Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Saya bekerja di office dengan non Muslim. Boleh ke saya kongsi berus basuh pinggan dan microwave dengan mereka? Mohon pencerahan. Terima kasih.

nabil706@gmail.com

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya, orang kafir atau non-Muslim tidak dihukumkan sebagai najis secara hakiki. Najis yang dimaksudkan dalam ayat 28 daripada Surah al-Taubah[1] adalah merujuk kepada kekotoran dan kenajisan dalam akidah orang bukan Islam, yang perlu dihindari, bukan pada badan mereka. Apatah lagi Islam mensyariatkan harus berkahwin dengan Ahli Kitab, dan peluh mereka itu jika bernajis maka tidak selamatlah suami mereka daripada najis itu. Para jumhur juga menjawab bahawa Nabi SAW pernah berwuduk dengan bejana orang musyrik, mengikat tawanan musyrik di dalam masjid, memakan keju daripada negara Nasrani dan memakan lauk kambing yang dihadiahkan Yahudi. (Lihat Nail al-Autar, 1/35).

Begitu juga Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari menyebutkan, manusia itu dimuliakan. Implikasi kepada kemuliaan tersebut, mereka tidak dihukumkan sebagai najis apabila telah mati, sama ada mereka itu Muslim atau kafir (bukan Islam). Manakala najis yang dimaksudkan di dalam ayat 28 daripada Surah al-Taubah ini ialah kepercayaan mereka atau perintah supaya menjauhi mereka seperti najis, dan bukannya kenajisan pada jasad mereka. (Lihat Asna al-Matalib, 1/10).

Di samping itu, Imam al-Nawawi turut menyebutkan, tidak ada beza (dari segi hukum sucinya) pada peluh, air liur, hingus dan air mata, antara orang yang berjunub, perempuan yang haid, orang yang suci, Muslim dan kafir. Bahkan kesemuanya itu adalah suci daripada mereka, dan daripada haiwan yang suci. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/577).

Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, cukuplah bagi kita untuk mengambil hukum zahir berdasarkan apa yang berlaku. Kaedah mengatakan:

نَحنُ نَحكُمُ بالظَوَاهِرِ واللهُ يَتَوَلَّى السَّرَائِرَ

Maksudnya: “Kita menentukan hukum berdasarkan perkara-perkara yang nyata zahir sedangkan Allahlah yang menguasai perkara-perkara yang rahsia.” (Lihat al-Fath al-Mubin, hlm. 316).

Hal ini kerana hukum asal bagi sesuatu adalah suci sebagaimana kaedah menyebutkan:

الْأَصْلَ فِي الْأَشْيَاءِ الطَّهَارَةُ حَتَّى تَتَحَقَّقَ النَّجَاسَةُ

Maksudnya:Asal bagi sesuatu adalah suci bersih sehinggalah ternyata kenajisannya.” (Lihat Tarh al-Tathrib fi Syarh al-Taqrib, 2/114).

Oleh yang demikian, tidak mengapa dan tidak menjadi kesalahan bagi seseorang Muslim untuk menggunakan berus basuh pinggan yang sama dengan non-Muslim bagi membasuh perkakas makanan seperti sudu dan garpu kerana hukum asalnya adalah ia dikira suci dan bersih sehinggalah terdapat bukti atau dalil yang menunjukkan sebaliknya. Demikianlah juga bagi penggunaan mikrowave, tidak mengapa menggunakannya kerana hukum asalnya adalah ia dikira suci dan bersih sehinggalah terdapat bukti atau dalil yang menunjukkan sebaliknya.  Maka selagi mana tidak ada padanya sebarang tanda-tanda atau bukti yang menunjukkan kepada kenajisannya secara zahirnya, maka ia tetap dihukumkan sebagai suci dan harus untuk digunakan.

Hal ini kerana pada asasnya sesuatu yang sudah diyakini (secara zahirnya) akan kesucian dan kebersihannya tidak boleh dibatalkan atau dihilangkan melalui kenajisannya yang diragukan. Ini bertepatan dengan kaedah:

اليَقِين لَا يُزَالُ بِالشَّكّ

Maksudnya:Keyakinan itu tidak dihilangkan disebabkan oleh syak (ragu-ragu).

Dalam mensyarahkan makna kaedah ini sebahagian ulama berkata: Sekiranya seseorang itu telah memastikan akan sesuatu, kemudian dia berasa syak adakah perkara yang dipastikan itu telah hilang ataupun tidak, maka asasnya adalah masih kekal perkara yang dipastikan itu (hukum asal). (Lihat Syarah al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah, hlm. 45).

Pada masa yang sama, kita tidak mahu perkara ini membawa kepada timbulnya syak atau ragu-ragu sehingga menyusahkan ramai orang. Hal ini bertepatan dengan syariat Islam yang bersifat memudahkan dan tidak menyusahkan. Firman Allah SWT:

يُرِيدُ اللَّهُ بِكُمُ الْيُسْرَ وَلَا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ

Maksudnya:(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Dia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.

(Surah al-Baqarah: 185)

Menurut Syeikh al-Sa‘di, ayat ini bermaksud Allah menghendaki hal yang memudahkan bagi kamu jalan yang membawa kamu kepada keredhaan-Nya dengan kemudahan yang paling mudah dan meringankannya dengan keringanan yang paling ringan. Oleh kerana itu, segala perkara yang diperintahkan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya pada dasarnya adalah sangat mudah sekali, namun apabila terjadi suatu halangan yang menimbulkan kesulitan, maka Allah SWT akan memudahkannya dengan kemudahan lain iaitu dengan menggugurkannya atau menguranginya dengan segala bentuk keringanan. Namun, hal ini adalah sesuatu yang tidak mungkin dapat dibahaskan perinciannya, kerana perinciannya adalah keseluruhan syariat dan termasuk di dalamnya segala bentuk rukhsah dan keringanan. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, 1/86).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْنَا مِنَ التَّوَّابِينَ وَاجْعَلْنَا مِنَ الْمُتَطَهِّرِينَ.

Maksudnya: “Ya Allah, jadikan kami daripada kalangan orang yang bertaubat, dan jadikan kami daripada kalangan orang yang bersuci.”

 

 

Nota kaki:

[1] Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ فَلَا يَقْرَبُوا الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ بَعْدَ عَامِهِمْ هَٰذَا

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya orang-orang kafir musyrik itu najis. Oleh itu, janganlah mereka menghampiri Masjidil Haram sesudah tahun ini.”

(Surah al-Taubah: 28)

Leave a Reply