Soalan:

Assalamualaikum, Dato Seri dan rakan-rakan ilmuan. Saya nak bertanya apakah hukumnya kita solat di masjid luar dari qaryah kita? Contoh, masjid kampung sebelah misalnya yang tidaklah jauh dari rumah. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّـهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّـهَ ۖ فَعَسَىٰ أُولَـٰئِكَ أَن يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ

Maksudnya: Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.

(Surah al-Taubah: 18)

Pengimarahan masjid mengandungi dua aspek iaitu membinanya dan melaziminya. Seseorang hanya dikatakan mengimarahkan masjid sekiranya dia kerap berulang alik ke masjid. (Lihat al-Tafsir al-Kabir, 5/9)

Imam al-Qurtubi di dalam tafsirnya al-Jami’ li Ahkam al-Quran (8/90) menyatakan terdapat golongan salaf menyatakan, “Sekiranya kamu melihat seseorang mengimarahkan masjid maka perelokkanlan prasangkamu kepadanya.” Ini seperti mana hadis Nabi SAW daripada Abi Said Al-Khudri R.A bahawa Rasullullah SAW bersabda:

إِذَا رَأَيْتُمُ الرَّجُلَ يَعْتَادُ الْمَسْجِدَ فَاشْهَدُوا لَهُ بِالْإِيمَانِ

Maksud: “Bila kamu sekalian melihat seseorang yang sentiasa pergi ke masjid maka persaksikanlah keimanan untuknya.”

Riwayat al-Tirmizi (1060), Ibn Majah (802) dan Ahmad (3/68)

Syeikh al-Mubarakfuri berkata: “Setengah riwayat menyebut orang yang begitu setia mendatangi masjid atau memelihara untuk sentiasa ke masjid.” (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 8/389)

Maksud memakmurkan masjid adalah dengan menetapinya untuk melaksanakan ibadah di dalamnya dalam rangka meraih keredhaan-Nya. Antaranya seperti melakukan solat, berzikir kepada Allah SWT dan mempelajari ilmu agama. Juga termasuk maknanya adalah dengan membangunkan masjid, menjaga dan memeliharanya. (Lihat Aisar al-Tafasir li Kalam al-‘Aliy al-Kabir, 2/66)

Syeikh al-Tantawi dalam menafsirkan ayat ini menjelaskan di dalam kitabnya “Orang yang mengimarahkan masjid merupakan mukmin yang benar-benar beriman kepada Allah SWT dengan apa yang disuruh dan apa yang dilarang dengan petunjuk daripada Baginda SAW dengan hati yang penuh dengan keikhlasan.” (Lihat Tafsir al-Wasit, 6/228)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan  sembahyang  di masjid qaryah hendaklah diutamakan berbanding masjid-masjid di luar qaryah. Ini disebabkan ahli qaryah dituntut mengimarahkan masjid di dalam qaryah terlebih dahulu dan ia merupakan fardhu kifayah melainkan terdapat sebab-sebab yang mengharuskan untuk solat diluar qaryah seperti menuntut ilmu, atau jemaah terlalu ramai sehingga tiada ruang yang mencukupi atau kelebihan bacaan  imam qaryah lain yang dapat  memberi kesan terhadap makmum dan sebab-sebab-sebab yang dibenarkan oleh syara’.

Imam Al-Syirazi menyebut di dalam kitabnya: “Sekiranya berdekatan dengannya terdapat masjid yang kurang jemaahnya maka lebih baik menghadirinya bertujuan untuk meramaikan jemaah daripada menghadiri ke masjid yang mempunyai ramai jemaah. (Lihat al-Muhazzab fi Fiqh al-Syafi’i, 1/177).

Ibnu Qudamah di dalam kitabnya menukilkan berkenaan keperluan untuk menghidupkan masjid atau surau yang lebih memerlukan seperti yang dinyatakan: “Sekiranya sekitar tempatnya atau di tempat yang lain terdapat masjid yang tidak mempunyai jamaah melainkan dengan kehadirannya maka hadirnya ke tempat itu lebih utama. Ini bertujuan mengimarahkan dan mendirikan jamaah di dalamnya.” (Lihat al-Mughni, 2/132).

Syeikh Soleh al-Uthaimin dalam isu ini juga  beliau menyebutkan bahawa: Adalah Lebih baik jika penduduk kawasan  bersolat di masjid mereka  bagi saling mengenali dan mengeratkan antara satu sama lain serta saling memberi dorongan. Selain itu juga, ia menyebabkan hati imam yang bersolat bersama mereka merasa gembira. Jika seseorang pergi ke masjid lain untuk kepentingan agama seperti mencari ilmu atau mendengar khutbah yang lebih memberi kesan dan ilmu, ini tidak mengapa. Para sahabat R.Anhum, pernah datang untuk bersolat besama Nabi SAW di masjidnya untuk mendapat kelebihan yang ada pada imam dan keutamaan masjid itu sendiri, kemudian mereka pulang untuk bersolat di masjid kawasan mereka sendiri. Begitu juga Mu’az R.A melakukan hal yang sama pada zaman Nabi SAW  dimana Baginda  mengetahui dan tidak mengingkarinya. [1]

Justeru, kami berpendapat adalah lebih utama bagi penduduk sesuatu kawasan untuk mengimarah dan membangunkan masjid atau surau yang berdekatan dengan mereka berbanding tempat lain, kecuali jika ada alasan-alasan yang dibenarkan oleh syarak seperti yang telah diterangkan sebelum ini. Semakin ramai jemaah masjid dan surau di satu-satu tempat, maka semakin baiklah tempat tersebut. Semakin banyak aktiviti masjid dan ibadat yang dilakukan, serta pengimarahan yang menyeluruh, maka semakin hiduplah masjid di tempat tersebut.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا

Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.

Wallahua’lam

 

Nota kaki:

[1] Lihat: https://binothaimeen.net/content/8957 18 Disember 2023

Leave a Reply