Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh tafsirkan kepada kami ayat 42 dari Surah al-Zumar yang terkait dengan Ruh dan hubungannya antara ruh orang yang hidup dengan orang yang mati?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Allah SWT berfirman:

اللّه يَتَوَفَّى ٱلْأَنفُسَ حِينَ مَوْتِهَا وَٱلَّتِى لَمْ تَمُتْ فِى مَنَامِهَا ۖ فَيُمْسِكُ ٱلَّتِى قَضَىٰ عَلَيْهَا ٱلْمَوْتَ وَيُرْسِلُ ٱلْأُخْرَىٰٓ إِلَىٰٓ أَجَلٍ مُّسَمًّى

Maksudnya: “Allah (Yang Menguasai Segala-galanya), Dia mengambil dan memisahkan satu-satu jiwa daripada badannya, jiwa orang yang sampai ajalnya semasa matinya, dan jiwa orang yang tidak mati: dalam masa tidurnya; kemudian Dia menahan jiwa orang yang Dia tetapkan matinya dan melepaskan balik jiwa yang lain (ke badannya) sehingga sampai ajalnya yang ditentukan.”

(Surah al-Zumar : 42)

Para ulama mempunyai beberapa tafsiran dan pandangan berkenaan ayat ini. Secara zahirnya, ayat ini menjelaskan bahawa roh orang yang mati akan ditahan dan tidak akan dikembalikan semula. Ini membawa makna bahawa roh orang yang mati tidak akan lagi kembali ke dunia. Imam al-Tabari menjelaskan bahawa roh akan dicabut ketika seseorang tidur dan kemudiannya roh-roh itu  akan saling bertemu antara satu sama lain dan saling bertanya antara satu sama lain. Kemudian roh orang yang hidup akan dikembalikan semula dan roh orang yang mati ingin kembali namun ditahan oleh Allah SWT. Roh orang yang hidup akan ditarik semula pada hari kematian yang telah ditetapkan untuk mereka. (Lihat Jami‘ al-Bayan ‘an Takwil Ay al-Quran, 21/299)

Imam al-Qurtubi menukilkan pandangan Ibn Abbas yang menyebut bahawa roh orang hidup dan mati akan saling bertemu dan saling berkenalan antara satu sama lain dengan izin Allah SWT. Apabila ingin kembali Allah akan menahan roh orang yang mati dan akan mengembalikan roh orang yang hidup ke dalam jasad mereka semula. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 15/260)

Diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau menjelaskan tafsir ayat tersebut dengan katanya:

إِنَّ أَرْوَاحَ الْأَحْيَاءِ وَالْأَمْوَاتِ تَلْتَقِي فِي الْمَنَامِ فَتَتَعَارَفُ مَا شَاءَ اللَّهُ مِنْهَا، فَإِذَا أَرَادَ جَمِيعُهَا الرُّجُوعَ إِلَى الْأَجْسَادِ أَمْسَكَ اللَّهُ أَرْوَاحَ الْأَمْوَاتِ عِنْدَهُ، وَأَرْسَلَ أَرْوَاحَ الْأَحْيَاءِ إِلَى أَجْسَادِهَا

Maksudnya: “Sesungguhnya roh orang yang hidup dan roh orang mati bertemu dalam mimpi. Mereka saling mengenal sesuai yang Allah kehendaki. Ketika masing-masing hendak kembali ke jasadnya, Allah menahan roh orang yang sudah mati di sisi-Nya, dan Allah melepaskan roh orang yang masih hidup ke jasadnya.” (Lihat Jami‘ al-Bayan ‘an Takwil Ay al-Quran, 21/298; al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 15/260; Madarik al-Tanzil wa Haqa’iq al-Takwil, 4/56 dan Zad al-Masir oleh Ibn al-Jauzi 4/20).

Selain itu, Sa‘id bin Jubair Rahimahullah juga ada menyebutkan:

إِنَّ اللَّهَ يَقْبِضُ أَرْوَاحَ الْأَمْوَاتِ إِذَا مَاتُوا، وَأَرْوَاحَ الْأَحْيَاءِ إِذَا نَامُوا، فَتَتَعَارَفُ مَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ تَتَعَارَفَ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menahan roh-roh orang mati apabila mereka mati dan roh-roh orang hidup apabila mereka tidur. Mereka akan bertemu dan berkenalan mengikut kehendak Allah.” (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 15/260).

Hal ini juga sepertimana disebutkan oleh Ibn al-Qayyim, bahawa terdapat dua pendapat ahli tafsir tentang ayat ini. Salah satunya, bahawa roh orang yang ditahan ialah roh orang yang sudah meninggaln dunia, sehingga dia tidak mungkin lagi kembali kepada jasadnya di dunia. Sedangkan roh orang yang dilepas pula ialah roh orang yang tidur. (Lihat al-Ruh oleh Ibn al-Qayyim, hlm. 31).

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur, daripada azab api neraka, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah al-Masih al-Dajjal.”

Leave a Reply