Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya apakah hukum memakai barang yang ada lambang union jack (bendera uk)? contohnya baju dan keychain. Apakah hukum menghadiahkan magnet keychain yang ada gambar cross (chrsitianity) i.e. salib? contohnya magnet atau barang yang mempunyai bendera swiss union jack. Kalau sekiranya barang tersebut sebagai contoh pen yang ada lambang st andrews cross (denmark), bolehkah dihadiahkan kepada orang? . Terima kasih

adzimah286@gmail.com

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT kepada Rasulullah SAW:

قُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ ‎﴿١﴾‏ لَا أَعْبُدُ مَا تَعْبُدُونَ ‎﴿٢﴾‏ وَلَا أَنتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ ‎﴿٣﴾‏ وَلَا أَنَا عَابِدٌ مَّا عَبَدتُّمْ ‎﴿٤﴾‏ وَلَا أَنتُمْ عَابِدُونَ مَا أَعْبُدُ ‎﴿٥﴾‏ لَكُمْ دِينُكُمْ وَلِيَ دِينِ ‎﴿٦﴾‏

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Hai orang-orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku.”

(Surah al-Kafirun: 1-6)

Syeikh Muhammad al-Amin al-Syinqiti menyebutkan di dalam tafsirnya, Allah SWT memerintahkan Rasulullah SAW untuk menzahirkan bahawa Baginda berlepas diri daripada amal perbuatan buruk yang dilakukan oleh orang-orang bukan Islam, hal ini sebagai tanda pengingkaran terhadap perkara tersebut. Ini juga bagi menzahirkan kewajiban untuk menjauhi perbuatan mereka itu, sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah SWT di dalam ayat di atas. (Lihat Adhwa’ al-Bayan, 2/157)

Allah SWT juga telah menyebutkan dengan jelas bahawa satu-satunya agama yang diredhai oleh Allah SWT adalah agama Islam. Ini sebagaimana yang disebutkan dalam firman Allah SWT:

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا ۚ

Maksudnya: “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.”

(Surah al-Ma’idah: 3)

Imam Ibn Jarir al-Tabari ketika menafsirkan firman Allah SWT ‘وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا’ (dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu), maksudnya adalah “Aku redha kamu pasrah kepada perintah-Ku, dan tunduk kepada ketaatan-Ku atas apa yang disyariatkan kepada kamu semua, berupa batas-batas-Nya, kewajiban-kewajiban-Nya dan tanda-tanda-Nya.” Dan firman Allah SWT ‘دِينًا’ (Agama bagimu), maksudnya adalah “Ketaatan kamu semua kepada-Ku.”

Jika seseorang berkata, “Tidakkah Allah SWT hanya meredhai Islam bagi Aaa-hamba-Nya kecuali selepas Dia menurunkan ayat ini?” Katakanlah, “Allah SWT sentiasa mereredhai bagi makhluk-Nya Islam sebagai agama, tetapi Dia masih memurnikan Nabi Muhammad SAW dan sahabat-sahabatnya dalam darjat serta martabat Islam, darjat demi darjat, martabat demi martabat, dan keadaan demi keadaan, sehingga sempurna bagi mereka syariat-syariat dan tanda-tanda-Nya, dan mencapai darjat dan martabat yang paling tinggi.” (Lihat Jami‘ al-Bayan, 8/331)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan pada asalnya kita dilarang sama sekali menyerupai kaum kafir baik dari segi perbuatan, akhlak mahupun kata-kata. Hal ini ditegaskan melalui hadith yang diriwayatkan daripada Ibn Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُم

Maksudnya: “Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah daripada kalangan mereka.”

Riwayat Abu Daud (4031), Ahmad (5114) (5115) (5667), Ibn Abi Syaibah di dalam Musannafnya (19401), al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsath (8327), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (1154) dan al-Bazzar dalam Musnadnya (2966)

Imam al-Hafiz Ibn Kathir menyatakan bahawa: Hadith ini menunjukkan larangan keras dan amaran bagi sesiapa yang menyerupai orang kafir pada ucapan, perbuatan, pakaian, perayaan, ibadah dan lain-lain perkara yang tidak disyariatkan serta ditetapkan ke atas kita. (Lihat: Tafsir Ibn Kathir, 1/87)

Al-Imam al-San’ani menyebut: “Hadith ini menunjukkan sesiapa yang menyerupai atau meniru orang yang fasiq, orang kafir, atau pembuat bidaah maka dia adalah daripada kalangan mereka (sama seperti mereka). Di mana dia meniru apa yang khusus bagi mereka seperti pakaian, tunggangan atau gerak-geri mereka.” (Lihat: Subul al-Salam Syarh Bulugh al-Maram, 4/175)

Dalam hal ini, memberikan hadiah berupa magnet, keychain, atau barang dengan gambar salib, kami katakan bahwa jika gambar itu diberikan dengan tujuan khusus yang menghormati lambang keagamaan Kristian, tindakan tersebut tidak dibenarkan. Namun, jika hadiah tersebut bukan diberikan dengan maksud khusus terhadap lambang tersebut, misalnya keychain bendera Denmark atau Switzerland yang mengandungi lambang salib, maka tidaklah menjadi kesalahan kerana lambang tersebut bukanlah yang menjadi fokus utama atau tujuan dalam pemberian tersebut.

Justeru, selagi mana tidak memuliakan atau mengagungkan apa-apa unsur yang melibatkan agama lain maka kami katakan bermuamalah dengannya adalah harus. Walaubagaimanapun seboleh-bolehnya kita mengelakkan diri dari terlibat dengan unsur-unsur tersebut demi menjaga akidah dan keimanan sebagai seorang muslim. Begitu juga, mengelakkan daripada tempat atau suasana yang memberi tohman fitnah. Hal ini berdasarkan kaedah:

اتَّقُوا مَواضِعِ التُّهَمِ

Maksudnya: “Berhati-hatilah kalian dengan ruang-ruang tohmahan.”

Kaedah ini diambil daripada kata-kata Saidina Umar RA,

مَنْ سَلَكَ مَسَالِكَ التُّهَمِ اتُّهِمَ

Maksudnya: “Barangsiapa yang menempuhi laluan-laluan tohmahan, nescaya akan ditohmah.”

Riwayat al-Khara’iti dalam Makarim al-Akhlaq daripada ‘Umar secara mauquf, sepertimana disebut oleh Mulla ‘Ali al-Qari dalam al-Asrar al-Marfu‘ah fi al-Akhbar al-Maudhu‘ah (hlm. 80).

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa.

Wallahua’lam

 

Leave a Reply