Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apa hukum pengguguran janin disebabkan usia isteri masih dalam lingkungan usia 19 tahun?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Anak-anak merupakan anugerah daripada Allah SWT kepada sesiapa yang Dia kehendaki, sebagaimana yang difirmankan-Nya:
يَهَبُ لِمَنْ يَشَاء إِنَاثًا وَيَهَبُ لِمَن يَشَاء الذُّكُورَ
Maksudnya: “Ia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendakiNya.”
Surah al-Syura (49)
Syeikh al-Maraghi menyatakan bahawa maksud anak di sini ialah anak kandung sahaja. Seseorang yang mencintai isteri dan anaknya mempunyai sebab yang sama, iaitu meneruskan keturunan dan mengekalkan zuriat manusia. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/705-706)
Menjawab persoalan di atas bahawa tidak seharusnya bahkan boleh membawa kepada haram jika tidak ada asas yang kukuh seperti pendapat pakar yang mengizinkan pengguguran tersebut.
Menurut Fatawa Lajnah al-Daimah (no. 11234) menyebut bahawa tidak harus perlakuan untuk menggugurkan kandungan isteri tanpa seab-sebab Syara’ yang mengizinkannya.
Antara tujuan perkahwinan itu, untuk mendapatkan zuriat solehah sebagaimana
Sa’id bin Abi Hilal, bahawa Nabi SAW bersabda:
تَنَاكَحُوا، تَكْثُرُوا، فَإِنِّي أُبَاهِي بِكُمُ الْأُمَمَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
Maksudnya: “Berkahwinlah kamu dan perbanyakkanlah zuriat kerana sesungguhnya aku berbangga dengan kamu umat yang banyak pada hari Kiamat.”
Riwayat Abd al-Razzaq dalam al-Musannaf (10391). Al-’Ajluni dalam Kasyf al-Khafa’ menyatakan ia adalah mursal.
Sejarah membuktikan, nenek moyang kita berkahwin dalam usia yang amat muda. Ada yang 12, 13, 14, 15, 16, 17, 18, 19 tahun. Hal ini bukanlah jauh, hanya berlaku sekitar 40-50 tahun yang lalu. Begitu juga dengan bangsa-bangsa yang lain.
Begitu juga anak-anak menjadi cahaya mati dan penyejuk hati sebagaimana firman Allah SWT:
وَالَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Dan juga mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
(Surah al-Furqan: 74)
Ibn Kathir dalam menjelaskan maksud “وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا” (dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa), menukilkan pendapat Ibn Abbas, al-Hasan, al-Suddi, Qatadah dan al-Rabi’ bin Anas yang berkata: “Iaitu para pemimpin yang diteladani dalam kebaikan.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/134)
Al-Sabuni berkata, jadikanlah kami pada suami-suami kami/isteri-isteri kami dan anak-anak kami kegembiraan dan kebahagiaan dengan sentiasa berpegang dalam ketaatan kepada-Mu dan beramal dalam mencari keredhaan-Mu. (Lihat Sofwah al-Tafasir, 2/340)
Syeikh al-Maraghi pula menyebut: Mereka juga memohon agar Allah SWT menjadikan mereka sebagai pemimpin yang diteladani ketika menegakkan panji-panji agama dengan menganugerahkan ilmu yang luas serta memberinya taufik bagi mengerjakan amal soleh. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 10/4902)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا
Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”