Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya adakah benar riwayat yang mengatakan bahawa Sayyidina Umar al-Khattab pernah dileteri dan dimarahi oleh isterinya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ
Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang.”
(Surah al-Rum: 21)
Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menjelaskan bahawa ayat ini merupakan antara ayat-ayat Allah — yakni bukti dan tanda-tanda — yang menunjukkan kepada al-Ba‘th — yakni kebangkitan, — di mana Dia menciptakan untuk kamu pasangan-pasangan daripada jenis manusia juga, agar kamu dapat mewujudkan ketenangan dan kesenangan. Dia juga menumbuhkan rasa cinta dan kasih sayang antara suami isteri. (Lihat al-Tafsir al-Wajiz, hlm. 407)
Adalah menjadi kewajipan bagi suami isteri untuk saling melayani antara satu sama lain dengan cara yang baik. Ini bagi memastikan kehidupan rumahtangga dapat diteruskan dengan sejahtera dan harmoni. Yang demikian boleh dilihat melalui firman Allah SWT:
وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ
Maksudnya: “Dan bergaullah dengan mereka (golongan wanita) dengan cara yang makruf.”
(Surah al-Nisa’:19)
Imam al-Qurtubi ketika menafsirkan ayat ini berkata: (Iaitu) dengan cara yang Allah perintahkan daripada pergaulan yang baik. Seruan ini adalah kepada semua, kerana setiap seorang itu mempunyai pergaulan sama ada seorang suami atau seorang wali. Akan tetapi yang dimaksudkan dengan perintah ini secara kebiasaannya adalah para suami. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 5/84)
Dalam menjawab bagi persoalan di atas , dikisahkan bahawa seorang lelaki datang kepada Umar untuk mengadu mengenai sikap isterinya. Dia menunggu di pintu Umar dan mendengar isterinya mengeluarkan kata-kata kasar tanpa Umar menjawab. Lelaki itu kemudian pergi sambil berkata, ‘Jika ini adalah keadaan Amir al-Mukminin Umar ibn al-Khattab, bagaimana pula keadaanku?’ Umar keluar dan mendengar keluhan lelaki tersebut. Lelaki itu berkata, ‘Wahai Amir al-Mukminin, aku datang untuk mengadu mengenai sikap isteriku yang kasar kepadamu, dan aku mendengar isterimu juga melakukan hal yang sama. Aku kembali dan berkata, ‘Jika ini adalah keadaan Amir al-Mukminin bersama isterinya, bagaimana keadaanku?’ Umar berkata kepadanya: Aku menanggung sikap isteriku kerana hak-hak yang dia lakukan kepadaku. Dia memasak untuk makananku, membuat roti , mencuci pakaian , dan menyusukan anak-anakku, walaupun itu bukanlah kewajipannya. Hatiku tenang dengan keberadaannya daripada melakukan yang haram. Aku menanggung hal itu. Lelaki itu bertanya, ‘Wahai Amir al-Mukminin, adakah isteri saya juga seperti itu?’ Umar menjawab: Terimalah dan tanggunglah wahai saudaraku, kerana itu hanyalah sekejap .
Namun kisah ini kami tidak mendapati sumbernya yang asal dan tidak ada juga dikalangan ulama hadith yang membahaskannya melainkan ia dinukilkan oleh Syeikh Sulaiman Bin Muhammad al-Bujairimi dalam Hasyiah ala Syarh al-Minhaj (hlm.517). Begitu juga Abu al-Laith al-Samarqandi ulama dalam mazhab Hanafi dalam kitabnya Tanbih al-Ghafilin (hlm.517). Begitu juga dinyatakan oleh Ibn Hajar al-Haitami dalam kitab al-Zawajir (2/80). Tidak ada seorang pun dari kalangan mereka yang menyatakan sanadnya, akan tetapi mereka menukilkan dengan lafaz yang menunjukkan lemah seperti dikatakan atau dikisahkan. Ini menunjukkan kisah ini adalah tidak sahih.
Kisah ini juga bertentangan dengan apa yang masyhur tentang Umar R.A di mana sifat keperibadian dan kewibawaannya yang dihormati di mata orang ramai, maka bagaimanakah pula dengan isteri-isterinya ? Ibn ‘Abbas R.Anhuma berkata:
مَكَثْتُ سَنَةً أُرِيدُ أنْ أسْأَلَ عُمَرَ بنَ الخَطّابِ عن آيَةٍ، فَما أسْتَطِيعُ أنْ أسْأَلَهُ هَيْبَةً له
Maksudnya: Sepanjang satu tahun aku ingin bertanya kepada Umar bin Khattab tentang satu ayat, tetapi aku tidak mampu bertanya kepadanya, kerana (menghormati) kewibawaannya
Riwayat Bukhari(4913) dan Muslim (1479)
Kisah isteri Umar yang meninggikan suara kepadanya, sehingga dapat didengarnya dari luar, sedangkan dia diam adalah perbuatan tercela yang tidak dapat diterima. Yang mengetahui keperibadian Amir al-Mukminin pasti menolak perbuatan itu dengan tegas. Beliau adalah yang ditakuti oleh syaitan, jika beliau melalui satu jalan, syaitan akan mengambil jalan yang lain. Oleh itu, sikap wanita yang meninggikan suara dan mengungkit-ungkit pada suami bukanlah cara yang diamalkan oleh para salaf.[1]
Sebagai kesimpulannya, kami ingin menyatakan bahawa kisah ini tidak mempunyai sumber asal yang sahih. Oleh itu, tidak sesuai digunakan sebagai dalil yang membenarkan wanita meninggikan suara terhadap suami mereka. Perbuatan ini bukan sahaja tercela, tetapi juga menunjukkan pergaulan yang buruk yang diharamkan oleh syarak.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ وَالأَدْوَاءِ
Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”
Wallahua’lam
Nota kaki:
[1] Lihat : https://islamqa.info/ar/answers/179442/%D9%87%D9%84-% Diakses pada 15 Disember 2023