Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh jelaskan tafsiran ayat 23 hingga 26 Surah al-Kahfi?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Firman Allah SWT:
وَلَا تَقُولَنَّ لِشَيْءٍ إِنِّي فَاعِلٌ ذَٰلِكَ غَدًا (23) إِلَّا أَن يَشَاءَ اللَّهُ ۚ وَاذْكُر رَّبَّكَ إِذَا نَسِيتَ وَقُلْ عَسَىٰ أَن يَهْدِيَنِ رَبِّي لِأَقْرَبَ مِنْ هَٰذَا رَشَدًا
Maksudnya: “Wahai Muhammad janganlah kamu berkata tentang sesuatu urusan: ‘Aku pasti akan lakukannya esok’. Melainkan disertai ucapan ‘Insya-Allah’. Ingatlah Tuhanmu apabila kamu terlupa dan katakan: ‘Semoga Tuhanku memberiku petunjuk yang lebih jelas dan terang dalam perkara ini’.”
(Surah al-Kahfi: 23-24)
Allah SWT mengingatkan sekalian manusia agar tidak terlepas daripada pandangan Allah SWT, iaitu dengan menyandarkan segala perbuatan mereka tertakluk kepada kehendak Allah SWT jua. Ia juga bermaksud, sekiranya seseorang itu berazam untuk melakukan sesuatu, hendaklah dia mengucapkan “إِنْ شَاءَ اللهُ” (dengan izin Allah) kerana Allah SWT jualah yang Maha Berkehendak untuk merealisasikannya. Jika dia lupa untuk mengucapkan “إِنْ شَاءَ اللهُ” dalam beberapa ketika, dan setelah itu barulah dia teringat, maka Allah SWT memerintahkannya untuk terus mengucapkannya agar hatinya sentiasa tunduk dengan keagungan Allah SWT. Hal yang demikian agar Allah SWT sentiasa mengurniakan petunjuk kepadanya berupa jalan yang terbaik dalam urusan agama dan dunia.
Syeikh al-Sya‘rawi berkata, di dalam ayat di atas, jelas kelihatan rahmat Allah SWT terhadap kekasih-Nya Muhammad SAW. Allah SWT tidak ingin menempelak Rasul-Nya kerana masalah Baginda meninggalkan ucapan “إِنْ شَاءَ اللهُ” ini, sebaliknya memberitahu Baginda apa yang Dia inginkan, dan menjawab persoalan Baginda tentang Ashab al-Kahfi. Kemudian, pada pengakhiran ayat ini, Allah SWT menegur Baginda akan apa yang ditinggalkan ini dalam bentuk peringatan yang lembut. (Lihat Tafsir al-Sya‘rawi, 14/8869)
Firman Allah SWT:
وَلَبِثُوا فِي كَهْفِهِمْ ثَلَاثَ مِائَةٍ سِنِينَ وَازْدَادُوا تِسْعًا (25) قُلِ اللَّهُ أَعْلَمُ بِمَا لَبِثُوا ۖ لَهُ غَيْبُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ ۖ أَبْصِرْ بِهِ وَأَسْمِعْ ۚ مَا لَهُم مِّن دُونِهِ مِن وَلِيٍّ وَلَا يُشْرِكُ فِي حُكْمِهِ أَحَدًا
Maksudnya: “Mereka tidur di dalam gua selama tiga ratus tahun mengikut takwim matahari dan mereka tambah sembilan tahun mengikut takwim bulan. Katakanlah wahai Muhammad: ‘Allah lebih mengetahui tempoh mereka tidur. Dia memiliki segala yang tersembunyi di langit dan bumi. Alangkah hebat penglihatan Allah dan pendengaran-Nya. Tiada siapa selain-Nya yang mampu menjadi pelindung dan tiada siapa yang mampu menjadi sekutu dalam pentadbiran-Nya’.”
(Surah al-Kahfi: 25-26)
Kedua-dua ayat ini melanjutkan lagi kisah Ashab al-Kahfi dengan pemakluman tempoh mereka tinggal di dalam gua tersebut. Allah SWT menyatakan bahawa mereka telah ditidurkan di dalam gua selama 309 tahun. Menurut Shauqi Abu Khalil, sememangnya Ashab al-Kahfi ditidurkan selama 300 tahun mengikut perkiraan tahun Masihi, kemudian ditambah sembilan tahun lagi jika dinisbahkan kepada tahun Hijri menjadi 309 tahun. (Lihat Atlas al-Quran: Amakin, Aqwam, A‘lam, hlm. 137)
Hakikatnya, Allah SWT jua yang Maha Maha Mengetahui tempoh masa pemuda al-Kahfi tinggal di dalam gua tersebut secara pasti. Kami akan mengupas dengan terperinci intipati kedua-dua ayat ini di dalam perbincangan “Tempoh Masa (Ashab al-Kahfi) Ditidurkan.”
Bagi mereka yang ingin mendapatkan penerangan yang lebih lanjut, sila rujuk e-Bahth Ilmi kami yang bertajuk: Menelusuri Kisah Ashab al-Kahfi di dalam apps kami, al-Inarah.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”