Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Di manakah lokasi sebenar peristiwa Ashab al-Kahfi?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

وَإِذِ ٱعْتَزَلْتُمُوهُمْ وَمَا يَعْبُدُونَ إِلَّا ٱللَّهَ فَأْوُۥٓا۟ إِلَى ٱلْكَهْفِ يَنشُرْ لَكُمْ رَبُّكُم مِّن رَّحْمَتِهِۦ وَيُهَيِّئْ لَكُم مِّنْ أَمْرِكُم مِّرْفَقًۭا

Maksudnya: “Oleh kerana kamu meninggalkan kaummu dan apa yang mereka sembah selain Allah, maka berlindunglah kamu di dalam gua, pasti Tuhan kamu akan memancarkan rahmat-Nya pada kamu dan menyediakan bantuan dalam urusan kamu.”

(Surah al-Kahfi: 16)

Al-Baghawi berkata: Allah SWT menyatakan: Dan apabila kamu menjauhi mereka dan segala sesuatu yang mereka sembah selain Allah, sesungguhnya kamu tidak meninggalkan ibadah kepada-Nya (maka berlindunglah) dan perlindunganlah diri kamu kepada (gua) itu, maka berlindunglah kepada-Nya (Tuhanmu dengan kasih sayang-Nya dan menyediakan untukmu) dan mempersiapkan untukmu (dari urusanmu) yang memudahkan urusanmu. Ertinya, Dia menyebarkan rahmat-Nya untukmu dan memudahkan untukmu (yang kembali kepada-Nya yang memberikan kemudahan dan kelembutan) yaitu apa yang membuatmu senang dan nyaman. (Lihat Tafsir al-Baghawi, 5/157)

Berdasarkan kisah yang dirakamkan di dalam al-Quran dan juga sejarah empayar Rom, lokasi peristiwa Ashab al-Kahfi berlaku di sekitar selatan Turki di Ephesus, sehingga di Syam merangkumi negara Syria dan Jordan. Peristiwa tersebut berlaku sekitar kurun ke-3 hingga kurun ke-6 Masihi menurut pendapat yang masyhur. Namun, dalam menentukan gua Ashab al-Kahfi, terdapat lebih daripada 40 pandangan mengenainya, antaranya ialah:

  • Gua di Ephesus, Anatolia, Turki.
  • Gua di Jabal Qassiyum, Damsyik, Syria.
  • Gua di ‘Amman, Jordan.
  • Gua di Mazar Aldi, Turpan, China.
  • Chenini, Tunisia.
  • Gua di Mar Musa, Syria.
  • Gua di Izmir, Turki.
  • Gua di Kahramanmaras, Turki.[1]
  • Gua di Saradib, Romania.[2]
  • Gua di Sabar, Yaman.[3]
  • Gua di antara ‘Ammuriah, Greek dan Niqiyyah, Turki.
  • Gua di Ailah, Palestin.
  • Gua di Ninie, Rom.
  • Gua di Gharnatah, Andalusia (Lihat Marasid al-Itla‘ ‘ala Asma’ al-Amkinah wa al-Abqa‘, 2/627; Prosiding Seminar Penyelewengan Tafsir al-Quran 2018, hlm.12; Nizam al-Durar fi Tanasub al-Ayat wa al-Suwar, 12/16)

Antara pandangan-pandangan ini, para sejarawan Islam melihat bahawa gua di ‘Amman, Jordan lebih menepati ciri-ciri gua Ashab al-Kahfi sebagaimana yang dinyatakan di dalam al-Quran sebagaimana firman Allah SWT:

وَتَرَى الشَّمْسَ إِذَا طَلَعَت تَّزَاوَرُ عَن كَهْفِهِمْ ذَاتَ الْيَمِينِ وَإِذَا غَرَبَت تَّقْرِضُهُمْ ذَاتَ الشِّمَالِ وَهُمْ فِي فَجْوَةٍ مِّنْهُ ۚ ذَٰلِكَ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ ۗ مَن يَهْدِ اللَّهُ فَهُوَ الْمُهْتَدِ ۖ وَمَن يُضْلِلْ فَلَن تَجِدَ لَهُ وَلِيًّا مُّرْشِدًا

Maksudnya: Dan engkau akan melihat matahari ketika terbit, cenderung ke kanan dari gua mereka; dan apabila ia terbenam, meninggalkan mereka ke arah kiri, sedang mereka berada dalam satu lapangan gua itu. Yang demikian ialah dari tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan) Allah. Sesiapa yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah, maka dia lah yang berjaya mencapai kebahagiaan; dan sesiapa yang disesatkanNya maka engkau tidak sekali-kali akan beroleh sebarang penolong yang dapat menunjukkan (jalan yang benar) kepadanya.

(Surah al-Kahfi: 17)

Ayat ini menceritakan tentang kedudukan matahari dari gua tersebut, dan hal ini dilihat bertepatan dengan gua di Jordan. Terdapat sebuah lubang dari atas gua yang dimasuki cahaya ketika matahari terbit dan ketika terbenam, matahari berada dari arah pintu gua. Keadaan gua di Jordan tersebut juga luas sebagaimana yang dinyatakan pada ayat 17.

Ada yang berpandangan bahawa Gua al-Raqim, yang terletak di kampung bernama al-Rajib berhampiran kawasan Sahab di selatan ibu negara Jordan, Amman, yang  merupakan lokasi gua Ashab al-Kahfi yang disebut dalam al-Quran, terutamanya setelah didapati bahawa terdapat sebuah masjid di atas gua seperti yang disebut dalam ayat suci al-Quran melalui firman Allah Allah SWT:

فَقَالُوا ابْنُوا عَلَيْهِم بُنْيَانًا ۖ رَّبُّهُمْ أَعْلَمُ بِهِمْ ۚ قَالَ الَّذِينَ غَلَبُوا عَلَىٰ أَمْرِهِمْ لَنَتَّخِذَنَّ عَلَيْهِم مَّسْجِدًا

Maksudnya: “Setelah itu maka (sebahagian dari) mereka berkata: ‘Dirikanlah sebuah bangunan di sisi gua mereka, Allah jualah yang mengetahui akan hal ehwal mereka.’ orang-orang yang berkuasa atas urusan mereka (pihak raja) pula berkata: ‘Sebenarnya kami hendak membina sebuah masjid di sisi gua mereka’.”

(Surah al-Kahfi: 21)

Ahli geografi terkenal Abu ‘Abdullah Muhammad bin Ahmad al-Muqaddasi, telah menyatakan dalam bukunya Ahsan al-Taqasim fi Ma‘rifah al-Aqalim: “Raqim adalah bandar di timur Jordan, berdekatan dengan Amman, di mana sebuah gua telah terbentuk bersama dengan beberapa mayat manusia yang tidak sepenuhnya kehilangan daging.”[4]

Begitu juga dalam Tafsir al-Bayan dinyatakan bahawa berdasarkan ayat 21 surah al-Kahfi, ternyata di atas gua di Abu Alanda, ‘Amman, Jordan terdapatnya kesan binaan rumah ibadat kaum Nasrani yang dibina pada zaman tersebut. Ketika zaman pemerintahan kerajaan Umawiyyah, rumah ibadat tersebut telah dijadikan masjid. Walau bagaimanapun, perbahasan yang diperselisihkan dalam peristiwa Ashab al-Kahfi seperti lokasi gua, masa peristiwa, bilangan pemuda al-Kahfi, dan gambaran anjing tidaklah menjadi keutamaan dalam penyampaian kisah-kisah dalam al-Quran, sebaliknya al-Quran menegaskan mesej yang perlu dipetik daripada kisah-kisah tersebut untuk dijadikan pengajaran. (Lihat Tafsir al-Bayan, 3/199)

Kami katakan bahawa perbahasan mengenai lokasi Ashab al-Kahfi ini tidak perlu dipanjangkan mahupun diperincikan. Cukuplah kita berpada dengan apa yang telah disebutkan di dalam wahyu. Beginilah yang disebutkan oleh Fakhr al-Din al-Razi di dalam tafsir beliau, ilmu tentang masa dan tempat Ashab al-Kahfi ini bukanlah dalam ruang lingkup logik akal, sebaliknya ia diambil berdasarkan nas, sedangkan nas tentang perkara ini tidak dijumpai. Maka tidak ada wasilah untuk mengetahuinya masa dan tempat ini secara tepat. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 21/454).

Perbahasan mengenai masa dan tempat itu juga sangat sedikit faedahnya buat kita dan tidak memberi apa-apa kesan kepada hukum-hakam agama. Lebih-lebih lagi, perkara utama yang sepatutnya difokuskan ialah apa yang disimpulkan oleh Allah SWT berkenaan kisah Ashab al-Kahfi ini iaitu pengajaran dan faedah daripada kisahnya sendiri. Pesan-pesan tauhid dan konsisten atas jalan Islam dalam kisah inilah yang wajar diberi perhatian yang serius, sesuai dengan tuntutan zaman kini.

Walau bagaimanapun, kami meraikan dan amat menghormati pendapat ini kerana ia sendiri menzahirkan kekayaan perbendaharaan ilmu Islam dalam membahaskan satu-satu isu.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan penerangan yang lebih lanjut, sila rujuk e-Bahth Ilmi kami yang bertajuk: Menelusuri Kisah Ashab al-Kahfi di dalam apps kami, al-Inarah.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”

Nota kaki:

[1] Lihat https://web.archive.org/web/20220707080003/https://madainproject.com/cave_of_ashab_e_kahf. Diakses pada 3 Januari 2024

[2] Lihat https://www.youm7.com/story/2018/10/21/فىالأردنولاتركياودمشقأينيوجدموقعأهلالكهف/3998745-. Diakses pada 3 Januari 2024

[3] Lihat https://www.alalam.ir/news/1587304/صوراسرارمسجدأهلالكهفالمثيرةللجدلباليمن  Diakses pada 3 Januari 204

[4] Lihat https://www.ilmgate.org/the-cave-of-ashab-al-kahf-where-and-when/ Diakses pada 3 Januari 2024

Leave a Reply