Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh tafsirkan kepada kami surah al-Waqi’ah ayat 82?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Firman Allah SWT:
وَتَجْعَلُونَ رِزْقَكُمْ أَنَّكُمْ تُكَذِّبُونَ
Maksudnya: Dan kamu jadikan sikap kamu mendustakannya (sebagai ganti) bahagian dan nasib kamu (menerima dan bersyukur akan ajarannya)?
(Surah al-Waqi‘ah: 82)
Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebutkan bahawa ayat ini bermaksud mereka menjadikan rezeki yang datang dari langit iaitu hujan, atau rezeki yang datang dari bumi iaitu tanaman, dalam rangka untuk mendustakan nikmat Allah SWT, mendustakan hari kebangkitan dan mendustakan apa yang ditunjukkan oleh al-Quran. Justeru, apa yang mereka lakukan itu, sebenarnya telah meletakkan pendustaan pada tempat yang sepatutnya mereka bersyukur. Oleh itu, adakah terdapat orang yang lebih zalim daripada mereka yang meletakkan sikap berdusta pada tempat yang sepatutnya bersyukur!! (Lihat al-Tafsir al-Munir, 27/280-281)
Selain itu, al-Sa‘di juga ada menyatakan bahawa maknanya ialah mereka membalas kurniaan rezeki Allah SWT dengan pendustaan dan mengingkari nikmat-Nya. Kemudian mereka mengatakan: “Turunnya hujan kepada kami kerana bintang itu dan ini,” lalu menisbahkan nikmat itu kepada selain Allah SWT. Justeru, kenapa kamu tidak mahu bersyukur kepada Allah atas belas kasihan-Nya kerana telah menurunkan kepada kamu kurniaan-Nya, lalu menambahkannya lagi ke atas kamu — jika kamu bersyukur. Ketahuilah bahawa sesungguhnya pengingkaran yang dilakukan terhadap nikmat Allah itu merupakan penyebab kepada hilangnya nikmat yang telah dikurniakan (kerana sudah ditarik kembali) dan datangnya bencana. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, hlm. 836)
Kami mengambil kesempatan untuk menyatakan kelebihan surah al-Waqi’ah agar sentiasa diamalkan dan dibaca oleh kita dalam melayari bahtera kehidupan ini. Daripada Abdullah bin Mas’ud RA, Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ قَرَأَ سُورَةَ الْوَاقِعَةِ فِي كُلِّ لَيْلَةٍ لَمْ تُصِبْهُ فَاقَةٌ أَبَدًا
Maksudnya: Sesiapa yang membaca surah al-Waqiah pada setiap malam, maka ia tidak akan ditimpa musibah kefakiran selama-lamanya.
Riwayat al-Harith di dalam al-Musnad (712), Ibn al-Sunni di dalam ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah (680), al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman (2498). Ibn Hajar al-Asqalani di dalam Nata’ij al-Afkar (3/262) menyatakan hadith ini gharib. Al-Iraqi di dalam Takhrij al-Ihya‘ (1/450) menyatakan sanad hadith ini dhaif
Dr. Wahbah al-Zuhaili menukilkan sebuah hadith yang menceritakan tentang kelebihan surah al-Waqiah dengan menyatakan, daripada Abu Zibah berkata ketika Abdullah bin Mas’ud sedang tenat dan nazak, lalu Saidina Uthman bin Affan RA menziarahinya dan bertanya berkenaan peninggalannya kepada anak perempuannya, maka Ibnu Mas’ud berkata:
أتخشى على بناتي الفقر؟ إِنِّي قَدْ أَمَرْتُ بَنَاتِي أَنْ يَقْرَأْنَ كُلَّ لَيْلَةٍ سُورَةَ الْوَاقِعَةِ فَإِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: «مَنْ قَرَأَ كُلَّ لَيْلَةٍ – أَوْ قَالَ فِي كُلِّ لَيْلَةٍ – سُورَةَ الْوَاقِعَةِ لَمْ تُصِبْهُ فَاقَةٌ أَبَدًا»
Maksudnya: Apakah engkau risau akan anak-anak perempuanku menjadi fakir? Sesungguhnya aku telah memerintahkan anak-anak perempuanku untuk membaca surah al-Waqiah pada setiap malam. Sesungguhnya aku telah mendengar Rasullullah SAW bersabda: “Barangsiapa yang membaca surah al-Waqiah pada setiap malam, maka ia tidak akan ditimpa musibah kefakiran selama-lamanya.” (Lihat al-Tafsir al-Munir, 27/240)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”