Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, siapakah Ilyas dan juga salah seorang datuk Nabi SAW?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Ilyas adalah datuk Nabi Muhammad SAW yang ke-18, anak kepada Mudhar bin Nizar.

Ibunya bernama al-Rabab binti Humairah bin Ma‘ad bin ‘Adnan. Menurut Ibn al-Anbari, perkataan Ilyas dibaca dengan baris bawah pada huruf hamzah, dan ia berasal daripada pola kata “إِفْعَالٌ” berdasarkan kepada kata-kata mereka: “رَجُلٌ أَلْيَسُ” iaitu dia seorang yang berani yang tidak melarikan diri. Manakala Qasim bin Thabit pula berpendapat, ia dibaca dengan baris atas. Huruf lam dan hamzah dalam perkataan itu adalah lam al-Ta‘rif dan hamzah wasal. Inilah pendapat yang paling tepat menurut al-Suhaili. Menurut al-Qastalani, dia ialah orang pertama yang mengorbankan unta untuk al-Bait al-Haram. (Lihat al-Mawahib al-Laduniyyah, 61/1; Fath al-Bari oleh Ibn Hajar, 164/7; al-Raudh al-Unuf, 31/1).

Ilyas bin Mudhar merupakan pemimpin Bani Isma’il di Makkah dan tokoh pada zamannya. Al-Zubair bin Bakkar berkata: “Ilyas bin Mudhar telah mengingkari perbuatan bani Ismail yang mereka telah mengubah sunnah-sunnah yang baik daripada ibu bapa mereka yang terdahulu. Maka nyatalah kelebihan Ilyas di sisi mereka sehingga mereka cenderung kepada pendapatnya dan bersama dengan pendapat Ilyas serta mereka redha dengan sikapnya. Akhirnya Ilyas dapat mengembalikan mereka ke arah sunnah-sunnah ibu bapa mereka. Maka jadilah sunnah mereka kembali dengan sempurna mengikut zaman awalnya.” Lihat al-Iktifa’ bi ma Tadhammanuhu min Maghazi Rasul Allah wa al-Thalathah al-Khulafa’, 1/15)

Ibn Dihyah al-Kalbi berkata: Adalah Ilyas bin Mudhar pemegang wasiat ayahnya. Beliau adalah seorang yang tampan, cerdik dan beragama. Orang Arab keseluruannya memuliakannya. Dan dia lah orang yang pertama mati dengan sebab penyakit sul. (Lihat Nihayah al-Arab fi Funun al-Adab, 16/11)

Abu Hilal al-’Askari berkata: Adalah Ilyas bin Mudhar orang pertama yang menghadiahkan unta kepada Baitullah atau Ka’bah. (Lihat al-Awa’il, hlm. 60)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نسْأَلُكَ الْهُدَى ، وَالتُّقَى ، وَالْعَفَافَ ، وَالْغِنَى

Maksudnya: “Wahai Allah! Sesungguhnya kami memohon kepada-Mu petunjuk, ketakwaan, sifat iffah dan kekayaan.”

Leave a Reply