Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh ceritakan, bagaimana pengakhiran dan kematian Qarun?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Qarun antara yang terkaya pada zamannya. Allah bahasakan kekayaannya dengan anak-anak kuncinya sahaja amat luar biasa banyaknya. Firman Allah SWT:

إِنَّ قَارُونَ كَانَ مِن قَوْمِ مُوسَىٰ فَبَغَىٰ عَلَيْهِمْ ۖ وَآتَيْنَاهُ مِنَ الْكُنُوزِ مَا إِنَّ مَفَاتِحَهُ لَتَنُوءُ بِالْعُصْبَةِ أُولِي الْقُوَّةِ إِذْ قَالَ لَهُ قَوْمُهُ لَا تَفْرَحْ ۖ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْفَرِحِينَ

Maksudnya: Sesungguhnya Qarun adalah ia dari kaum Nabi Musa, kemudian ia berlaku sombong dan zalim terhadap mereka; dan Kami telah mengurniakannya dari berbagai jenis kekayaan yang anak-anak kuncinya menjadi beban yang sungguh berat untuk dipikul oleh sebilangan orang yang kuat sasa. (Ia berlaku sombong) ketika kaumnya berkata kepadanya: “Janganlah engkau bermegah-megah (dengan kekayaanmu), sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang bermegah-megah. (seperti lagakmu itu).

(Surah al-Qasas: 76)

Syeikh Muhammad al-Amin al-Syanqiti berkata: Ini kerana kumpulan lelaki yang gagah membawa anak-anak kunci dengan amat payah dan sukar kerana berat dan banyaknya anak-anak kunci. Justeru, nilailah betapa banyak harta yang dimilikinya. (Lihat Adhwa’ al-Bayan, 11/344)

Ibn Kathir dalam kitabnya, Qasas al-Anbiya’ (3/218-221) menyebut: Pengakhiran hidup Qarun dirakamkan oleh Allah SWT dalam firman-Nya:

فَخَسَفْنَا بِهِ وَبِدَارِهِ الْأَرْضَ فَمَا كَانَ لَهُ مِن فِئَةٍ يَنصُرُونَهُ مِن دُونِ اللَّهِ وَمَا كَانَ مِنَ الْمُنتَصِرِينَ

Maksudnya: “Lalu Kami timbuskan dia bersama-sama dengan rumahnya di dalam tanah, maka tidaklah ia mendapat sebarang golongan yang boleh menolongnya dari azab Allah” dan ia pula tidak dapat menolong dirinya sendiri.”

(Surah al-Qasas: 81)

Disebutkan daripada Ibn Abbas dan al-Suddi, bahawasanya Qarun telah memberikan harta yang banyak kepada seorang pelacur dengan syarat dia harus mengatakan kepada Musa di hadapan orang ramai: “Kamu telah melakukan begini dan begini kepadaku.” Diceritakan bahawa pelacur itu mengatakan hal itu kepadanya. Musa meninggalkannya dalam keadaan gementar, lalu solat dua rakaat. Setelah itu, dia menemui wanita tersebut dan memintanya untuk bersumpah atas perkataannya tersebut dan menanyakan apa yang menyebabkannya melakukan hal itu. Wanita tersebut menyebut bahawa Qarun lah yang menyuruhnya untuk melakukan hal tersebut. Kemudian wanita itu beristighfar dan bertaubat kepada Allah. Saat itulah, Musa sujud kepada Allah dan berdoa kepada Allah untuk kebinasaan Qarun. Allah SWT mewahyukan kepadanya: “Aku telah memerintahkan bumi untuk mentaati perintahmu.” Kemudian Musa memerintahkan bumi untuk menenggelamkan Qarun. Dan hal itu pun menjadi kenyataan. Wallahu a’lam.

Ada yang mengatakan: Ketika Qarun keluar menemui kaumnya dengan mengenakan perhiasannya, maka dia melintasi Musa yang tengah menasihati kaumnya, dengan diiringi pasukan, mengendarai kuda dan memakai pakaian kebesarannya. Musa bertanya: “Apa yang mendorongmu untuk melakukan hal ini?” Qarun menjawab: “Wahai Musa, engkau telah diberikan kelebihan berupa kenabian, sedangkan aku telah diberi kelebihan berupa harta benda. Jikalau kamu menghendaki, silakan kamu mendoakan keburukan atas diriku dan aku akan berdoa keburukan atas dirimu.”

Maka Musa dan Qarun keluar di hadapan kaumnya. Musa berkata kepadanya: “Aku berdoa terlebih dahulu atau kamu berdoa terlebih dahulu?” Qarun menjawab: “Aku akan berdoa terlebih dahulu.” Lalu Qarun berdoa keburukan untuk Musa, namun tidak dikabulkan. Kemudian Musa berkata: “Apakah sekarang giliranku berdoa?” Qarun menjawab: “Ya.” Maka Musa berdoa: “Ya Allah, perintahkanlah kepada bumi untuk mentaatiku hari ini. Maka Allah SWT mewahyukan kepada Musa bahawa Dia telah melakukan hal tersebut.

Musa berkata: “Wahai bumi, ambillah mereka semua.” Maka bumi menenggelamkan mereka sehingga ke paras buku lali. Kemudian Musa berkata: “Ambillah mereka.” Lalu bumi menenggelamkan mereka hingga paras lutut mereka, lalu hingga ke paras bahu mereka. Kemudian Musa berkata: “Ambilah harta benda mereka. Maka bumi menelan harta benda mereka sedangkan mereka melihat dengan mata kepala mereka sendiri. Kemudian Musa mengisyaratkan dengan tangannya: “Musnahlah kamu semua, wahai Bani Lawiy.” Lantas mereka semua ditelan oleh bumi. Telah diriwayatkan daripada Qatadah, bahawasanya dia berkata: “Setiap hari, sedikit demi sedikit mereka ditelan bumi sehingga datangnya hari kiamat.”

Daripada Ibn ‘Abbas, dia berkata: “Mereka ditelan bumi sehingga lapisan ketujuh.” Majoriti ahli tafsir menyebut pelbagai kisah israiliyat tentang kisah ini yang sengaja kami tinggalkan. Firman Allah SWT:

فَمَا كَانَ لَهُ مِن فِئَةٍ يَنصُرُونَهُ مِن دُونِ اللَّهِ وَمَا كَانَ مِنَ الْمُنتَصِرِينَ

Maksudnya: “Maka tidaklah ia mendapat sebarang golongan yang boleh menolongnya dari azab Allah” dan ia pula tidak dapat menolong dirinya sendiri.”

(Surah al-Qasas: 81)

Iaitu dirinya sendiri tidak mampu menolong. Demikian juga halnya dengan orang lain tidak mampu menolongnya, sebagaimana yang tertera dalam firman Allah SWT:

فَمَا لَهُ مِن قُوَّةٍ وَلَا نَاصِرٍ

Maksudnya: Maka (pada saat itu) tidak ada bagi manusia sebarang kekuatan (untuk membela diri), dan tidak ada penolong (yang dapat memberikan pertolongan).

(Surah al-Tariq: 10)

Setelah Qarun ditenggelamkan di bumi, harta bendanya dimusnahkan, rumahnya dihancurkan serta dibinasakan jiwanya, keluarga dan kekayaannya, maka orang-orang yang berangan-angan untuk menjadi sepertinya menyesal dan bersyukur kepada Allah SWT yang telah mengatur segala urusan hamba-Nya sesuai dengan kehendak-Nya. Oleh kerana itu, mereka berkata:

لَوْلَا أَن مَّنَّ اللَّهُ عَلَيْنَا لَخَسَفَ بِنَا ۖ وَيْكَأَنَّهُ لَا يُفْلِحُ الْكَافِرُونَ ‎

Maksudnya: “Kalau tidak kerana Allah memberi pertolongan kepada kita tentulah kita akan dibinasakan dengan tertimbus di dalam tanah (seperti Qarun). Aduhai! Sesungguhnya orang-orang yang kufurkan nikmat Allah itu tidak akan berjaya!”

(Surah al-Qasas: 82)

(Lihat Qasas al-Anbiya’ oleh Ibn Kathir, 3/218-221)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, daripada berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, daripada seksa-Mu (bencana) yang datang secara tiba-tiba, dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.”

Leave a Reply