Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh jelaskan, apakah amalan-amalan agar selamat daripada azab kubur?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Abu Laith al-Samarqandi berkata: “Sesiapa yang ingin selamat daripada azab kubur, maka dia hendaklah berterusan melakukan empat perkara dan meninggalkan empat perkara. Empat perkara yang harus sentiasa dilakukan dan dipelihara adalah:
- Solat lima waktu
- Bersedekah
- Membaca al-Quran
- Banyak bertasbih
Sesungguhnya empat hal ini adalah menerangi kubur dan melapangkannya.
Adapun empat perkara yang wajib dihindari adalah:
- Berdusta
- Melakukan khianat
- Mengadu domba
- Tidak berhati-hati ketika membuang air kecil. (Lihat Tanbih al-Ghafilin, hlm. 45)
Imam al-Qurtubi pula menyebut bahawa antara perkara yang dapat menyelamatkan daripada azab kubur, adalah:
- Menjaga wilayah Islam dan daerah sempadan daripada musuh-musuh Islam.
- Membaca surah al-Mulk setiap malam. Begitu juga membaca surah al-Ikhlas pada waktu sakit sebelum meninggal.
- Meninggal pada hari Jumaat atau malam Jumaat.
- Meninggal dalam peperangan melawan orang kafir (mati syahid). Termasuk digolongkan dengan syahid adalah orang beriman yang meninggal disebabkan wabak Taun, sakit perut, tenggelam, ditimpa runtuhan, melahirkan, kebakaran, membela harta, darah dan kehormatannya. (Lihat al-Tazkirah, hlm. 187-188)
Antara yang dapat menjadi sebab seseorang terselamat daripada seksa kubur adalah membersihkan diri dan bersuci dengan sempurna dari kencing ketika selesai kencing. Dalam hadis yang telah disebutkan, daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, bahawa Nabi SAW pernah melalui dua buah kubur, lalu Baginda bersabda:
إِنَّهُمَا لَيُعَذَّبَانِ وَمَا يُعَذَّبَانِ فِي كَبِيرٍ أَمَّا أَحَدُهُمَا فَكَانَ لاَ يَسْتَتِرُ مِنَ البَوْلِ وَأَمَّا الآخَرُ فَكَانَ يَمْشِي بِالنَّمِيمَةِ
Maksudnya: “Sesungguhnya dua mayat ini (di dalam kubur ini) sedang diseksa tetapi bukanlah kerana mereka melakukan dosa yang besar. Seorang daripadanya diseksa kerana tidak mencuci air kencingnya dengan betul dan sempurna, manakala seorang lagi diseksa kerana sentiasa berjalan bagi tujuan mengadu domba.”
Riwayat al-Bukhari (218)
Selain itu, antara yang dapat menyelamatkan seseorang daripada seksa kubur adalah dengan sering memohon kepada Allah SWT agar dilindungi daripada azab kubur. Sesungguhnya Nabi SAW banyak memohon perlindungan daripada azab kubur dan memerintahkan para sahabatnya untuk melakukan hal demikian. Diriwayatkan daripada Abu Sa’id al-Khudri R.A, katanya:
إِنَّ هَذِهِ الأُمَّةَ تُبْتَلَى فِى قُبُورِهَا فَلَوْلاَ أَنْ لاَ تَدَافَنُوا لَدَعَوْتُ اللَّهَ أَنْ يُسْمِعَكُمْ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ الَّذِى أَسْمَعُ مِنْه. ثُمَّ أَقْبَلَ عَلَيْنَا بِوَجْهِهِ فَقَالَ: تَعَوَّذُوا بِاللَّهِ مِنْ عَذَابِ النَّارِ. قَالُوا: نَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْ عَذَابِ النَّارِ، فَقَالَ: تَعَوَّذُوا بِاللَّهِ مِنْ عَذَابِ الْقَبْر. قَالُوا: نَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ.
Maksudnya: “Sesungguhnya umat ini akan diuji di dalam kubur-kubur mereka. Kalaulah bukan kerana kamu akan takut di kubur, tentulah aku memohon kepada Allah agar diperdengarkan pada kamu daripada seksa kubur seperti yang aku dengar.” Kemudian Rasulullah SAW menghadap kami seraya bersabda: “Mintalah perlindungan kepada Allah daripada azab api neraka.” Para sahabat pun mengucapkan: “Kami berlindung kepada Allah daripada azab api neraka.” Baginda bersabda lagi: “Mintalah perlindungan kepada Allah daripada azab kubur.” Mereka pun mengucapkan: “Kami berlindung kepada Allah daripada azab kubur.”
Riwayat Muslim (2867)
Selain itu, Rasulullah SAW juga menyuruh kita untuk memohon perlindungan kepada Allah SWT daripada empat perkara ketika kita duduk tasyahhud dalam solat. Salah satunya adalah perlindungan daripada azab kubur. Doa yang dianjurkan untuk dibaca tersebut ialah:
اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur, daripada azab neraka, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah al-Masih al-Dajjal.”
Riwayat al-Bukhari (1377) dan Muslim (1352)
Imam al-Nawawi menyebut: Hadith ini menunjukkan thabitnya azab kubur dan fitnahnya. Inilah mazhab yang benar berbanding dengan pegangan mazhab Muktazilah. (Lihat Syarh Sahih Muslim, 5/85)
Daripada Abu Hurairah R.A, katanya: Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ آتَاهُ اللَّهُ مَالًا، فَلَمْ يُؤَدِّ زَكَاتَهُ مُثِّلَ لَهُ مَالُهُ يَوْمَ القِيَامَةِ شُجَاعًا أَقْرَعَ لَهُ زَبِيبَتَانِ يُطَوَّقُهُ يَوْمَ القِيَامَةِ، ثُمَّ يَأْخُذُ بِلِهْزِمَتَيْهِ – يَعْنِي بِشِدْقَيْهِ – ثُمَّ يَقُولُ أَنَا مَالُكَ أَنَا كَنْزُكَ
Maksudnya: “Sesiapa yang Allah SWT berikan harta kepadanya, namun tidak menunaikan zakatnya, maka pada hari kiamat kelak hartanya itu akan dijelmakan menjadi seekor ular yang sangat berbisa, licin kulit kepalanya dan memiliki dua taring berbisa (atau dua titik hitam di atas kedua matanya). Ia akan membelitnya pada hari kiamat. Kemudian, ia akan mematuknya dengan kedua rahangnya (taringnya), lalu berkata: “Akulah hartamu, akulah simpananmu.”
Riwayat al-Bukhari (1403)
Seterusnya, Rasulullah SAW membacakan firman Allah SWT:
وَلا يَحْسَبَنَّ الَّذِينَ يَبْخَلُونَ بِمَا آتَاهُمْ اللَّهُ مِنْ فَضْلِهِ هُوَ خَيْراً لَهُمْ بَلْ هُوَ شَرٌّ لَهُمْ سَيُطَوَّقُونَ مَا بَخِلُوا بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَلِلَّهِ مِيرَاثُ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضِ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ
Maksudnya: “Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahan-Nya menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. Bahkan, ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalungkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari Kiamat kelak. Dan bagi Allah jualah hak milik segala warisan (isi) langit dan bumi. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan segala yang kamu kerjakan.”
(Surah Ali-Imran: 180)
Hadith di atas menunjukkan perihal yang sama berkenaan betapa beratnya dosa bagi orang yang tidak mahu mengeluarkan zakat ke atas harta mereka. Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani mengatakan bahawa dosa tersebut terpakai ke atas orang yang mengingkari kewajipan zakat dan juga terhadap orang yang bakhil. (Lihat Fath al-Bari, 3/268)
Semoga kita semua dihidupkan dan dimatikan di atas landasan Islam dan diselamatkan daripada segala fitnah termasuk fitnah dan azab kubur. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ
Maksudnya: “Ya Allah! Kami berlindung dengan-Mu daripada seksa neraka Jahannam, dari seksa kubur dan aku berlindung dengan-Mu daripada fitnah dajjal dan aku berlindung dengan-Mu daripada fitnah hidup dan mati.”
اَللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا اَللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى اَلْإِسْلَامِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى اَلْإِيمَانِ اَللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ
Maksudnya: “Ya Allah, ampuni orang yang hidup di antara kami, orang yang meninggal dunia di antara kami, orang yang ada di kalangan kami dan orang yang tiada, yang kecil di kalangan kami dan yang tua, serta yang lelaki di kalangan kami dan yang perempuan. Ya Allah, orang-orang yang telah Engkau hidupkan di antara kami, maka hidupkanlah dia dalam Islam dan orang-orang yang telah Engkau matikan di antara kami, matikanlah dia dalam iman. Ya Allah, janganlah Engkau halang kami dari pahalanya dan janganlah Engkau sesatkan kami selepasnya.”