Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah kisah Yahudi telah bertanya Rasulullah SAW yang terkait Ashab al-Kahfi? Dan status hadithnya?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

dikatakan bahawa orang Yahudi pernah bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai tiga perkara. Ini adalah sebagaimana banyak dijumpai dalam kitab-kitab tafsir dan sirah bahawa orang Musyrikin di Makkah telah mengutus kepada orang Yahudi untuk bertanya kepada Nabi SAW. Jawapan kepada tiga pertanyaan mereka itu ialah Ashab al-Kahfi, ruh dan Zulqarnain. Jika Baginda SAW mengetahuinya, maka Baginda adalah benar-benar seorang nabi.

Hadith ini mempunyai dua jalur, dan kedua-duanya adalah tidak sahih. Penjelasannya adalah sebagaimana berikut:

Jalur Pertama:

Ibn Ishaq meriwayatkan dalam al-Siyar wa al-Maghazi (hlm. 201), dan melalui jalurnya juga dinyatakan oleh al-Tabari dalam tafsirnya, Tafsir al-Tabari (15/143) dan al-Baihaqi dalam Dala’il al-Nubuwwah (2/269). Ibn Ishaq menyebutkan, seseorang daripada penduduk Makkah menyampaikan kepada kami, daripada Sa‘id bin Jubair, daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa:

أَنَّ مُشْرِكِي قُرَيْشٍ بَعَثُوا النَّضْرَ بْنَ الْحَارِثِ ، وَعُقْبَةَ بْنَ أَبِي مُعَيْطٍ، إِلَى أَحْبَارِ الْيَهُودِ بِالْمَدِينَةِ، وَقَالُوا لَهُمْ: سَلُوهُمْ عَنْ مُحَمَّدٍ، وَصِفُوا لَهُمْ صِفَتَهُ، وَأَخْبِرُوهُمْ بِقَوْلِهِ، فَإِنَّهُمْ أَهْلُ الْكِتَابِ الْأَوَّلِ، وَعِنْدَهُمْ عِلْمُ مَا لَيْسَ عِنْدَنَا مِنْ عِلْمِ الْأَنْبِيَاءِ. فَخَرَجَا حَتَّى قَدِمَا الْمَدِينَةَ، فَسَأَلُوا أَحْبَارَ الْيَهُودِ عَنْ رَسُولِ اللهِ صَلَّى الله عليه وآله وَسَلَّمَ ، وَوَصَفُوا لَهُمْ أَمَرَهُ، بِبَعْضِ قَوْلِهِ، فَقَالَتْ لَهُمْ أَحْبَارُ يَهُودَ: سَلُوهُ عَنْ ثَلَاثٍ نَأْمُرُكُمْ بِهِنَّ فَإِنْ أَخْبَرَكُمْ بِهِنَّ فَهُوَ نَبِيٌّ مُرْسَلٌ ، وَإِنْ لَمْ يَفْعَلْ فَالرَّجُلُ مُتَقَوِّلٌ، فَرَوْا فِيهِ رَأْيَكُمْ ، سَلُوهُ عَنْ فِتْيَةٍ ذَهَبُوا فِي الدَّهْرِ الْأَوَّل،ِ مَا كَانَ مِنْ أَمْرِهِمْ، فَإِنَّهُ كَانَ لَهُمْ حَدِيثٌ عَجِيبٌ ، وَسَلُوهُ عَنْ رَجُلٍ طَوَّافٍ قَدْ بَلَغَ مَشَارِقَ الْأَرْضِ وَمَغَارِبَهَا، وَمَا كَانَ نبأه ، وَسَلُوهُ عَنِ الرُّوحِ مَا هُوَ. فَأَقْبَلَ النَّضْرُ وَعُقْبَةُ حَتَّى قَدِمَا مَكَّةَ عَلَى قُرَيْشٍ، فَقَالَا: يَا مَعْشَرَ قُرَيْشٍ قَدْ جِئْنَاكُمْ بِفَصْلِ مَا بَيْنَكُمْ وَبَيْنَ مُحَمَّدٍ ، قَدْ أَمَرَنَا أَحْبَارُ يَهُودَ أَنْ نَسْأَلَهُ عَنْ أُمُورٍ، فَأَخْبَرُوهُمْ بِهَا، فَجَاءُوا رَسُولَ اللهِ صَلَّى الله عليه وآله وَسَلَّمَ ، فَقَالُوا يَا مُحَمَّدُ! أَخْبِرْنَا. فَسَأَلُوهُ عَمَّا أَمَرُوهُمْ بِهِ. فَقَالَ لَهُمْ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وآله وَسَلَّمَ: أُخْبِرُكُمْ بِمَا سَأَلْتُمْ عَنْهُ غَدًا، وَلَمْ يَسْتَثْنِ، فَانْصَرَفُوا عَنْهُ. فَمَكَثَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى الله عليه وآله وَسَلَّمَ خَمْسَ عَشْرَةَ لَيْلَةً، لَا يُحْدِثُ اللهُ إِلَيْهِ فِي ذَلِكَ وَحْيًا، وَلَمْ يَأْتِهِ جِبْرِيلُ، حَتَّى أَرْجَفَ أَهْلُ مَكَّةَ، وَقَالُوا: وَعَدَنَا مُحَمَّدٌ غَدًا، وَالْيَوْمُ خَمْسَ عَشْرَةَ قَدْ أَصْبَحْنَا فِيهَا لَا يُخْبِرُنَا بِشَيْءٍ مِمَّا سَأَلْنَاهُ عَنْهُ، حَتَّى أَحْزَنَ رَسُولَ اللهِ صلى الله عليه وآله وَسَلَّمَ مُكْثُ الْوَحْيِ عَنْه وَشَقَّ عَلَيْهِ مَا يَتَكَلَّمُ بِهِ أَهْلُ مَكَّةَ، ثُمَّ جَاءَهُ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلَامُ مِنَ اللهِ عَزَّ وَجَلّ، بِسُورَةِ أَصْحَابِ الْكَهْفِ، فِيهَا مُعَاتَبَتُهُ إِيَّاهُ عَلَى حُزْنِهِ، وَخَبَرُ مَا سَأَلُوهُ عَنْهُ مِنْ أَمْرِ الْفِتْيَةِ، وَالرَّجُلِ الطَّوَّافِ، يَقُولُ اللهُ تَعَالَى: وَيَسْئَلُونَكَ عَنِ الرُّوحِ قُلِ الرُّوحُ مِنْ أَمْرِ رَبِّي وَما أُوتِيتُمْ مِنَ الْعِلْمِ إِلَّا قَلِيلًا.

Maksudnya: “Orang musyrikin Quraisy mengutus al-Nadhr bin al-Harith dan ‘Uqbah bin Abu Mu‘ait kepada para pendeta Yahudi di Madinah. Mereka berkata kepadanya: ‘Tanyakanlah kepada mereka tentang Muhammad, gambarkan sifatnya kepada mereka, dan beritahulah mereka tentang ucapannya. Hal ini kerana mereka adalah ahli Kitab yang pertama, dan mereka mempunyai pengetahuan daripada dari ilmu para nabi yang tidak ada pada kita.’ Lalu mereka berdua pergi hingga tiba di Madinah. Mereka kemudian bertanya kepada para pendeta Yahudi tentang Rasulullah SAW dan memberikan gambaran tentang diri Baginda dengan menyebutkan sebahagian perkataannya. Lalu para pendeta Yahudi berkata kepada mereka: ‘Tanyakanlah kepadanya tentang tiga perkara, kami memerintahkan kamu untuk itu. Jika dia dapat mengkhabarkan kepada kamu tentangnya (jawapannya), maka dia adalah (benar-benar) seorang nabi yang diutus. Jika dia tidak dapat menjawabnya, maka dia adalah seorang pembohong. Maka ceritakanlah kepadanya pendapat kamu mengenai hal ini. Tanyakanlah kepadanya tentang pemuda yang pernah hidup pada zaman dahulu; ceritakanlah mengenai kisah mereka. Ini kerana sesungguhnya kisah mereka sangat luar biasa. Tanyakanlah juga kepadanya tentang seorang lelaki yang telah mengelilingi seluruh pelosok bumi, mengembara dari timur ke barat; ceritakanlah kisahnya. Dan tanyakanlah kepadanya tentang Ruh; apakah (ruh) itu?’ Maka al-Nadhr dan ‘Uqbah bergerak pergi sehingga tiba di Makkah di hadapan orang Quraisy. Mereka berdua berkata: ‘Wahai orang Quraisy, kami datang kepada kamu untuk memutuskan perselisihan antara kamu dan Muhammad. Kami telah diperintahkan oleh para pendeta Yahudi untuk bertanya kepadanya (Muhammad) tentang beberapa perkara, dan kami akan memberitahu kepada kamu jawapannya.’ Maka mereka datang kepada Rasulullah SAW dan berkata: ‘Wahai Muhammad, beritahu kepada kami.’ Lalu mereka bertanya kepada Baginda tentang apa yang diperintahkan kepada mereka. Rasulullah SAW pun menjawab: ‘Aku akan memberitahu kepada kamu apa yang kamu tanyakan itu esok tanpa terkecuali.’ Kemudian mereka berlalu pergi. Rasulullah SAW tinggal selama lima belas malam tanpa menerima wahyu daripada Allah SWT berkenaan hal tersebut dan begitu juga tanpa kedatangan Jibril A.S, sehinggalah orang-orang Makkah gelisah dan mereka berkata: ‘Muhammad telah berjanji kepada kita untuk memberi jawapan keesokan harinya, dan hari ini telah berlalu lima belas hari tanpa dia memberitahu kepada kami tentang apa yang kami tanyakan kepadanya.’ Rasulullah SAW berasa sedih kerana wahyu terhenti daripadanya dan kerana sukar baginya untuk menjawab apa yang ditanyakan oleh penduduk Makkah. Kemudian Jibril A.S datang kepadanya, membawa wahyu daripada Allah ‘Azza wa Jalla iaitu surah Ashab al-Kahfi, yang di dalamnya Allah menegurnya atas kesedihannya, dan mengkhabarkan kepadanya jawapan mengenai pertanyaan mereka tentang pemuda dan lelaki yang mengelilingi (pelosok dunia itu). Allah SWT juga berfirman (yang bermaksud): ‘Dan mereka bertanya kepadamu tentang roh. Katakan: Roh itu dari perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan melainkan sedikit sahaja.’ (Surah al-Isra’: 85).

Hadith ini adalah dha‘if (lemah) kerana terdapatnya ketidakjelasan pada perawi yang tidak dikenali, iaitu guru (syeikh) Ibn Ishaq. Oleh sebab itu, al-Hafiz Ibn Hajar dalam Muwafaqah al-Khubr al-Khabar fi Takhrij Ahadith al-Mukhtasar (2/70) menyebutkan, ini adalah hadith gharib. Kalaulah tidak kerana terdapatnya ketidakjelasan ini, sanadnya akan menjadi hasan. Akan tetapi di dalamnya terdapat apa yang diingkari iaitu pertanyaan mengenai ruh dan turunnya ayat yang berkaitan dengannya serta peristiwa tersebut berlaku di Makkah. Sedangkan riwayat yang sabit dalam al-Sahihain menyatakan, peristiwa tersebut berlaku di Madinah, dan ini telah dinyatakan dalam riwayat Ibn Mas‘ud.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan penerangan yang lebih lanjut, sila rujuk e-Bahth Ilmi kami yang bertajuk: Menelusuri Kisah Ashab al-Kahfi di dalam apps kami, al-Inarah.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”

Leave a Reply