Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum wanita membotakkan rambut? Bukan sekadar mencukur nipis, sekadar menggunakan mesin trim dengan tetapan paling nipis.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Dalam menjawab persoalan saudara, kami katakan bahawa hukum asal bagi wanita adalah tidak dibenarkan untuk mencukur rambutnya. Ini jelas dalam riwayat Saidina ‘Ali bin Abi Talib R.A, bahwa Rasulullah SAW bersabda:
نَهَى رَسُولُ اللَّهِ ﷺ أَنْ تَحْلِقَ الْمَرْأَةُ رَأْسَهَا
Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang wanita dari mencukur kepala mereka.”
Riwayat al-Tirmizi (914) dan al-Nasa’ie (5049)
Syeikh ‘Abd al-Rahman al-Mubarakfuri mengatakan, yang dimaksudkan adalah mencukur rambut ketika tahallul atau pada waktu lainnya secara mutlak. Dan hadith ini merupakan dalil bahawa tidak boleh bagi wanita untuk mencukur kepalanya ketika tahallul, bahkan yang disyari‘atkan bagi mereka hanyalah memendekkan rambut sahaja. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 3/566)
Ini dikuatkan lagi dengan sebuah riwayat daripada ‘Abdullah bin ‘Abbas R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَيْسَ عَلَى النِّسَاءِ حَلْقٌ وَإِنَّمَا يُقَصِّرَنَّ
Maksudnya: “Tidak boleh bagi seorang wanita mencukur (rambutnya), akan tetapi dipendekkan sahaja.”
Riwayat Abu Daud (1984), al-Darimi (1905) dan al-Tabarani (13018)
Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin ketika ditanya tentang masalah ini, beliau menjawab, ahli ilmu mengatakan bahawa haram bagi wanita untuk mencukur rambutnya kerana perbuatan tersebut menyerupai lelaki, sedangkan Rasulullah SAW telah melaknat wanita-wanita yang menyerupai lelaki. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 13/10)
Diriwayatkan daripada ‘Abdullah bin ‘Abbas R.A, katanya:
لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ ﷺ المُتَشَبِّهِينَ مِنَ الرِّجَالِ بِالنِّسَاءِ، وَالمُتَشَبِّهَاتِ مِنَ النِّسَاءِ بِالرِّجَالِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW melaknat lelaki yang menyerupai perempuan dan perempuan yang menyerupai lelaki.”
Riwayat al-Bukhari (5885)
Lebih teruk lagi sekiranya wanita yang mencukur rambutnya itu bertujuan untuk menyerupai budaya barat. Diriwayatkan daripada Ibn ‘Umar R.A, Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
Maksudnya: “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah daripada kalangan mereka.”
Riwayat Abu Daud (4031), Ahmad (5114) (5115) (5667), Ibn Abi Syaibah di dalam Musannafnya (19401), al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsat (8327), al-Baihaqi dalam Syu‘ab al-Iman (1154) dan al-Bazzar dalam Musnadnya (2966)
Imam Ibn Kathir menyatakan bahawa hadith ini menunjukkan larangan keras dan amaran bagi sesiapa yang menyerupai orang kafir pada ucapan, perbuatan, pakaian, perayaan, ibadah dan lain-lain perkara yang tidak disyariatkan serta ditetapkan ke atas kita. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/87)
Imam al-San‘ani menyebutkan, hadith ini menunjukkan sesiapa yang menyerupai atau meniru orang yang fasiq, orang kafir, atau pembuat bidaah maka dia adalah daripada kalangan mereka (sama seperti mereka). Di mana dia meniru apa yang khusus bagi mereka seperti pakaian, tunggangan atau gerak-geri mereka.” (Lihat Subul al-Salam, 4/175)
Berbeza situasinya jika wanita tersebut bertindak mencukur rambutnya atas alasan yang diharuskan oleh syara‘, seperti adanya dharurat. Sebagai contoh, wanita itu ditimpa kemalangan sehingga memerlukannya untuk mendapatkan rawatan di bahagian kepala, dan rawatan ini tidak boleh diteruskan melainkan dengan dicukur rambutnya. Kewajiban yang perlu diutamakan di sini adalah menyelamatkan nyawa wanita tersebut, maka hukum mencukur rambutnya itu juga boleh berubah menjadi wajib kerana adanya keperluan mendesak. Kaedah fiqh ada menyebutkan:
مَا لَا يَتِمُّ الوَاجِبُ إِلَّا بِهِ فَهُوَ وَاجِبٌ
Maksudnya: “Suatu kewajiban yang tidak sempurna melainkan dengannya maka ia juga wajib.”
Keharusan melakukan perkara yang asalnya adalah haram (wanita mencukur rambut) juga adalah bertepatan dengan kaedah fiqh yang menyebutkan:
الضَّرُورَاتُ تُبِيحُ الْمَحْظُورَاتِ
Maksudnya: “Dharurat mengharuskan perkara-perkara yang dilarang atau diharamkan.”
Imam Syams al-Din al-Ramli mengatakan, sebahagian fuqaha’ mengecualikan larangan mencukur rambut bagi wanita ini sekiranya terdapat kesakitan di kepalanya, yang mana ianya tidak dapat dihilangkan melainkan dengan mencukurnya sebagai langkah merawat penyakit kulit dan sebagainya. (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 3/304)
Syeikh Mansur al-Buhuti pula mengatakan, sekiranya di sana terdapat keuzuran seperti penyakit kulit, maka tidaklah dilarang (wanita mencukur rambut). Dan diharamkan untuk mencukur rambutnya kerana musibah seperti ditampar pipi atau terkoyak bajunya. (Lihat Kassyaf al-Qina‘, 1/78)
Kesimpulan
Natijah dari perbincangan ini, wanita tidak dibenarkan untuk mencukur rambutnya tanpa sebarang sebab yang diharuskan oleh syara‘. Akan tetapi, sekiranya terdapat keperluan yang mendesak untuk dia berbuat demikian, maka Islam memberikan keringanan bagi menjaga maqasid syari‘ah yang utama, iaitu menjaga nyawa.
Adapun perbuatan mencukur rambut semata-mata ingin menyerupai sesiapa sahaja yang mereka minati, seperti yang berlaku dalam budaya barat, maka perbuatan ini diharamkan oleh syara‘.
Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam beragama. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Wallahu a‘lam