Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum pengguguran janin kerana dirogol?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

وَلَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنسَانَ مِن سُلَالَةٍ مِّن طِينٍ (12) ثُمَّ جَعَلْنَاهُ نُطْفَةً فِي قَرَارٍ مَّكِينٍ (13) ثُمَّ خَلَقْنَا النُّطْفَةَ عَلَقَةً فَخَلَقْنَا الْعَلَقَةَ مُضْغَةً فَخَلَقْنَا الْمُضْغَةَ عِظَامًا فَكَسَوْنَا الْعِظَامَ لَحْمًا ثُمَّ أَنشَأْنَاهُ خَلْقًا آخَرَ ۚ فَتَبَارَكَ اللَّهُ أَحْسَنُ الْخَالِقِينَ

Maksudnya: “Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah; Kemudian Kami jadikan “pati” itu (setitis) air benih pada penetapan yang kukuh; Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta.”

(Surah al-Mukminun: 12-14)

Dalam ayat ini, Allah SWT menyatakan empat peringkat perkembangan yang disebut di dalam hadis di atas dan menambah tiga peringkat yang lain. Dengan ini ia menjadi tujuh peringkat. Ibn Abbas R.Anhuma pernah berkata: “Anak Adam telah diciptakan dari tujuh peringkat kemudian beliau membaca ayat ini.” (Lihat al-Wafi fi Syarh al-Arba‘in al-Nawawiyyah, hlm. 26).

Dalam menjawab persoalan di atas, kami kemukakan beberapa fatwa berhubung isu ini:

Fatwa Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi

Dalam kitabnya Fatawa Mu’asirah (2/609-612), antara lain beliau menyebut: “Bahawa wanita yang dilakukan seperti itu dengan kekerasan tidaklah berdosa kerana bukan pilihan tetapi paksaan serta tekanan yang amat kuat.” Benarlah firman Allah SWT:

فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ ۚ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: Maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

(Surah al-Baqarah: 173)

Begitu juga dengan hadith, sabda Rasulullah SAW:

إنَّ الله وضَعَ عنْ أمتِى الخَطأَ والنسيَانَ وَمَا اسْتُكْرِهُوا عليهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengampunkan ummatku perbuatan tersilap, lupa dan dipaksa.

Riwayat Ibn Majah (1/659) dan disahihkan al-Hakim (2/198) dan dipersetujui al-Zahabi dan al-Baihaqi (6/356)

Dalam keadaan uzur dan terpaksa, maka tidak mengapa memilih salah satu daripada dua pendapat yang lain. Ini kerana jika keuzuran begitu kuat, maka rukhsah lah yang terzahir. Isu penganiayaan daripada musuh yang kafir lagi jahat terhadap wanita Islam yang baik termasuk dalam uzur yang kuat. Justeru, rukhsah untuk pengguguran dibenarkan berdasarkan fatwa berkenaan dharurat hendaklah diambil mengikut kadarnya.

Walaupun begitu, suka ditegaskan di sini bahawa menjadi hak wanita Islam yang diuji dengan sebegini untuk memelihara janin tersebut dan tidak menjadi kesalahan dari segi hukum syara’nya. Dia tidak boleh dipaksa menggugurkannya dan jika selamat lahir, anak tersebut dianggap sebagai anak Islam kerana dilahirkan dalam fitrah iaitu tauhid dengan maksud Islam.

Begitu juga fuqaha’ telah membuat kaedah bahawa anak, apabila dua ibu bapa berlainan agama hendaklah mengikuti yang terlebih baik agamanya. Masyarakat dan negara hendaklah mengambil prihatin dalam memelihara dan infaq kepadanya serta memastikan tarbiyah dan asuhan diterima dengan baik, dan jangan biarkan tanggungjawab terpikul kepada si ibu yang miskin.

Fatwa Syeikh Jada al-Haq Ali Jada al-Haq

Dalam Buhuth wa Fatawa Islamiyyah fi Qadaya Mu’asirah (2/115), beliau berkata: Zahir daripada salaf al-soleh, bahawa pengguguran secara umumnya haram sama ada sebelum ditiupkan roh atau selepasnya kerana dalil-dalil yang terdahulu kecuali kerana keuzuran dan hukum ini tidaklah berubah dengan sebab kandungan hamil tersebut daripada zina, rogol sama ada redha atau tidak kerana ia adalah makhluk Allah. Hal ini tidak dibenarkan lebih-lebih lagi selepas ditiupkan roh.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلَاءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوءِ القَضَاءِ ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Kami berlindung kepada-Mu daripada ujian yang berat, hinanya kecelakaan, buruknya takdir dan celaan para musuh (atas bala, ujian dan kecelakaan yang menimpa).”

Leave a Reply