Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah Rasulullah SAW menggembala kambing dan mungkin boleh nyatakan kepada kami sebahagian hikmahnya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Syeikh Muhammad al-Ghazali menyebut: Kemudian, Nabi SAW kembali daripada perjalanan jauh dan meneruskan hidup dengan bertungkus-lumus bersama bapa saudaranya. Sesungguhnya sikap berpeluk tubuh bukanlah satu sifat lelaki sejati. Para rasul sebelum Baginda SAW juga menyara hidup dengan usaha tangan sendiri dan melakukan pelbagai jenis pekerjaan.
Diriwayatkan secara sahih bahawa Nabi Muhammad SAW telah bekerja pada awal hidupnya sebagai penggembala kambing. Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Baginda SAW pernah bersabda:
كُنْتُ أَرْعَاهَا عَلَى قَرَارِيطَ لِأَهْلِ مَكَّةَ
Maksudnya: “Aku pernah menggembala kambing untuk penduduk Makkah dengan upah beberapa qirat.”
Riwayat al-Bukhari (2262)
Al-Hafiz Ibn Hajar berkata, bahawa qirat adalah satu bahagian tertentu daripada sekeping wang dinar atau dirham. (Lihat Fath al-Bari, 7/99)
Rasulullah SAW pernah menggembala kambing bersama saudara susuannya di perkampungan Bani Sa’ad di mana berlakunya peristiwa dua malaikat yang datang membelah dada Baginda. Selain itu, al-Bukhari meriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Tidak ada Nabi kecuali telah pernah menjadi penggembala kambing.” Para sahabat bertanya, “Engkau juga ya Rasulullah?” Baginda menjawab, “Ya, aku telah menggembala dengan upah beberapa dinar daripada penduduk Mekah.” (Lihat Sahih al-Bukhari, Kitab al-Ijarah, 3/48)
Daripada Jabir bin Abdillah R.Anhuma, katanya, “Pada suatu ketika, kami bersama Nabi SAW di tempat bernama Marr al-Zahran. Kami memetik buah yang matang dari pohon bernama al-Araak. Lalu Nabi SAW berkata, “Pilihlah yang berwarna hitam.” Kami pun bertanya, “Wahai Rasulullah, seolah-olah Baginda pernah menggembala kambing?” Baginda menjawab, “Ya, tidak ada seorang Nabi kecuali telah menjadi penggembala kambing,” atau hampir itulah maksudnya. (Lihat Sahih Muslim, 3/1621)
Al-Hafiz Ibn Hajar berkata, “Hikmah di sebalik penggembalaan kambing sebelum masa kenabian tiba adalah agar mereka terbiasa mengatur kambing, yang nanti dengan sendirinya akan terbiasa menangani permasalahan umat manusia.” (Lihat Fath al-Bari, 1/144).
Saya katakan, kambing ada yang bersifat menguasai, ada yang kena tanduk, ada yang lemah. Ini semua memerlukan penggembala mengatur dan memberi makan kepada setiap kambingnya agar semuanya cukup makan dan gemuk. Untuk itu, sebuah didikan awal dalam mengurus binatang kepada mengurus manusia selepas itu.
Sebenarnya, Rasulullah SAW juga ingin mengajar kepada kita agar berusaha dan mencari rezeki yang halal kerana ia adalah lambang kemuliaan seseorang tanpa mengharapkan bantuan dan ihsan serta meminta-minta daripada orang lain. Benarlah hadith Nabi SAW, seperti riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ طَلَبَ الدُّنْيَا حَلَالَا اسْتِعْفَافًا عَنِ الْمَسْأَلَةِ ، وَسَعْيَا عَلَى أَهْلِهِ ، وَتَعَطُّفًا عَلَى جَارِهِ ، جَاءَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَوَجْهُهُ كَالْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ
Maksudnya: “Barangsiapa mencari rezeki halal untuk menjaga diri daripada meminta-minta, dan dengan tujuan memenuhi nafkah keluarga, serta supaya dapat membantu tetangganya, nescaya dia akan datang pada hari Kiamat dengan wajahnya yang berseri-seri seperti bulan di malam purnama.”
Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (9890) dan al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (3465)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”