Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Lelaki menyerupai perempuan dan sebaliknya dilarang dalam Islam. Bolehkah kita sebagai Muslim untuk memuji-muji kecantikan seorang pondan seperti perempuan atau kekacakan seorang pengkid seperti lelaki. Contohnya si A memuji si B (pondan) lebih cantik daripada perempuan sejati ataupun memuji-muji penampilannya yang nampak cantik.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan sabda Nabi SAW:
مَرْحَبًا بِالأَخِ الصَّالِحِ وَالنَّبِيِّ الصَّالِحِ
Maksudnya: Selamat datang kepada saudara yang soleh dan juga Nabi yang soleh.
Riwayat al-Bukhari (3393)
Daripada hadis ini, Imam al-Nawawi Rahimahullah menyatakan bahawa:
وَفِيهِ جَوَازُ مَدْحِ الْإِنْسَانِ فِي وَجْهِهِ إِذَا أُمِنَ عَلَيْهِ الْإِعْجَابُ وَغَيْرُهُ مِنْ أَسْبَابِ الْفِتْنَةِ
Maksudnya: Dan pada hadis ini terdapatnya keharusan untuk memuji seseorang secara berhadapan, sekiranya dia berasa aman dari perasaan ‘ujub dan selamat bagi orang lain daripada sebab-sebab yang boleh mendatangkan fitnah. Lihat al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, Al-Nawawi, 2/357).
Kesimpulan
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan hukum asal memuji seseorang itu adalah harus selagi mana perkara yang dipuji itu adalah perkara yang baik dan bukannya maksiat. Oleh itu, dalam isu ini hukum memuji mereka yang melakukan perkara mungkar seperti berpakaian berlawanan jantina adalah berdosa kerana seolah-olah kita berasa senang dengan kemungkaran yang dilakukan secara terang-terangan (mujaharah). Justeru, sewajarnya kita mengelakkan daripada menyukai atau memuji mereka berpakaian sebegitu kerana ia akan menyebabkan mereka berasa lebih selesa dan berasa tidak bersalah.
Akhir kalam, semoga Allah SWT membuka pintu hati mereka untuk berubah, diberikan hidayah, serta menjadi lebih baik. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”