Soalan

Seorang lelaki ini telah berkahwin dengan seorang janda yang mempunyai anak-anak perempuan, kemudian setelah beberapa tahun mereka berkahwin, telah berlaku penceraian di atas mereka. Jadi persoalan saya, apakah hubungan antara lelaki tersebut dengan anak-anak perempuan janda tersebut, adakah mereka masih dikira mahram, sedangkan lelaki tersebut telah bercerai dengan ibu anak-anak perempuan tersebut? Mohon pencerahan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Mahram dari sudut istilah para fuqaha’ bermaksud: ‘’Seseorang yang diharamkan untuk kita berkahwin dengannya dan pengharamannya tersebut adalah dalam bentuk al-ta’bid (selama-lamanya) dengan sebab yang mubah bukan kerana kemuliaannya dan bukan juga kerana terdapat penghalang yang boleh hilang’’. (Lihat Kasyifah al-Saja, hlm. 114)

Penjelasan berkenaan dengan golongan yang dianggap sebagai mahram ini ada dinyatakan dalam firman Allah SWT :

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهَاتُكُمْ وَبَنَاتُكُمْ وَأَخَوَاتُكُمْ وَعَمَّاتُكُمْ وَخَالَاتُكُمْ وَبَنَاتُ الْأَخِ وَبَنَاتُ الْأُخْتِ وَأُمَّهَاتُكُمُ اللَّاتِي أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَاتُكُم مِّنَ الرَّضَاعَةِ وَأُمَّهَاتُ نِسَائِكُمْ وَرَبَائِبُكُمُ اللَّاتِي فِي حُجُورِكُم مِّن نِّسَائِكُمُ اللَّاتِي دَخَلْتُم بِهِنَّ فَإِن لَّمْ تَكُونُوا دَخَلْتُم بِهِنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ وَحَلَائِلُ أَبْنَائِكُمُ الَّذِينَ مِنْ أَصْلَابِكُمْ وَأَن تَجْمَعُوا بَيْنَ الْأُخْتَيْنِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا

Maksudnya: Diharamkan ke atas kamu ibu-ibu kamu, anak-anak perempuan kamu, adik beradik perempuan kamu, ibu-ibu saudara kamu (dari sebelah bapa), ibu-ibu saudara kamu (dari sebelah ibu), anak-anak saudara perempuan kamu (dari sebelah adik beradik lelaki kamu), anak-anak saudara perempuan (dari sebelah adik beradik perempuan kamu), ibu-ibu susuan kamu, adik-beradik perempuan susuan kamu, ibu-ibu kepada isteri-isteri kamu, anak-anak perempuan kepada isteri kamu yang telah kamu setubuhi. Sekiranya kamu belum bersetubuh dengan mereka maka tidak ada dosa ke atas diri kamu. Dan isteri-isteri kepada anak-anak lelaki kandung kamu (menantu perempuan), dan (perbuatan) menghimpunkan antara dua adik beradik perempuan melainkan apa yang telah berlaku pada masa dahulu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. ( Surah Al-Nisa’: 23)

Pengharaman berkahwin dengan wanita tertentu terbahagi kepada dua. Yang pertama ialah Muabbad iaitu haram untuk bernikah selama-lamanya. Yang kedua ialah tahrim muaqqat iaitu haram berkahwin buat sementara waktu disebabkan ada faktor-faktor yang menghalang. Jika ia tetap dilakukan maka ia tergolong di dalam akad yang batil dan tidak sah pernikahan tersebut.

Melalui ayat di atas para ulama, para ulama telah membuat ringkasan bahawa seorang individu menjadi mahram kepada individu yang lain adalah disebabkan oleh 3 faktor. 3 faktor tersebut ialah :

  1. Nasab (النسب)
  2. Perkahwinan (المصاهرة)
  3. Penyusuan(الرضاعة)

Menjawab persoalan di atas, anak tersebut menjadi mahram kepada bapa tiri tersebut dengan syarat dalam perkahwinan tersebut, telah berlaku persetubuhan antara bapa tiri dan ibunya. Hal ini meletakkan hubungan mahram tersebut dalam kategori mahram disebabkan oleh perkahwinan (al-Musoharah). Jika berlaku demikian, maka secara automatik, anak tersebut menjadi mahram

وَرَبَـٰٓئِبُكُمُ ٱلَّـٰتِى فِى حُجُورِكُم مِّن نِّسَآئِكُمُ ٱلَّـٰتِى دَخَلْتُم بِهِنَّ فَإِن لَّمْ تَكُونُوا۟ دَخَلْتُم بِهِنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ

Maksudnya : …” dan anak-anak tiri yang dalam pemuliharaan kamu dari isteri-isteri yang kamu telah campuri; tetapi kalau kamu belum campuri mereka (isteri kamu) itu (dan kamu telahpun menceraikan mereka), maka tiadalah salah kamu (berkahwin dengannya)…”

(Surah al-Nisa’: 23)

Imam al-Syaukani menyatakan :“Para ulama telah berijmak bahawa jika seorang lelaki berkahwin dengan seorang wanita kemudian dia menceraikannya atau mati sebelum menyetebuhinya maka halal bernikah dengan anak wanita tersebut.”  (Lihat Fath al-Qadir, 2/113)

Ini bermakna, jika wanita tersebut disetubuhi maka anak-anak perempuannya akan menjadi mahram kita. Ini juga adalah berdasarkan kaedah yang masyhur :

العَقْدُ عَلَى البنات يحرم الأمهات والدخول بالأمهات يحرم البنات

Maksudnya: “Akad (nikah) dengan anak perempuan mengharamkan ibu-ibu. Dan menggauli ibu mengharamkan anak-anak perempuan.”

Sebagai penutup, kami nyatakan bahawa tiada sebarang masalah jika berlaku sentuhan dan bersalaman dengan anak daripada jandanya tersebut kerana anak-anaknya telah menjadi mahram baginya.

Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman dalam memahami agama ini. Ameen.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 17 Februari 2022 bersamaan 15 Rejab 1443H

Leave a Reply