Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh tafsirkan kepada kami ayat 9-10 daripada Surah al-Kahfi?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

أَمْ حَسِبْتَ أَنَّ أَصْحَابَ الْكَهْفِ وَالرَّقِيمِ كَانُوا مِنْ آيَاتِنَا عَجَبًا ‎

Maksudnya: Adakah engkau menyangka (wahai Muhammad), bahawa kisah Ashab al-Kahfi dan al-Raqim itu sahaja yang menakjubkan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan Kami?”

(Surah al-Kahfi: 9)

Ulama’ berbeza pandangan dalam menafsirkan kalimah “الرَّقِيمِ”. Antara penafsiran mereka adalah sepertimana berikut:

  • Ibn ‘Asyur berkata: Ia adalah kitab yang ada bersama Ashab al-Kahfi dalam gua itu. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 15/260).
  • Ibn Jarir al-Tabari memilih pandangan bahawa ia adalah Lauh iaitu kepingan batu atau sesuatu yang ditulis catatan padanya. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 5/80).
  • Al-Dhahhak menyatakan: Disebutkan bahwa al-Raqim adalah sebuah kota di wilayah Rom. Dikatakan juga ia merupakan nama gunung di mana terdapat padanya gua. Selain itu dikatakan ia adalah nama bagi lembah tempat gua tersebut berada.
  • Muhammad Amin al-Syanqiti menafsirkan kalimah tersebut sebagai sesuatu yang dicatat sama ada al-Raqim itu adalah kitab yang ada pada mereka yang mengandungi syariat mereka yang dipegang teguh, atau sebuah Lauh (lembaran) dari emas yang ditulis di atasnya nama-nama mereka, keturunan mereka, kisah mereka, dan sebab-sebab  kepergian mereka, atau sebuah batu yang dipahat di atasnya nama-nama mereka. Pengetahuan tentang perkara tersebut adalah Allah yang Maha mengetahui. (Lihat Adwa‘ al-Bayan fi Idah al-Quran bi al-Quran,4/26)
  • Al-Nasafi menyatakan al-Raqim adalah nama bagi anjing mereka atau nama kampung mereka atau nama kitab yang ditulis mengenai mereka atau nama gunung dimana tempat gua itu berada. (Lihat Madarik al-Tanzil wa Haqaiq al-Ta’wil,2/287)

Manakala Fakhr al-Din al-Razi ketika menafsirkan ayat “كَانُوا مِنْ آيَاتِنَا عَجَبًا” beliau menyatakan: Ketahuilah bahawa terdapat satu kaum yang amat teruja dengan kisah Ashab al-Kahfi, dan mereka bertanya tentangnya kepada Rasul sebagai ujian kepadanya. Maka Allah SWT  berfirman: ‘Apakah engkau mengira bahawa mereka (orang-orang yang takjub dengan kisah Ashab al-Kahfi) hanya teruja dengan tanda-tanda itu sahaja? Janganlah engkau mengira begitu, kerana semua tanda-tanda Kami adalah luar biasa. Sesungguhnya Allah SWT  mampu menciptakan langit dan bumi, kemudian menghiasi bumi dengan berbagai macam logam, tumbuhan, dan haiwan, kemudian menjadikannya dataran yang rata dan kosong setelah itu. Oleh yang demikian, bagaimana mungkin  mereka mampu mengingkari kekuasaan, perlindungan, dan rahmat-Nya, dalam menjaga golongan tersebut selama tiga ratus tahun dan lebih dalam keadaan tidur? Inilah salah satu contoh dalam aturan alam. Allah-lah yang lebih mengetahui. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 21/428).

Pujangga menyebut:

وَفي كُلِّ شَيءٍ لَهُ آيَةٌ               تَدُلُّ عَلى أَنَّهُ واحِدُ

 Pada setiap sesuatu baginya petanda

                 yang menunjukkan bahawa Tuhan itu adalah Maha Satu.

(Lihat Muhadarat al-Udaba’ oleh al-Raghib, 4/82; al-Tamthil wa al-Muhadarah oleh Abu Mansur al-Tha‘alibi, hlm. 11; Al-Muntazam oleh Ibn al-Jauzi, 10/241)

Firman Allah SWT:

 إِذْ أَوَى الْفِتْيَةُ إِلَى الْكَهْفِ فَقَالُوا رَبَّنَا آتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا

Maksudnya: “Ketika sekumpulan pemuda mencari perlindungan di dalam sebuah gua lalu mereka berkata, “Wahai Tuhan kami, berikanlah kami rahmat daripada sisi-Mu dan sediakan bagi kami petunjuk dalam urusan kami ini.”

(Surah al-Kahfi: 10)

Ibn Kathir menyebut dalam mentafsirkan ayat ini: “Maksudnya kurniakanlah kepada kami rahmat dari sisi-Mu, yang dengannya Engkau mengasihi kami. Dan tetapkanlah bagi kami petunjuk yang lurus dalam urusan kami. Dengan kata lain, jadikanlah kesudahan akhir kami di atas petunjuk yang lurus.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/230).

Imam al-Tabari menjelaskan, lafaz “رَشَدًا” maksudnya adalah petunjuk dalam mengamalkan perbuatan yang Allah cintai. (Lihat Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil al-Quran, 17/605)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebut dalam tafsirnya: “Dan sempurnakanlah petunjuk yang lurus bagi kami dalam urusan kami.” Atau bermakna, “Jadikanlah ujian kami ini sebagai petunjuk yang lurus, Engkau mencukupkan kemaslahatan kami dan menjadikan kami termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk dan bukan golongan orang-orang yang sesat, juga tergolong orang yang mendapat hidayah bukan golongan yang dalam kebingungan.” Atau, “Jadikanlah segala urusan kami ini sebagai perkara yang benar.” (Lihat al-Tafsir al-Munir, 15/217).

Bagi mereka yang ingin mendapatkan penerangan yang lebih lanjut, sila rujuk e-Bahth Ilmi kami yang bertajuk: Menelusuri Kisah Ashab al-Kahfi di dalam apps kami, al-Inarah.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

Leave a Reply