Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah kelebihan beramal dengan doa pemuda Ashab al-Kahfi?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Firman Allah SWT:
إِذْ أَوَى ٱلْفِتْيَةُ إِلَى ٱلْكَهْفِ فَقَالُوا۟ رَبَّنَآ ءَاتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةًۭ وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًۭا
Maksudnya: “Ketika sekumpulan pemuda mencari perlindungan di dalam sebuah gua lalu mereka berkata, “Wahai Tuhan kami, berikanlah kami rahmat daripada sisi-Mu dan sediakan bagi kami petunjuk dalam urusan kami ini.”
(Surah al-Kahfi: 10)
Dalam ayat ini, terkandung doa yang dibaca oleh pemuda Ashab al-Kahfi ketika mereka berlindung di dalam sebuah gua. Ia merupakan antara doa yang sangat baik untuk diamalkan. Doa tersebut telah dirakamkan menerusi ayat ke-10 daripada surah ini, iaitu:
رَبَّنَآ ءَاتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةًۭ وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًۭا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berikanlah kami rahmat daripada sisi-Mu dan sediakan bagi kami petunjuk dalam urusan kami ini.”
Ibn Kathir ketika mentafsirkan ayat ini menyatakan bahawa maknanya adalah: “Kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi-Mu, yang dengannya Engkau mengasihi kami. Dan tetapkanlah bagi kami petunjuk yang lurus dalam urusan kami. Dengan kata lain, jadikanlah kesudahan akhir kami di atas petunjuk yang lurus.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/230)
Tambahan lagi, al-Tabari menjelaskan, kalimah (رَشَدًۭا) dalam ayat ini bermaksud petunjuk dalam mengamalkan perbuatan yang Allah SWT cintai. (Lihat Jami‘ al-Bayan ‘an Ta’wil al-Quran, 17/605)
Selain daripada itu, Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili juga ada menyebutkan beberapa tafsiran bagi ayat ini. Antaranya ialah, “Dan sempurnakanlah petunjuk yang lurus bagi kami dalam urusan kami.” Atau ia bermakna, “Jadikanlah ujian kami ini sebagai petunjuk yang lurus, Engkau mencukupkan kemaslahatan kami dan menjadikan kami termasuk golongan yang mendapat petunjuk dan bukan golongan yang sesat, juga tergolong orang yang mendapat hidayah bukan golongan yang dalam kebingungan.” Atau boleh juga bermaksud, “Jadikanlah segala urusan kami ini sebagai perkara yang benar.” (Lihat al-Tafsir al-Munir, 15/217)
Berhubung dengan doa ini juga, terdapat sebuah kisah yang diceritakan oleh Dr. Syihabuddin Abu Zahw, di mana beliau menukilkan kisah rakannya, Dr. ‘Abd al-Sami‘ Anis, yang merupakan seorang profesor dalam ilmu hadith di Universiti al-Syariqah yang menyebutkan bahawa: “Hajatku telah diperolehi kerana melazimi membaca doa ini bersama keluargaku pada hari Jumaat dengan banyak kali.” (Lihat Tafsir al-Bayan, 3/192-193)
Begitu juga, kami ingin menceritakan sebuah kisah yang mana ketika itu kami masih lagi menjawat jawatan Mufti Wilayah Persekutuan ketika mana dalam permusafirannya ke bumi Turki bersama rombongan kami pada awal tahun 2020. Di sana, kami telah bertemu salah seorang pakar hadith pada masa kini iaitu al-Syeikh al-‘Allamah Muhammad ‘Awwamah untuk berbincang mengenai banyak perkara. Setelah itu, sebelum mereka berangkat, Syeikh ‘Awwamah telah memanggil kami dan berpesan kepada kami untuk beramal dengan sebuah doa. Namun, kami syak akan doa yang diamanahkan tersebut, sama ada doa ini:
رَبَّنَآ ءَاتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةًۭ وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًۭا
Atau doa:
رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً ۚ إِنَّكَ أَنتَ الْوَهَّابُ.
Oleh yang demikian, kami berpesan dan menasihatkan supaya kita sama-sama beramal dengan kedua-dua doa tersebut.