Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Seorang yang bermimpi bahawa dia meminum air di dalam satu bekas, kemudian baki air tersebut diberikan kepada orang lain. Apakah yang dimaksudkan mimpi tersebut?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Banyak isu yang terkait dengan mimpi. Justeru, kami bahagikan kepada beberapa perkara:

Pertama: Mimpi yang benar dan mainan syaitan

Dalam hal ini, kami kemukakan hadith Nabi SAW, daripada Abu Qatadah bahawa Baginda bersabda:

الرُّؤْيَا الصَّادِقَةُ مِنَ اللهِ، وَالحُلْمُ مِنَ الشَّيْطَانِ.

Maksudnya: “Mimpi yang benar daripada Allah, dan mimpi yang buruk daripada syaitan.”

Riwayat al-Bukhari (6984)

Kedua: Sikap kita terhadap mimpi

Perlunya kita memahami jika ia baik adalah daripada Allah maka bolehlah kita ceritakan sebaliknya jika tidak, ia daripada syaitan, maka hendaklah kita berdoa berlindung daripadanya. Hal ini berdasarkan hadith Nabi SAW, daripada Abu Sa‘id al-Khudri, bahawa dia mendengar Nabi SAW bersabda:

إِذَا رَأَى أَحَدُكُمْ رُؤْيَا يُحِبُّهَا، فَإِنَّمَا هِيَ مِنَ اللهِ، فَلْيَحْمَدِ اللهَ عَلَيْهَا وَلْيُحَدِّثْ بِهَا، وَإِذَا رَأَى غَيْرَ ذَلِكَ مِمَّا يَكْرَهُ، فَإِنَّمَا هِيَ مِنَ الشَّيْطَانِ، فَلْيَسْتَعِذْ مِنْ شَرِّهَا، وَلاَ يَذْكُرْهَا لِأَحَدٍ، فَإِنَّهَا لاَ تَضُرُّهُ.

Maksudnya: “Apabila seseorang daripada kalian bermimpi melihat sesuatu yang disenanginya, maka sesungguhnya mimpi itu daripada Allah, kerana itu hendaklah dia memuji Allah dan menceritakannya. Dan apabila dia bermimpi melihat sesuatu yang tidak disenanginya, sesungguhnya mimpi itu daripada syaitan, maka hendaklah dia memohon perlindungan daripada keburukannya dan tidak menceritakannya, kerana sesungguhnya mimpi itu tidak akan membahayakannya.”

Riwayat al-Bukhari (6985)

Ketiga: Mimpi adalah salah satu juzuk daripada 46 juzuk kenabian

Benarlah sabda Nabi SAW, daripada ‘Ubadah bin al-Samit, bahawa Baginda bersabda:

رُؤْيَا المُؤْمِنِ جُزْءٌ مِنْ سِتَّةٍ وَأَرْبَعِينَ جُزْءًا مِنَ النُّبُوَّةِ

Maksudnya: “Mimpi seorang mukmin adalah satu bahagian daripada 46 bahagian kenabian.”

Riwayat al-Bukhari (6987)

Guru kami Syeikh ‘Atiyyah Salim berkata: Disebut 46 juzuk kenabian dengan maksud usia risalah Rasulullah SAW kepada umatnya selama 23 tahun. Sedangkan datang dalam bentuk mimpi pada permualaan wahyu selama 6 bulan, ketika di Gua Hira’. Justeru, 6 bulan mewakili setengah tahun. Maka jadilah mimpi itu 1/46 juzuk kenabian.

Keempat: Mimpi yang baik sebagai berita gembira

Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَمْ يَبْقَ مِنَ النُّبُوَّةِ إِلَّا المُبَشِّرَاتُ. قَالُوا: وَمَا المـُبَشِّرَاتُ؟ قَالَ: الرُّؤْيَا الصَّالِحَةُ.

Maksudnya: “Tiada yang berbaki daripada kenabian selain berita gembira.” Mereka bertanya: “Apa itu berita gembira?” Baginda menjawab: “Mimpi yang baik.”

Riwayat al-Bukhari (6990)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan pandangan Imam al-Bukhari dalam Sahihnya:

بَابٌ: إِذَا أَعْطَى فَضْلَهُ غَيْرَهُ فِي النَّوْمِ

Bab: (Bermimpi) Memberikan Lebihan Minuman Kepada Orang Lain

Abdullah bin Umar berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

بَيْنَا أَنَا نَائِمٌ أُتِيتُ بِقَدَحِ لَبَنٍ، فَشَرِبْتُ مِنْهُ حَتَّى إِنِّي لَأَرَى الرِّيَّ يَجْرِي، ثُمَّ أَعْطَيْتُ فَضْلَهُ عُمَرَ. قَالُوا: فَمَا أَوَّلْتَهُ يَا رَسُولَ اللهِ؟ قَالَ: العِلْمَ.

Maksudnya: “Ketika aku sedang tidur, aku (bermimpi) diberi segelas susu, lalu aku minum daripadanya sehingga aku melihat bahawa air mengalir di dalam tubuhku, kemudian aku memberikan baki minuman itu kepada Umar.” Mereka (para sahabat) bertanya: “Apakah takwilanmu, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Ilmu.”

Riwayat al-Bukhari (7027)

Justeru, dari mimpi tersebut, jelas menunjukkan kepada kita, maksud lebihan air adalah ilmu yang diberikan Rasulullah SAW kepada Umar bin al-Khattab R.A.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Leave a Reply