Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimana kedudukan para Nabi AS di dalam kubur mereka?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
الأنبياءُ أحياءٌ في قُبورِهم يُصلُّونَ
Maksudnya: “Para nabi itu hidup dalam kubur-kubur mereka dalam keadaan mereka bersolat.”
Riwayat al-Bazzar (6888), Abu Ya’la (3425) dan Ibn ‘Adi di dalam al-Kami fi al-Dhu’afa’ (2/327). Al-Haithami di dalam Majma’ al-Zawaid (214/8) menyatakan para perawi daripada sanad Abu Ya’la kesemuanya thiqah.
Begitu juga hadith yang diriwayatkan daripada Anas RA juga, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
أَتَيْتُ لَيْلَةَ أُسْرِيَ بِي عَلَى مُوسَى عِنْدَ الْكَثِيبِ الْأَحْمَرِ، وَهُوَ قَائِمٌ يُصَلِّي فِي قَبْرِهِ
Maksudnya: Pada malam aku diisra`kan, aku telah melalui kubur Nabi Musa di al-Katsibul al-Ahmar dan dia sedang berdiri sembahyang dalam kuburnya.
Riwayat Muslim (2375), al-Nasaie (1631)
Hadith ini menjadi dalil kepada kehidupan para Anbiya’ selepas kematian mereka, serta mereka mendapat kelebihan berbanding semua orang yang mati kecuali para syuhada’ Hal ini kerana Allah menghidupkan mereka dengan kehidupan khas yang terdapat nikmat dan karamah padanya.
Imam Abu al-Abbas al-Qurtubi menyatakan: Hadith ini menunjukkan pada zahirnya bahawa Rasulullah SAW melihat Nabi Musa dalam keadaan sedar dengan pandang yang hakikat. Nabi Musa hidup di dalam kuburnya dan bersolat di dalamnya sebagaimana solatnya beliau ketika masih hidup. Hal ini tidak mustahil walaupun sedikit. Dan benar, para syuhada’ juga hidup dan diberi rezeki kepada mereka. Didapati dalam kalangan mereka tidak berubah sedikitpun jasad mereka walaupun bertahun-tahun di dalam kubur. Sekiranya para syuhada’ pun sudah dijaga jasad mereka, apatah lagi bagi para anbiya’, mereka adalah lebih utama dalam hal ini. (Lihat al-Mufhim lima Ashkala min Kitab Talkhis Muslim, 6/192)
Ibn al-Qayyim menyatakan: Ruh-ruh para Nabi berada di langit setelah berpisah daripada jasad, manakalah Ruh Rasulullah SAW naik ke langit dalam keadaan baginda hidup kemudian dikembalikan ke jasad baginda kembali sebagaimana dalam peristiwa isra’ dan mikraj. Selepas baginda wafat, ruh baginda bersama dengan al-Rafiq al-A’la bersama dengan ruh-ruh para Anbiya’. Hal ini merupakan kemulian kepada jasad baginda. Disebabkan ini baginda boleh melihat Nabi Musa solat dikuburnya, dan melihatnya di langit keenam. Sudah diketahui bahawa Nabi Musa tidak dimi’rajkan ke langit daripada kuburnya tetapi ianya merupakan kedudukan ruhnya di langit. Kuburnya pula terletak jasadnya sehingga tibanya hari ruh dikembalikan ke jasadnya. Nabi SAW melihat Nabi Musa di kuburnya dan juga di langit keenam. (Lihat Zad al-Ma’ad, 3/40-41)
Persoalan yang timbul, bagaimana mereka solat di dalam kubur sedangkan solat ini hanya untuk orang yang masih hidup yang mukallaf. Imam Abu al-Abbas al-Qurtubi menjawab di dalam al-Mufhim lima Ashkala min Kitab Talkhis Muslim (6/192): Sesungguhnya perkara itu bukanlah termasuk kewajiban yang dibebankan kepadanya (taklif) tetapi untuk kemuliaan (tasyrif). Hal ini kerana mereka ketika hidup di dunia sentiasa melakukan ibadah kepada Allah dalam keadaan mereka menzalimi solat. Maka Allah mewafatkan mereka dan memuliakan mereka setelah kematian mereka dengan mengekalkan apa yang mereka cintai. Apa yang diketahui, Ibadah mereka adalah Ibadah Ilhamiah seperti ibadah Malaikat, bukan ibadah taklifiah. Hal ini sebagaimana kisah yang berlaku kepada al-Thabit al-Bunani RA, beliau sangat mencintai untuk solat dan berdoa:
اللهُمَّ إِنْ كُنْتَ أَعْطَيْتَ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ أَنْ يُصَلِّيَ لَكَ فِي قَبْرِهِ فَأَعْطِنِي ذَلِكَ
Maksudnya: Ya Allah, jika engkau memberikan kepada seseorang daripada ciptaan-Mu untuk solat di dalam kuburnya maka berikanlah kepadaku (untuk solat di kuburku).”
Setelah beliau meninggal dunia, salah satu sahabatnya bermimpi bertemu dengannya dalam keadaan dia solat di dalam kuburnya. Dari sini dapat diketahui bahwa doanya dikabulkan oleh Allah. Maka benarlah apa yang diberitahui oleh Nabi SAW berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
يُبْعَثُ كُلُّ عَبْدٍ عَلَى مَا مَاتَ عَلَيْهِ
Maksudnya: “Dibangkitkan setiap hamba itu menurut apa yang dia mati atasnya.”
Riwayat Muslim (2878)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”