Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh ceritakan kisah datuk Nabi SAW yang bernama Ka’ab?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Ka’ab merupakan datuk Nabi yang nama sebenarnya Zaid. Ia adalah anak kepada Lu’ay bin Ghalib. Ka’ab adalah datuk Nabi yang ke-9.

Menurut al-Suhaili, ada pendapat menyatakan, dia dinamakan sedemikian kerana dia menyembunyikan dirinya daripada kaumnya dan kerana sisi lembutnya kepada mereka. Perkataan Ka‘ab diambil daripada كَعْب الْقدَم (tumit kaki). Manakala Ibn Duraid pula berpendapat, ia berasal daripadaكَعْبِ الْقَنَاةِ” (tiub saluran air). Selain itu, ada juga yang berpendapat, dia dinamakan sedemikian kerana ketinggian kedudukannya dan kemuliaannya dalam kalangan kaumnya. Oleh sebab itu, mereka patuh dan taat kepadanya sehinggakan mereka merekodkan tarikh kematiannya. Beliau juga ialah orang pertama yang menghimpunkan kaumnya pada hari Jumaat, yang dahulunya mereka namakan sebagai hari ‘Arubah sehinggalah datangnya Islam. (Lihat Fath al-Bari oleh Ibn Hajar, 7/163).

Pada hari tersebut, kaumnya (Quraisy) akan berhimpun kepadanya. Kemudian dia akan menyampaikan khutbah kepada mereka. (Dalam khutbah itu) dia mengingatkan mereka dengan perutusan Nabi SAW dan memberitahu mereka bahawasanya Nabi tersebut daripada keturunannya. Bukan itu sahaja, dia turut memerintahkan mereka untuk mentaati Nabi tersebut dan beriman dengannya. Selain itu, dia turut mendendangkan beberapa bait syair mengenai perkara tersebut. Di antaranya:

يَا لَيْتَنِي شَاهِدٌ فَحْوَاءَ دَعْوَتِهِ                إذَا قُرَيْشٌ تُبَغّي الْحَقّ خِذْلَانًا

“Seandainya daku dapat menyaksikan ketika Baginda menyampaikan risalahnya.

                    Pada masa Quraisy menjauhi kebenaran dan meninggalkannya (tidak menyokongnya).”

(Lihat al-Mawahib al-Laduniyyah, 1/60; al-Raudh al-Unuf, 1/29).

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا

Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”

Leave a Reply