Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Ibu menjaga ayah yang sakit namun ibu juga keuzuran tetapi masih mampu menjaga ayah. Tetapi ada anak-anak ibu yang melarang ibu menjaga ayah dan meminta ibu tiri sahaja yang menjaga kerana ketika ayah sihat masa lebih diluangkan di rumah isteri kedua. Soalan saya, saya perlu menurut kata siapa? Ibu yang masih berkeras menjaga ayah atau adik beradik saya yang meminta ibu tiri sahaja menjaga ayah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ

Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa.”

(Surah al-Isra’: 23)

Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata di dalam tafsirnya pada ayat ini, Allah SWT mengikat banyak ayat berkaitan dengan ibadah dengan tuntutan berlaku baik atau ihsan kepada kedua ibubapa dengan sebaik-baiknya di dalam pergaulan dengan mereka. Ini kerana, mereka adalah sebab hakiki selepas Allah SWT akan kewujudan manusia. (Lihat Tafsir al-Munir, 15/54)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan sebagai ibubapa, kita sewajarnya menjalankan amanah dengan sebaik mungkin. Hal ini kerana apabila telah berlakunya akad, maka wajib ke atas setiap pasangan menjalankan tanggungjawabnya dengan sebaik mungkin. Begitu juga, apabila si suami telah berpoligami, maka dia perlu adil terhadap isteri pertama dan kedua, lebih-lebih lagi apabila sudah dikurniakan cahaya mata, maka perhatian terhadap anak-anak juga perlu diambil cakna.

Dalam isu ini, kami berpandangan meskipun si ayah telah melakukan sesuatu perkara yang menjadikan hubungan kekeluargaan semakin renggang, akan tetapi sebagai anak, kita wajib menghormatinya sebagai ayah kita (selagi mana dia tidak membuat atau menyuruh perkara-perkara yang melanggar hukum syarak).

Justeru, kami nasihatkan meskipun ianya berat, tetapi maafkanlah si ayah kerana pertamanya walau bagaimanapun dia tetap ayah anda. Keduanya ayah anda dalam keadaan uzur, bahkan ibu anda juga dalam keadaan uzur, maka sebagai anak yang soleh jalanilah tanggungjawab anda sebagai anak walaupun anda masih berkecil hati dengan apa yang berlaku. Moga-moga berkat anda membantu ibu anda menjaga ayah yang sedang uzur, Allah membuka pintu-pintu rezeki buat anda sekeluarga.

Diriwayatkan daripada Abi Bakrah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْ ذَنْبٍ أَجْدَرُ أَنْ يُعَجِّلَ اللَّهُ تَعَالَى لِصَاحِبِهِ الْعُقُوبَةَ فِي الدُّنْيَا، مَعَ مَا يَدَّخِرُهُ لَهُ فِي الْآخِرَةِ مِنْ قَطِيعَةِ الرَّحِمِ، وَالْخِيَانَةِ، وَالْكَذِبِ، وَإِنْ أَعْجَلَ الطَّاعَةَ ثَوَابًا لِصِلَةِ الرَّحِمِ، حَتَّى إنَّ أَهْلَ الْبَيْتِ لَيَكُونُوا فَجَرَةً، فَتَنْمُو أَمْوَالُهُمْ،وَيَكْثُرُ عَدَدُهُمْ، إِذَا تَوَاصَلُوا

Maksudnya: “Tidak ada dosa yang lebih mempercepat Allah memberikan hukuman kepada pelakunya di dunia, selain dari apa yang Dia simpan baginya di akhirat, seperti memutuskan hubungan kekeluargaan, khianat, dan kebohongan. Dan sesungguhnya, amalan yang paling cepat mendapat pahala ialah menjaga hubungan kekeluargaan. Hingga keluarga yang menjaga hubungan baik akan diberkati, harta mereka akan bertambah, dan jumlah mereka akan banyak. Oleh tu sambungkanlah silaturrahim.”

Riwayat Tirmizi(2511) dan Ibn Majah (4211)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”

Wallahua’lam

Leave a Reply