Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, makna uruf, kehujahan dan pembahagiannya dari segi Syarak?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Dari segi bahasa, al-‘Urf (العُرْفُ) bermaksud ikut-ikutan atau menurut. Al-‘Urf (العُرْفُ) juga adalah sesuatu yang diketahui oleh manusia dan menjadikan sesuatu itu sebagai tatacara kehidupan. Hal ini sama ada dalam bentuk percakapan, perbuatan atau warisan yang telah ditinggalkan. (Lihat ‘Ilm Usul al-Fiqh, oleh ‘Abd al-Wahab Khalaf, hlm. 89)
Manakala al-Jurjani mentakrifkan ‘Urf (العُرْفُ) sebagai setiap yang tetap dalam diri dengan disaksikan oleh akal dan diterima oleh tabiat yang baik. (Lihat al-Ta‘rifat, hlm. 193). Selain itu, menurut Syeikh Mustafa al-Zarqa’, ‘Urf (العُرْفُ) adalah adat orang ramai atau majoriti sesuatu kaum pada perkataan atau perbuatan. (Lihat al-Fiqh al-Islami fi Thaubih al-Jadid, hlm. 131).
Justeru, ‘Uruf (العُرْفُ) boleh difahami sebagai apa yang telah menjadi adat kebiasaan di sisi masyarakat dan diamalkan dalam kehidupan sama ada daripada ucapan atau perbuatan.
Uruf terbahagi kepada beberapa bahagian:
- Uruf ‘Amali (عُرْفُ الْعَمَلِ) (perbuatan): Uruf ini merupakan amalan-amalan yang telah menjadi adat kebiasaan manusia. Contohnya: Jual beli secara ta‘ati (saling memberi), pembahagian mahar kepada mahar segera dan mahar muajjal(tertangguh), masuk ke dalam tandas awam tanpa menentukan tempoh lama berada di dalamnya dan sebagainya.
- Uruf Qauli (عُرْفُ الْقَوْلِ) (perkataan): Perkataan atau lafaz yang telah menjadi kebiasaan dalam masyarakat. Contohnya: Penggunaan lafaz daging kepada selain dari ikan, penggunaan nama dabbah kepada haiwan yang memiliki empat kaki, serta penggunaan kalimah al-walad kepada anak lelaki dan tidak merujuk kepada anak perempuan.
‘Uruf (العُرْفُ) dan adat merupakan istilah yang sama di sisi para fuqaha. Hal ini sepertimana dijelaskan oleh Syeikh ‘Abd al-Karim Zaidan: “‘Urf (العُرْفُ) adalah sesuatu yang telah menjadi kebiasaan kepada masyarakat dalam kehidupan harian, sama ada dalam bentuk perkataan atau perbuatan. Maka ‘urf (العُرْفُ) dan adat menurut pandangan fuqaha’ adalah membawa erti yang sama. Apabila mereka berkata: ‘Hukum ini thabit dengan adat dan ‘urf’, maka ia bukanlah bererti adat itu berlainan dengan ‘urf. Malah, kedua-duanya itu membawa satu maksud sahaja. Sebutan kalimat adat itu adalah bertujuan untuk mengukuhkan sahaja. (Lihat al-Wajiz fi Usul al-Fiqh, hlm. 201).
Justeru, al-‘Urf (العُرْفُ) dan al-‘Adat adalah perkara-perkara yang manusia saling mengetahui dan sentiasa mengamalkannya, sama ada dalam bentuk perbuatan, perkataan atau tidak diamalkan. (Lihat al-Umm, 4/117)
Imam al-Ghazali menyebutkan al-‘Urf (العُرْفُ) adalah sesuatu yang telah mantap di dalam jiwa manusia dari segi akal fikiran dan diterima oleh tabiat yang sejahtera. Atau juga ‘urf (العُرْفُ) itu adalah sesuatu yang menjadi tabiat manusia yang mempunyai tabiat-tabiat yang sejahtera, yang lahir daripada penduduk sesebuah negeri Islam. Namun ia dengan syarat tidak berlawanan dengan syarak. (Lihat al-Mustasfa min ‘Ilm al-Usul, 2/138)
Para ulama mazhab telah bersepakat menerima ‘Urf (العُرْفُ) sebagai dalil yang boleh membina hukum feqah, meskipun mereka berbeza cara dalam mengaplikasikannya. (Lihat al-Madkhal fi al-Fiqh al-‘Am oleh Mustafa al-Zarqa’, 1/110)
Kebiasaannya, ‘Urf (العُرْفُ) turut berperanan dalam memberikan tafsiran terhadap nas-nas syarak yang bersifat umum dan mutlak. (Lihat Usul al-Fiqh al-Islami oleh Dr. Wahbah al-Zuhaili, 3/835).
Berkenaan kehujahan ‘Urf (العُرْفُ), menurut ‘Abd al-Wahab Khalaf, ulama dahulu banyak menggunakan ‘urf dalam metodologi hukum mereka. Beliau turut menyatakan bahawa kaedah al-‘urf digunakan oleh Imam Malik, Imam Abu Hanifah dan para ashabnya, dan begitu juga dengan Imam al-Syafi‘i.
Ini jelas sebagaimana kenyataannya bahawa: “Oleh itu, para ulama berpendapat, adat kebiasaan adalah syariat yang boleh dijadikan sebagai hukum dan uruf ada pertimbangan dalam syariat. Imam Malik telah membina banyak hukumnya berdasarkan amalan penduduk Madinah. Sementara itu, Abu Hanifah dan ashabnya mempunyai banyak pendapat yang berbeza dalam masalah hukum kerana berdasarkan perbezaan uruf dan adat. Begitu juga ketika Imam al-Syafi‘i berpindah ke Mesir, beliau melakukan perubahan terhadap beberapa hukum yang dipegangnya sebelum ini ketika di Baghdad, disebabkan perubahan adat dan uruf. Oleh sebab itu, Imam al-Syafi‘i mempunyai dua pendapat (mazhab); pendapat qadim dan pendapat jadid.”
Adapun uruf yang fasid (rosak/tercela), tidak wajib untuk memeliharanya kerana memeliharanya bertentangan dengan dalil syar‘i atau membatalkan hukum syarak. Justeru, jika orang ramai mengamalkan adat (atau menjadi kebiasaan mereka) dalam membuat kontrak-kontrak tertentu seperti kontrak riba atau kontrak yang melibatkan penipuan, maka adat atau uruf tersebut tidak dapat memberi kesan dalam mengharuskan akad atau kontrak itu. (Lihat ‘Ilm Usul al-Fiqh, hlm. 90).
Tambahan lagi, menurut ‘Abd al-Karim al-Namlah, al-‘urf (adat) dapat menjadi hujah syar‘iyyah apabila ia memenuhi syarat-syarat yang berikut:
- Uruf itu bersifat umum atau kebanyakannya begitu.
- Uruf itu diterima oleh majoriti.
- Uruf itu ada ketika ia dilaksanakan.
- Uruf itu hendaklah terpelihara, iaitu perbuatannya itu menyakinkan dalam tuntutan perspektif manusia.
- Uruf itu tidak bertentangan dengan dalil yang kuat.
- Uruf itu tidak bertentangan dengan uruf lain dalam satu negara atau tempat. (Lihat al-Jami‘ li Masa’il Usul al-Fiqh wa Tatbiquha ‘ala al-Mazhab al-Rajih, hlm. 394-395).