Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya akan ke Papua New Guinea selama 2 minggu untuk kerja di luar kawasan. Di sana kebanyakan tempat yang masyarakatnya beragama kristian atau ateis, dan agak kurang tempat yang bersih untuk saya solat.

Situasinya, saya akan tinggal di homestay dan akan keluar audit di tapak projek. Akan tetapi tiada tempat yang bersih dan kurang kemudahan air, kerana penduduk di sana membersihkan najis hanya menggunakan tisu. Adakah saya boleh jamak dan qasar, atau apa kemudahan yang boleh saya lakukan? Ini kerana saya hanya boleh solat ketika pulang homestay sahaja.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertamanya, perlu diingati bahawa antara syarat sah solat adalah bersuci dari sebarang hadas, sama ada hadas kecil atau hadas besar. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓا۟ إِذَا قُمْتُمْ إِلَى ٱلصَّلَوٰةِ فَٱغْسِلُوا۟ وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى ٱلْمَرَافِقِ وَٱمْسَحُوا۟ بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى ٱلْكَعْبَيْنِ ۚ وَإِن كُنتُمْ جُنُبًۭا فَٱطَّهَّرُوا۟ ۚ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali; dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib.”

(Surah al-Nisa’: 43)

Dan juga disebutkan dalam hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا يَقْبَلُ اللهُ صَلَاةَ أَحَدِكُمْ إِذَا أَحْدَثَ حَتَّى يَتَوَضَّأَ

Maksudnya: “Allah tidak akan menerima solat salah seorang kalian apabila dia berhadas sehinggalah dia berwuduk.”

Riwayat al-Bukhari (6954)

Adapun mereka yang tidak mempunyai kemudahan untuk berwuduk, kerana ketiadaan air dan telah berusaha mencarinya, maka dia diberikan keringanan untuk bertayammum menggunakan debu tanah. Ini telah disebutkan oleh Allah SWT di dalam firman-Nya:

فَلَمْ تَجِدُوا۟ مَآءًۭ فَتَيَمَّمُوا۟ صَعِيدًۭا طَيِّبًۭا فَٱمْسَحُوا۟ بِوُجُوهِكُمْ وَأَيْدِيكُم مِّنْهُ ۚ

Maksudnya: “Sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah – debu yang bersih, iaitu: sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengan tanah – debu itu.”

(Surah al-Nisa’: 43)

Al-Maraghi berkata: “Apabila kamu mengalami salah satu dari tiga keadaan ini seperti sakit atau dalam perjalanan pemusafiran, atau tidak menemui air sewaktu hendak menyucikan kedua-dua jenis hadas di atas, maka hendaklah kamu mencari debu atau dataran bumi yang suci daripada najis, lalu tepuklah kedua-dua tangan sampai ke pergelangan tangan, dengan adanya kesan debu tersebut.” (Lihat Tafsir al-Maraghi 3/1500)

Berbalik kepada permasalahan yang diajukan saudara, kami katakan bahawa saudara tidak boleh melakukan solat secara jamak dan qasar atas alasan ketiadaan air untuk bersuci kerana masih ada alternatif lain, iaitu dengan bertayammum. Saudara juga boleh membawa botol air atau penyembur air bagi memudahkan urusan saudara untuk berwuduk, dengan syarat air tersebut dialirkan dan diratakan di keseluruhan anggota wuduk. Usaha ini bertepatan dengan firman Allah SWT:

فَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ مَا ٱسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya: “Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu.”

(Surah al-Taghabun: 16)

Syeikh al-Sa‘di menyebutkan, ayat ini menunjukkan bahawa setiap kewajipan yang tidak mampu dilakukan oleh seorang hamba menjadi gugur. Dalam erti kata lain, seorang hamba itu, jika dia mampu menunaikan sebahagian kewajipan dan tidak mampu untuk menunaikan sebahagian yang lain, maka cukuplah dia menunaikan kewajipan yang dia mampu lakukan, manakala kewajipan yang dia benar-benar tidak mampu untuk tunaikan menjadi gugur. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, 1/868)

Dan ini juga bersesuaian dengan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya: “Dan jika kami memerintahkan kamu untuk melakukan sesuatu, maka laksanakanlah ia sekadar kemampuan kamu.”

Riwayat Bukhari (7288) dan Muslim (1337)

Sekiranya tempat untuk saudara dirikan solat itu pula tidak bersih, maka sediakanlah sejadah agar urusan solat menjadi lebih mudah. Berusahalah sebaik mungkin untuk mendapatkan solat yang sempurna, dan janganlah kita bermudah-mudahan untuk mencari rukhsah solat.

Semoga, penerangan ringkas ini dapat memberikan kepada kita kefahaman dalam beragama. Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

Surah Ibrahim (40-41)

Wallahu a‘lam

Leave a Reply