Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah surah al-Kahfi Makkiyyah atau Madaniyyah? Dan berapa bilangan ayatnya?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Surah Al-Kahfi (سُورَةُ الْكَهْفِ) adalah surah ke-18 di dalam al-Quran. Berkenaan dengan tempat penurunan Surah al-Kahfi, menurut Ibn ‘Atiyyah dan Ibn al-Jauzi, para mufassir bersepakat mengatakan bahawa Surah al-Kahfi merupakan surah Makkiyyah, dan terdapat beberapa pendapat berkenaan bilangan ayatnya:

  • Ahli Kufah: 110 ayat.
  • Ahli Syam: 106 ayat.
  • Ahli Hijaz: 105 ayat.
  • Ahli Basrah: 111 ayat.

Masyhur dalam percetakan al-Quran di Malaysia, surah ini mempunyai sebanyak 110 ayat, seperti mana pendapat Ahli Kufah.

Terdapat pandangan yang menyatakan bahawa beberapa ayat daripada surah ini adalah dalam kategori Madaniyyah, iaitu ayat 1-8; ayat 28-29; dan ayat 107-110. Walau bagaimanapun, pandangan ini ditolak oleh ahli tahqiq dalam kalangan mufassir seperti Ibn ‘Atiyyah sendiri, Ibn ‘Asyur, al-Tantawi dalam al-Wasit dan lain-lain. (Lihat Tafsir al-Bayan, 3/177)

Majd al-Din al-Fairuzabadi mengatakan, terdapat 11 ayat yang diperselisihi sama ada ia adalah ayat Makkiyyah atau Madaniyyah. Ayat-ayat tersebut adalah: ayat 13, ayat 22, ayat 23, ayat 32, ayat 35, ayat 84, ayat 85, ayat 86, ayat 89, ayat 92, dan ayat 103. (Lihat Basa’ir Zawi al-Tamyiz, 1/297; Ahdaf Kulli Surah wa Maqasiduha fi al-Quran al-Karim, hlm. 200; Asma’ Suwar al-Quran wa Fadha’iluha, hlm. 253)

Antara kandungan surah al-Kahfi adalah:

  • Gambaran tentang al-Quran, bahawa ia adalah kitab yang benar, tidak ada kelemahan (kecacatan) di dalamnya. Al-Quran datang untuk memberikan berita gembira dan peringatan.
  • Apa yang ada di muka bumi ini adalah merupakan perhiasan baginya. Allah SWT telah menciptakan setiap kejadian bagi menguji manusia dan melihat bagaimana manusia memanfaatkannya.
  • Apa yang terjadi dalam kisah Ashab al-Kahfi (penghuni gua) tidaklah besar jika dibandingkan dengan apa yang ada dalam setiap kerajaan langit dan bumi.
  • Keterangan tentang seksaan dan hukuman yang diterima oleh orang kafir pada hari Kiamat nanti.
  • Perumpamaan yang jelas tentang keadaan kaum mukminin yang fakir dan kaum musyrikin yang kaya.
  • Catatan amal seseorang akan diperlihatkan pada hari akhirat nanti, dan akan bertempiaranlah orang yang derhaka kepada Allah SWT.
  • Kisah permusuhan antara Iblis dengan Nabi Adam AS dan anak-anaknya.
  • Kisah Nabi Nabi Musa A.S dan Khidir A.S.
  • Kisah Zulqarnain dengan tembok Ya’juj dan Ma’juj, dan kisah bagaimana Zulqarnain membina tembok untuk menghalang Ya’juj dan Ma’juj melakukan kerosakan dunia.
  • Gambaran tentang amalan musyrik adalah sesat dan akan sia-sia di akhirat kelak.
  • Nikmat kesenangan yang akan diperoleh oleh orang yang beriman di akhirat kelak.
  • Ilmu Allah SWT tidak akan habis. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 8/4196)

Perkataan al-Kahf (الْكَهْفُ) di dalam bahasa Arab bermaksud “gua”. Manakala, Ashab al-Kahfi pula bermaksud “penghuni-penghuni gua”. Nama ini juga diambil daripada kisah yang terdapat dalam surah ini iaitu pada ayat 9 hingga 26 mengenai beberapa orang pemuda yang ditidurkan oleh Allah SWT di dalam gua bertahun-tahun lamanya.

Nama tauqifi bagi surah ini sepertimana yang dinamakan sendiri oleh Rasulullah SAW ialah Surah al-Kahfi. (Lihat al-Itqan Fi Ulum al-Quran, 1/193; al-Tahrir Wa al-Tanwir, 15/241)

Ini berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan daripada Abu al-Darda’ R.A bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ حَفِظَ عَشْرَ آيَاتٍ مِنْ أَوَّلِ سُورَةِ الْكَهْفِ عُصِمَ مِنَ الدَّجَّالِ

Maksudnya: “Sesiapa yang menghafal sepuluh ayat daripada awal Surah al-Kahfi, dia akan dilindungi daripada Dajjal.”

Riwayat Muslim (809)

Riwayat-riwayat daripada sahabat R.Anhum juga menunjukkan bahawa mereka mengenali surah ini dengan nama ‘al-Kahfi’. Antaranya riwayat daripada Ibn Mas‘ud R.A, seperti yang disebutkan di dalam Surah al-Isra’ sebelum ini. Begitu juga dengan sebuah riwayat daripada al-Bara’ bin ‘Azib R.A, bahawa beliau berkata:

كَانَ رَجُلٌ يَقْرَأُ سُورَةَ الكَهْفِ، وَإِلَى جَانِبِهِ حِصَانٌ مَرْبُوطٌ بِشَطَنَيْنِ، فَتَغَشَّتْهُ سَحَابَةٌ، فَجَعَلَتْ تَدْنُو وَتَدْنُو وَجَعَلَ فَرَسُهُ يَنْفِرُ، فَلَمَّا أَصْبَحَ أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَذَكَرَ ذَلِكَ لَهُ فَقَالَ: تِلْكَ السَّكِينَةُ تَنَزَّلَتْ بِالقُرْآنِ

Maksudnya:Ketika seorang lelaki sedang membaca Surah al-Kahfi dan di sisinya ada seekor kuda yang terikat dengan dua tali, sekumpulan awan tiba-tiba menaunginya sedikit demi sedikit, lalu ia semakin dekat dan bertambah dekat, sehingga menyebabkan kudanya lari. Apabila tiba waktu pagi, dia bertemu Rasulullah SAW, lantas menceritakan perkara itu. Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Itulah ketenangan yang turun dengan al-Quran.”

 Riwayat al-Bukhari (5011)

Penamaan ini bertepatan dengan kemunculan kisah Ashab al-Kahfi yang tidak ada disebutkan di dalam surah yang lain melainkan surah ini. (Lihat Asma’ Suwar al-Quran wa Fada’iluh, hlm. 255)

Begitu juga dengan kalimah ‘Kahf’ yang tidak terdapat di dalam al-Quran melainkan sebanyak enam kali dan kesemuanya ada terdapat di dalam surah ini. (Lihat al-Mu’jam al-Mufahras Li Alfaz al-Quran, hlm. 621)

Selain nama al-Kahfi, ia turut disebut dalam sesetengah riwayat dengan penambahan perkataan ‘ashab’ (أَصْحَابُ) sebelum perkataan ‘al-Kahf’, menjadikan namanya sebagai surah ‘Ashab al-Kahfi’, bermaksud surah orang-orang yang menghuni gua, iaitu merujuk kepada tujuh pemuda dalam kisah tersebut. Antara riwayat yang dirakamkan dengan penambahan ini ialah sebuah hadith panjang mengenai kemunculan Dajjal di akhir zaman yang diriwayatkan oleh al-Nawwas bin Sam‘an al-Kilabi R.A.

Dalam hubungan ini, antara petikan riwayat tersebut berkaitan Surah al-Kahfi ialah bimbingan Rasulullah SAW kepada sesiapa yang bakal berhadapan dengan fitnah Dajjal menerusi sabda baginda, daripada al-Nawwas bin Sam‘an R.A, daripada Rasulullah SAW, Baginda bersadba:

فَمَنْ رَآهُ مِنْكُمْ فَلْيَقْرَأْ فَوَاتِحَ سُورَةِ أَصْحَابِ الكَهْفِ

Maksudnya: “Maka sesiapa yang melihatnya dalam kalangan kamu, hendaklah dia membaca pembukaan surah Ashab al-Kahfi.”

Riwayat al-Tirmizi (2240). Beliau berkata: Ini hadith hasan sahih.

Selain nama ‘al-Kahfi’ dan ‘Ashab al-Kahfi’ terdapat juga beberapa kitab tafsir yang menyebut nama lain bagi surah ini, iaitu ‘al-Ha’ilah’ (الحائلة) yang bermaksud penghalang. Ini kerana antara fadhilat surah ini ialah ia menjadi penghalang kepada pembaca dan pengamalnya daripada api neraka di hari akhirat. (Lihat al-Durr al-Manthur fi al-Tafsir al-Ma’thur, 5/356; Ruh al-Ma’ani fi Tafsir al-Quran al-Azim wa al-Sab‘ al-Mathani, 8/189)

Walau bagaimanapun, di sebalik kesahihan banyak riwayat mengenai fadhilat surah al-Kahfi, para ulama’ dan pengkaji menegaskan bahawa riwayat berkaitan penamaannya sebagai ‘al-Ha’ilah’ adalah tidak kuat. (Lihat Ruh al-Ma’ani Fi Tafsir al-Quran al-Azim Wa al-Sab‘ al-Mathani, 8/189; Asma’ Suwar al-Quran Wa Fada’iluh, hlm. 258)

Bagi mereka yang ingin mendapatkan penerangan yang lebih lanjut, sila rujuk e-Bahth Ilmi kami yang bertajuk: Menelusuri Kisah Ashab al-Kahfi di dalam apps kami, al-Inarah.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

Leave a Reply