Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah Allah SWT perintahkan kepada para khalifah, para nabi dan pemimpin untuk berlaku adil sesama manusia?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Keadilan merupakan instrumen penting dalam sesebuah pemerintahan. Bahkan dalam sejarah Islam menunjukkan teladan dalam keadilan pemerintahan dan perundangan Islam. Bahkan dalam al-Quran, Allah telah memerintahkan Nabi Dawud AS supaya berlaku adil dalam pemerintahannya sebagaimana Firman Allah SWT:

يَا دَاوُودُ إِنَّا جَعَلْنَاكَ خَلِيفَةً فِي الْأَرْضِ فَاحْكُم بَيْنَ النَّاسِ بِالْحَقِّ وَلَا تَتَّبِعِ الْهَوَىٰ فَيُضِلَّكَ عَن سَبِيلِ اللَّهِ ۚ إِنَّ الَّذِينَ يَضِلُّونَ عَن سَبِيلِ اللَّهِ لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدٌ بِمَا نَسُوا يَوْمَ الْحِسَابِ

Maksudnya: Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka jalankanlah hukum di antara manusia dengan (hukum syariat) yang benar (yang diwahyukan kepadamu); dan janganlah engkau menurut hawa nafsu, kerana yang demikian itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab yang berat pada hari hitungan amal, disebabkan mereka melupakan (jalan Allah) itu.

(Surah Sad: 26)

Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya menyebut: Maksud (فَاحْكُمْ بَيْنَ النَّاسِ بِالْحَقِّ) ialah Hukumlah manusia dengan keadilan dan ianya adalah arahan yang wajib dan ada kaitan dengan ayat yang sebelum ini. dan maksud ( وَلا تَتَّبِعِ الْهَوى) iaitu janga kamu mengikut hawa kamu yang menyalahi arahan Allah kerana ianya boleh memesongkan kami dari jalan ke Syurga. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 15/189)

Rasulullah SAW menitikberatkan isu persamaan yang mutlak pada pandangan hukum syara’ sebagaimana yang diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah R.anhuma, Sabda Rasulullah SAW:

يا أيُّها الناسُ إنَّ ربَّكمْ واحِدٌ ألا لا فضلَ لِعربِيٍّ على عجَمِيٍّ ولا لِعجَمِيٍّ على عربيٍّ ولا لأحمرَ على أسْودَ ولا لأسودَ على أحمرَ إلّا بالتَّقوى

Maksudnya: Wahai Manusia, sesungguhnya tuhan kamu semua adalah yang esa, tidak ada kelebihan bagi orang arab ke atas yang bukan arab, dan bukan juga bagi bukan arab ke atas orang arab, dan tidak ada kelebihan bagi yang berkulit merah ke atas yang berkulit hitam dan bukan juga yang berkulit hitam ke atas yang berkulit merah kecuali dengan (kelebihan) taqwa.

Riwayat Abu Nu’aim di dalam al-Hilyah al-Auliya’(3/100) dan al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman (5137). Hadith ini dinilai sahih berdasarkan kitab Ghayah al-Maram (313)

Imam al-Syaukani menyebutkan: Hadis ini menunjukkan penafian kepada kelebihan sebahagian orang kepada sebahagian yang lain dari sudut keturunan dan bangsa sebagaimana pada zaman Jahiliah kerana apabila tuhan itu esa, maka tidak ada seorang pun yang boleh mendakwa kelebihannya selain daripada taqwa. dan Hadith ini menunjukkan kelebihan taqwa dan menafikan selainnya. (Lihat Nail al-Awtar, 5/99)

Ucapan Abu Bakar al-Siddiq RA ketika ditauliahkan menjadi khalifah Islam adalah asas dan lambang cita-cita yang besar lagi luhur dalam menegakkan keadilan. Antaranya kata beliau:

أَمَّا بَعْدُ، أَيُّهَا النَّاسُ، فَإِنِّي قَدْ وُلِّيتُ عَلَيْكُمْ وَلَسْتُ بِخَيْرِكُمْ، فَإِنْ أَحْسَنْتُ فَأَعِينُونِي، وَإِنْ أَسَأْتُ فَقَوِّمُونِي، الصِّدْقُ أَمَانَةٌ، وَالْكَذِبُ خِيَانَةٌ، وَالضَّعِيفُ فِيكُمْ قَوِيٌّ عِنْدِي حَتَّى أُرِيحَ عَلَيْهِ حَقَّهُ، إِنْ شَاءَ اللَّهُ، وَالْقَوِيُّ فِيكُمْ ضَعِيفٌ حَتَّى آخُذَ الْحَقَّ مِنْهُ، إِنْ شَاءَ اللَّهُ،

Maksudnya:Hai Manusia, aku telah dilantik ke atas kamu dan bukanlah aku yang terbaik dalam kalangan kamu. Sekiranya aku memerintah dengan baik maka bantulah aku. Dan sekiranya aku memerintah dengan buruk, maka perbetulkan aku. Kebenaran itu merupakan amanah, dan pendustaan  itu adalah sebuah pengkhianatan. Mereka yang lemah di kalangan kamu adalah kuat di sisiku sehingga aku mengambil haknya daripada diri mereka dengan izin Allah,dan mereka yang kuat di kalangan kamu lemah di sisiku sehingga aku mengambil hak darinya dengan izin Allah.” (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 5/248)

Sebagaimana ucapan Saidina Abu Bakar RA menunjukkan prinsip keadilan yang menjadi pegangan pemimpin bahawa mereka ibarat hamba kepada rakyat yang lemah. Pemimpin adalah pembela mereka, sehinggalah hak golongan lemah dikembalikan. Selain itu ucapan tersebut juga menunjukkan bahawa prinsip keadilan yang mesti ditegakkan pemerintahan Islam. Orang kuat akan hanya dianggap benar-benar kuat setelah dia memberikan hak untuk yang lemah dan tugas untuk memastikan hal itu berlaku adalah tanggungjawab pemimpin itu juga. Gabungan dua penegasan ini membentuk prinsip keadilan yang merupakan antara teras utama pemerintahan Islam. Hak dan keadilan adalah milik semua warga, tanpa mengira lapisan masyarakat atau batasan keturunan.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ وَلِّ أُمُوْرَنَا خِيَارَنَا ، وَلَا تُوَلِّ أُمُوْرَنَا شِرَارَنَا

Maksudnya: “Ya Allah! Lantiklah untuk urusan kami (pemerintahan) orang-orang yang terbaik di kalangan kami. Janganlah Engkau lantik untuk urusan kami orang-orang yang  terburuk di kalangan kami.” (Lihat Ibtihalat wa Da’awat oleh Dr Yusuf al-Qaradhawi, hlm. 68)

Leave a Reply