Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada soalan, boleh ke jamak qasar maghrib 2 rakaat dan isyak 2 rakaat?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Solat jamak dan qasar adalah merupakan rukhsah yang diberikan oleh Allah SWT. Ia merupakan kemudahan yang dianugerahkan kepada umat Islam agar mereka boleh menunaikan ibadat solat di mana sahaja mereka berada. Perkara ini dinyatakan oleh Allah SWT di dalam firmannya:
وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ
Maksudnya: “Dan jika kamu bermusafir di muka bumi ini, maka tidak berdosa ke atas kamu untuk memendekkan solat (solat empat rakaat dijadikan kepada dua rakaat).”
(Surah al-Nisa’:101)
Imam al-Nawawi berkata: “Ayat ini mengaitkan hukum qasar dengan al-dorb `ala al-ardh (permusafiran). Justeru, jika seseorang ialah penduduk suatu kota maka dia boleh qasar apabila dia berpisah daripada bangunan yang dinisbah kepada kota tersebut.” (Lihat al-Majmu` Syarh al-Muhazzab, 4/346)
Terdapat tujuh syarat bagi melaksanakan qasar:
- Hendaklah permusafiran seseorang itu jaraknya dua marhalah.
- Hendaklah musafir itu dengan tujuan yang baik.
- Hendaklah seseorang itu mempunyai ilmu tentang bolehnya diqasarkan solat.
- Mestilah berniat qasar ketika takbiratul ihram.
- Hendaklah solat yang diqasarkan itu merupakan solat ruba’iyyah (empat rakaat seperti zuhur asar; maghrib isyak)
- Berterusannya permusafiran sehingga selesai solat.
- Hendaklah dia tidak menjadi makmum kepada orang yang solat penuh pada sebahagian dari solatnya. (Lihat Safinah al-Naja, hlm 48)
Kesimpulan
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan berdasarkan syarat qasar di atas, dapat kita fahami bahawa solat boleh diqasarkan bagi yang mempunyai 4 rakaat sahaja, manakala solat Subuh (2 rakaat) dan Maghrib (3 rakaat) kekal mengikut bilangan rakaat yang asal. Mengqasarkan solat maghrib kepada 2 rakaat, menjadikan solat seseorang itu tidak sah dan perlu diganti semula.
Sekali lagi kami katakan, asal dalam ibadat adalah tawaqquf atau tauqifi dengan maksud, kita mengambil apa yang Rasulullah SAW lakukan, dan bukan merekanya. Itulah yang ditafsirkan oleh ulama’. Benarlah hadith Nabi SAW: Daripada Malik bin al-Huwairith, sabda Rasulullah SAW:
صَلُّوا كَمَا رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي
Maksudnya: “Solatlah kamu semua sepertimana kamu semua melihat aku mendirikan solat.”
Riwayat al-Bukhari (631)
Imam al-Nawawi berkata: Hadith ini mengisyaratkan tuntutan agar mengerjakan ibadah mengikut cara bagaimana Rasulullah SAW ajarkan dan juga praktikkan. (Lihat al-Majmu‘, 4/521)
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”
(Surah Ibrahim: 40)