Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, siapakah datuk Nabi SAW yang bernama Kinanah?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Kami mulakan dengan hadith Nabi SAW
Inilah yang disebut dalam Sahih al-Bukhari, Kitab Manaqib al-Ansar, Bab Pengutusan Nabi SAW (4/228). Daripada Anas bin Malik R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
أَنَا مُحَمَّدُ بْنُ عَبْدِ اللَّه بْنِ عَبْدِ المُطَّلِبِ بْنِ هَاشِمِ بْنِ عَبْدِ مَنَافِ بْنِ قُصَيِّ بْنِ كِلاَبِ بْنِ مُرَّةَ بْنِ كَعبِ بْنِ لؤَيِّ بْنِ غالِبِ بْنِ فِهْرِ بْنِ مَالِكِ بْنِ النَّضْرِ بْنِ كِنَانَةَ بْنِ خُزَيْمَةَ بْنِ مُدْرِكَةَ بْنِ إِلْيَاسَ بْنِ مُضَرَ بْنِ نِزَارِ بْنِ مَعَدِّ بْنِ عَدْنَانَ
Dalam hadis riwayat Imam Muslim dalam Sahihnya, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِنَّ اللَّهَ اصْطَفَى كِنَانَةَ مِنْ وَلَدِ إِسْمَاعِيلَ وَاصْطَفَى قُرَيْشًا مِنْ كِنَانَةَ وَاصْطَفَى مِنْ قُرَيْشٍ بَنِي هَاشِمٍ وَاصْطَفَانِي مِنْ بَنِي هَاشِمٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah memilih Kinanah dari keturunan Nabi Ismail, dan memilih Quraisy dari Kinanah, dan memilih Hasyim dari Quraisy, dan memilihku dari Bani Hasyim.”
Riwayat Muslim (2276)
Kinanah bermaksud bekas anak panah, jika ia diperbuat daripada kulit sebagaimana yang disebutkan oleh Ibn Duraid. Dinukilkan daripada Abu ‘Amir al-‘Udwani bahawasanya dia berkata: “Aku melihat Kinanah bin Khuzaimah seorang tua yang sudah lanjut usianya yang sangat dihormati, orang-orang Arab menziarahinya kerana keilmuannya dan kelebihannya di antara mereka.” (Lihat Fath al-Bari oleh Ibn Hajar, 7/164)
Melihat perkataan Kinanah, Mesir juga dinamakan bumi Kinanah. Ini kerana, bumi tersebut Allah memeliharanya dan menjaganya di tengah sahra’ dan padang pasir. Samalah sebagaimana dipeliharanya anak panah yang berada pada busurnya.
Ada juga berpendapat, kerana penduduk Mesir terkenal dengan pembuatan anak panah dan menggunakannya pada zaman dahulu. Dan orang yang pertama menamakan Mesir dengan gelaran Ardhu Kinanah iaitu Sahabat Rasulullah SAW bernama Amr bin al-’As R.A, ketika membuka kota Mesir pada zaman pemerintahan Umar ibn al-Khattab R.A.
Begitu juga nama bumi Kinanah kerana ia bumi yang mempunyai air atau laut. Pada lahjah bahasa penduduk Kina, kalimah asalnya Kinanah yang memberi makna air, kerana sungai Nil mengalir di bumi Mesir sehingga ke Laut Merah.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”