Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Soalannya, ada jemaah saya terpaksa menukar perjalanan ke Taif apabila hotel di Makkah hanya membenarkan daftar masuk satu hari lambat daripada jadual asal. Jemaah tidak berniat umrah di Bir Ali untuk ke Taif atas alasan untuk ke Taif. Keesokan harinya jemaah berihram di miqat Qarnul Manazil. Saya faham pandangan ulama berniat ihram di miqat asal atau miqat yang sama jarak dengannya. Pencerahan YBhg Dato Seri sangat diharapkan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, pertamanya, berihram atau berniat memulakan ibadah haji atau umrah merupakan salah satu rukun daripada rukun-rukun haji dan umrah. (Lihat al-Fiqh al-Syafi‘i al-Muyassar, 1/378.). Manakala berniat ihram di miqat pula termasuk dalam perkara-perkara wajib haji dan umrah. Dalam erti kata lain, seseorang yang ingin mengerjakan ibadah haji atau umrah wajib berniat ihram di miqat atau sebelum melepasi sempadan miqat tersebut kerana ia merupakan tempat yang telah ditentukan untuk berihram — yakni berniat memulakan haji atau umrah. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 488). Hal ini adalah berdasarkan kepada riwayat Abdullah bin Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

وَقَّتَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِأَهْلِ الـمَدِينَةِ ذَا الحُلَيْفَةِ، وَلِأَهْلِ الشَّأْمِ الجُحْفَةَ، وَلِأَهْلِ نَجْدٍ قَرْنَ الـمَنَازِلِ، وَلِأَهْلِ اليَمَنِ يَلَمْلَمَ، فَهُنَّ لَهُنَّ، وَلِمَنْ أَتَى عَلَيْهِنَّ مِنْ غَيْرِ أَهْلِهِنَّ لِمَنْ كَانَ يُرِيدُ الحَجَّ وَالعُمْرَةَ

Maksudnya:Rasulullah SAW menentukan miqat untuk penduduk Madinah ialah Zulhulaifah (atau dikenali juga sebagai Bir Ali), untuk penduduk Syam ialah Juhfah, untuk penduduk Najd ialah Qarn al-Manazil dan untuk penduduk Yaman ialah Yalamlam. Tempat-tempat ini merupakan miqat bagi penduduk negerinya dan orang-orang selain mereka yang berada di tempat itu, bagi sesiapa sahaja yang berniat melaksanakan haji dan umrah.

Riwayat al-Bukhari (1526)

Ibn al-Malak dalam Syarh al-Masabih (3/241) menjelaskan, lafaz “لِمَنْ كَانَ يُرِيدُ الحَجَّ وَالعُمْرَةَ” bermaksud bukannya orang yang langsung tidak ingin melaksanakan haji atau umrah.

Sehubungan dengan itu, sekiranya seseorang itu melepasi sempadan miqat tanpa berniat ihram, sedangkan dia ingin mengerjakan haji atau umrah, maka dikenakan ke atasnya dam. Akan tetapi dam tersebut boleh tergugur dengan syarat dia kembali semula (dengan segera) ke miqat yang dilepasinya sebelum melakukan apa-apa perbuatan haji atau umrah seperti tawaf dan lain-lain. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 491).

Muhammad al-Zuhaili menjelaskan lagi bahawa seseorang yang pergi ke Mekah dan ingin mengerjakan umrah atau haji, sekiranya dia melepasi sempadan miqat tanpa berniat ihram (sebelum atau di miqat itu), maka dia dianggap telah melakukan dosa, tidak kira sama ada dia berasal dari tempat tersebut ataupun tidak. Kemudian, wajib ke atas dirinya untuk kembali semula ke mana-mana miqat untuk berniat ihram sekiranya waktu yang ada masih luas dan jalan untuk ke sana aman. Jika dia kembali semula ke miqat, maka dia tidak dikenakan dam. Namun, sekiranya terdapat keuzuran bagi dirinya untuk kembali ke miqat seperti waktu yang ada sempit atau jalan untuk ke sana tidak selamat atau kerana sakit yang menyusahkan atau takut terpisah dengan rombongan, maka tidak diwajibkan ke atasnya untuk kembali dan dia berniat ihram di mana tempatnya berada. Bagi situasi ini, dia dikenakan dam kerana telah meninggalkan perbuatan berihram dari miqat (yang merupakan salah satu daripada perkara-perkara wajib haji dan umrah). (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 2/313)

Demikianlah juga, sekiranya seseorang itu terlupa untuk berniat ihram di miqat, maka wajib ke atasnya untuk segera kembali ke miqat bagi melakukannya dan sekiranya dia tidak kembali semula ke miqat, maka dia dikenakan dam kerana telah meninggalkan perkara wajib haji dan umrah. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 491; 506-507).

Selain daripada itu, Ibn Hajar al-Haitami juga ada menyebutkan bahawa sekiranya seseorang ketika di miqat dalam keadaan berniat untuk melaksanakan manasik (umrah atau haji), sama ada segera atau masa akan datang, maka dia wajib berniat ihram di miqat itu dengan manasik tersebut (jika dia mampu) atau yang setara dengannya (miqat tersebut jika dia tidak mampu untuk pergi ke miqat yang sepatutnya). Sekiranya tidak, dia dikira berdosa dan wajib ke atasnya dam berdasarkan syaratnya (jika dia tidak kembali sebelum melakukan apa-apa manasik — umrah atau haji tersebut). (Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 2/123; Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj wa Hawasyi al-Syarwani wa al-‘Abbadi, 4/46).

Walau bagaimanapun jika seseorang itu menuju ke Makkah dan langsung tidak berniat untuk melakukan umrah, misalnya bagi tujuan perniagaan, bermesyuarat, mutawif yang bertanggungjawab menguruskan jemaah dan seumpamanya, maka dia tidak wajib berniat ihram di miqat yang sepatutnya dan tidak dikenakan dam. Perkara ini turut disebutkan oleh Ibn Hajar al-Haitami bahawa sekiranya seseorang  ketika di miqat, dia berniat untuk pulang ke negaranya (tanah airnya) atau urusan-urusan yang lain (selain umrah atau haji) dan tidak terlintas langsung pada fikirannya menuju ke Makkah bagi tujuan melakukan manasik (haji atau umrah), maka tidak wajib ke atasnya berniat ihram di miqat. (Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 2/123; Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj wa Hawasyi al-Syarwani wa al-‘Abbadi, 4/46).

Adapun jika kemudiannya barulah dia terlintas untuk melakukan umrah setelah selesai urusannya itu atau setelah tiba di Makkah barulah dia berubah fikiran, maka dalam situasinya itu, dia hendaklah berniat ihram di Tan‘im atau mana-mana tanah halal sebagaimana miqat umrah bagi penduduk Makkah.

Mereka yang ingin mengerjakan umrah semasa berada di Makkah sama ada mereka penduduk Makkah atau orang asing, mereka wajib keluar dari Tanah haram untuk berihram umrah ke Tanah halal yang terdekat walaupun selangkah. Namun, jika berihram di Makkah, umrahnya tetap sah, tetapi wajib membayar dam. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/131). Hal ini adalah sebagaimana riwayat Aisyah R.Anha, beliau berkata :

يا رَسولَ اللَّهِ، اعْتَمَرْتُمْ ولَمْ أعْتَمِرْ، فَقالَ: يا عَبْدَ الرَّحْمَنِ، اذْهَبْ بأُخْتِكَ، فأعْمِرْها مِنَ التَّنْعِيمِ، فأحْقَبَها على ناقَةٍ فاعْتَمَرَتْ

Maksudnya: “Wahai Rasulullah, kamu semua sudah menunaikan umrah sedangkan aku masih belum. Kemudian baginda bersabda: ‘Wahai Abdurrahman, pergilah bersama saudaramu ini dan mulakanlah umrah dari Tan‘im.’ Maka, ‘Abd al-Rahman menaikkan Aisyah ke atas untanya, kemudian Aisyah melaksanakan umrah.

Riwayat al-Bukhari (1518) dan Muslim (1211)

Meninggalkan berniat ihram di miqat yang telah ditentukan termasuk dalam perkara meninggalkan wajib haji atau umrah. Maka seseorang yang meninggalkan wajib haji atau umrah hendaklah membayar dam mengikut urutan dan dan kadarnya ditetapkan (مرتب مقدر). Seseorang yang meninggalkan satu daripada wajib haji, dia wajib menyembelih seekor kambing yang layak untuk korban atau sama ada 1/7 lembu, atau unta.

Jika kesemuanya tidak didapati, dia wajib menggantikannya dengan berpuasa selama 10 hari, iaitu semasa haji dan tujuh hari setelah di tanah air. Termasuk dalam bahagian dam ini ialah dam haji Tamattu‘ dan dam kerana meninggalkan wuquf yang dilaksanakan selepas tahallul umrah. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/164).

Keduanya, berkenaan permasalahan memasuki Tanah Haram Makkah bagi penduduk luar, mesti dalam keadaan berihram ataupun tidak.[1] Berhubung dengan perkara ini, Imam al-Nawawi ada menyebutkan dalam kitabnya bahawa sesiapa yang datang bukan daripada kalangan  penduduk Tanah Haram Makkah hendaklah tidak memasuki Kota Makkah kecuali dalam keadaan berihram sama ada dengan ihram haji atau umrah. Adakah wajib baginya perkara itu atau disunatkan?

Mengenai hal ini, terdapatnya perselisihan pendapat yang masyhur dalam ulama kepada tiga pendapat. Pendapat yang paling sahih menyatakan hukumnya adalah disunatkan. Pendapat yang kedua pula menyatakan hukumnya adalah wajib. Manakala pendapat yang ketiga menyatakan jika dia ialah orang yang kerap kali masuk seperti pencari kayu api, pemberi minum air, pemburu dan seumpamanya, maka hukumnya tidak wajib. Namun, jika dia termasuk dalam kalangan orang yang tidak kerap kali masuk seperti peniaga, penziarah, utusan dan penduduk Makkah sendiri apabila pulang daripada permusafirannya,  maka hukumnya adalah wajib. (Lihat al-Taudhih Syarh al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al- ‘Umrah oleh Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, hlm. 144).

Ibn Hajar al-Haitami dalam hasyiahnya terhadap kitab ini menyatakan, lafaz “أَصَحُّهُمَا أَنَّهُ مُسْتَحَبٌّ” (iaitu pendapat yang paling sahih ialah mustahab — disunatkan) bermaksud makruh meninggalkannya dan disunatkan baginya untuk membayar dam pada apa yang zahir sebagai mengambil jalan keluar daripada khilaf sesiapa yang mewajibkannya. Begitu juga tidak ada beza berkenaan sunat berihram sama ada seseorang itu menuju Makkah atau Tanah Haram.

Sesuai dengan alasan mereka bahawa ia adalah sunat berdasarkan qiyas ke atas tahiyyatul masjid kerana orang yang masuk itu memperoleh sunnah berihram selepas dia masuk. Sehubungan dengan itu, adakah dia tidak mendapat pahala sunat tersebut disebabkan dia telah duduk atau dengan sebab tempoh masa yang lama? Namun, berdasarkan kepada kalam penulis, lebih cenderung kepada pendapat yang lemah bahawa dia terlepas daripada mendapat pahala sunat tersebut sebaik sahajadia memasukinya dan bukan selepas suatu tempoh yang lama. Oleh itu, hal ini menyerupai tahiyyatul masjid dari segi setiap perbuatan yang menunjukkan kepada penghormatan dan pengagungan. (Lihat Hasyiah al-‘Allamah Ibn Hajar al-Haitami ‘ala Syarh al-Idhah fi Manasik al-Hajj, hlm. 219-220).

Ketiganya, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami katakan bahawa sekiranya seseorang yang ingin mengerjakan umrah melewati kawasan miqat dari arah perjalanannya tanpa berniat ihram maka dia telah dikira meninggalkan salah satu perkara wajib umrah dan dikenakan dam — iaitu seekor kambing.

Namun, dalam situasi di atas, kami melihat hal ini juga termasuk dalam perbahasan ulama berkenaan mereka yang meninggalkan miqat yang pertama (iaitu Zulhulaifah) dan pergi ke miqat yang kedua (iaitu Qarnul Manazil). Para ulama berselisih pendapat mengenai hal ini kepada sekurang-kurangnya dua pendapat.

Pendapat pertama: Diwajibkan bagi sesiapa yang ingin mengerjakan haji dan umrah untuk berniat ihram di miqat pertama yang dilaluinya. Sekiranya dia melepasi miqat tersebut tanpa berniat ihram (umrah atau haji), maka dia dikenakan dam. Inilah pendapat jumhur ulama.

Pendapat kedua: Tidak diwajibkan bagi sesiapa yang ingin mengerjakan haji dan umrah untuk berniat ihram di miqat pertama yang dilaluinya. Sebaliknya dia dibolehkan untuk berniat ihram di miqat yang seterusnya yang akan dilaluinya, dan dia tidak dikenakan dam. Ini merupakan pendapat ulama Hanafiyyah, Malikiyyah, Abu Thaur dan Ibn al-Munzir dalam kalangan Syafi‘iyyah. (Lihat Fatawa al-Syabakah al-Islamiyyah, 11/19340).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa sekiranya jemaah yang terpaksa menukar perjalanan ke Taif terlebih dahulu untuk bermalam di sana sebelum menuju ke Makkah, maka ia bergantung kepada niat asalnya. Jika dia berniat untuk mengerjakan umrah tetapi terpaksa ke Taif untuk bermalam di sana disebabkan oleh ketiadaan penginapan di Makkah, maka dia hendaklah berniat ihram di miqat Zulhulaifah atau Bir Ali kerana dia bertolak dari Madinah dan melalui miqat tersebut. Hal ini berdasarkan hadith Ibn ‘Abbas yang telah dibahaskan di atas, berdasarkan kepada kehendak dan niatnya untuk melaksanakan umrah. Sabda Nabi SAW:

لِمَنْ كَانَ يُرِيدُ الحَجَّ وَالعُمْرَةَ

Maksudnya:Bagi sesiapa sahaja yang berniat melaksanakan haji dan umrah.

Riwayat al-Bukhari (1526)

Sebaliknya, jika memang tiada niat untuk melaksanakan umrah dan niat tersebut baru mendatang ketika di Taif, maka tidak mengapa mereka tidak berniat ihram di miqat Bir Ali atau Zulhulaifah beralasan untuk ke Taif dan tidak bercadang pada awalnya mengerjakan umrah. Namun, mereka hendaklah berniat ihram di miqat Qarnul Manazil kerana ia adalah miqat bagi sesiapa yang bertolak dari arah Taif. Kami katakan di sini, walaupun terdapat pendapat yang mengharuskannya (tajawuz miqat) tetapi mengambil jalan ihtiyat (berhati-hati) dan keluar daripada khilaf adalah lebih utama seperti mana kaedah:

الخُرُوجُ مِنَ الخِلَافِ مُسْتَحَبٌّ

Maksudnya:Keluar daripada khilaf adalah digalakkan (sunat).” (Lihat al-Qawaid al-Fiqhiyyah baina al-Asalah wa al-Taujih, 14/1).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”

Nota kaki:

[1] Berkemungkinan yang dimaksudkan di sini ialah seseorang yang ingin memasuki Makkah bukan bagi tujuan melakukan umrah.

Leave a Reply