal menghadapi serangan bertubi-tubi daripada tentera musyrikin. Mereka bertahan di kedudukan masing-masing dengan mengambil langkah defensif; mereka telah berjaya mengakibatkan kerugian yang besar di pihak tentera musyrikin. Sambil berjuang, mereka sentiasa melaungkan “Ahad! Ahad! (Allah Yang Esa! Allah yang Esa!)” (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 348)
Sesungguhnya, Allah SWT pasti menolong hamba-hamba-Nya yang berjuang untuk agama-Nya. Marilah sama-sama kita berdoa untuk sahabat-sahabat kita yang sedang bertarung dengan musuh Allah di bumi Palestin:
اللَّهُمَّ أَنْجِ الْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ
Maksudnya: “Ya Allah selamatkanlah orang-orang yang lemah dari kalangan orang-orang yang beriman.”
Riwayat al-Bukhari (6393)
اللَّهُمَّ مُنْزِلَ الكِتَابِ، وَمُجْرِيَ السَّحَابِ، وَهَازِمَ الأَحْزَابِ، اهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ
Maksudnya: “Ya Allah yang menurunkan Kitab, yang menjalankan awan, yang menghancurkan pasukan musuh, kalahkan mereka dan bantulah kami menewaskan mereka.”
Riwayat al-Bukhari (2965)