Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah apabila kita diuji, kita disunatkan mengucapkan istirja’ dan apa makna istirja’?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Istirja’ dengan maksud kembali kepada Allah SWT dengan berserah dan redha atas ketentuan-Nya. Beriman dengan qadha’ dan qadar selepas berlaku musibah dengan meyakini banyaknya hikmah yang mungkin dapat kita kutip sama ada kita mengetahui atau tidak dalam membina kehidupan yang lebih baik.
Menjawab persoalan di atas, kami katakan begitulah petunjuk yang telah diberikan melalui wahyu yang mana apabila berlakunya musibah (kesusahan), maka antara ciri-ciri mereka yang bersabar dengan musibah tersebut adalah mereka mengucapkan istirja’ iaitu ucapan:
إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ
Maksudnya: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.”
Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:
الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّـهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ
Maksudnya: “(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu musibah (kesusahan) mereka mengucapkan: ‘إِنَّا لِلَّـهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ’ (Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali).”
Surah al-Baqarah (155-156)
Dalam menjelaskan erti kalimat istirja’ ini, Imam al-Qurtubi berkata: Allah SWT menjadikan kalimat ini sebagai sandaran bagi orang yang ditimpa musibah, dan perlindungan bagi mereka yang sedang menjalani ujian. Ini kerana, kalimat ini mengandungi banyak makna yang berkat.
Kalimat ‘إِنَّا لِلَّـهِ’ adalah tauhid dan pengakuan terhadap ubudiyyah (status kita sebagai hamba) dan kekuasaan Allah). Manakala kalimat ‘وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ’ adalah pengakuan bahawa kita akan binasa, dan akan dibangkitkan dari alam kubur. Kalimat ini juga mengandungi keyakinan bahawa semua urusan kembali kepada-Nya, sebagaimana semua ini milik-Nya. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 2/176)
Ummu Salamah R.Anha berkata bahawa dia mendengar Rasulullah SAW bersabda:
مَا مِنْ مُسْلِمٍ تُصِيبُهُ مُصِيبَةٌ، فَيَقُولُ مَا أَمَرَهُ اللهُ: إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ، اللهُمَّ أْجُرْنِي فِي مُصِيبَتِي، وَأَخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا، إِلَّا أَخْلَفَ اللهُ لَهُ خَيْرًا مِنْهَا
Maksudnya: “Tidaklah seorang mukmin tertimpa musibah lalu dia membaca apa yang telah diperintahkan oleh Allah: ‘إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ، اللهُمَّ أْجُرْنِي فِي مُصِيبَتِي، وَأَخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا’ (Sesungguhnya kami adalah milik Allah dan akan kembali kepada Allah. Ya Allah, berilah kami pahala kerana musibah ini dan tukarlah bagiku dengan yang lebih baik daripadanya), melainkan Allah menukar baginya dengan yang lebih baik”.
Riwayat Muslim (918)
Maka jelaslah melalui hadith ini bahawa setiap orang yang beriman digalakkan untuk menyebut lafaz istirja’ ketika mana ditimpa musibah sama ada musibah tersebut kecil ataupun besar. Imam al-Nawawi menyebut sunat melafazkannya kerana Rasulullah SAW disuruh melafazkannya dan ayat al-Quran juga menunjukkan hal yang sama. Begitu juga ijma’ muslimin. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 6/220)
Imam al-Qurtubi pula menyatakan dalam tafsirnya, musibah ialah setiap perkara yang menimpa manusia dan menyakiti mereka. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 2/175)
Perlu difahami di sini bahawa lafaz istirja’ ini bukan hanya disunatkan untuk dilafazkan pada waktu berlakunya sesebuah kematian namun ia umum pada setiap perkara atau kejadian yang menimpa manusia apatah lagi menyakiti mereka.
Daripada ‘Ikrimah R.A bahawasanya pelita Rasulullah SAW terpadam pada satu malam. Lantas Baginda mengucapkan:
إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ. فَقِيلَ: أَمُصِيبَةٌ هِيَ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ: نَعَمْ كُلُّ مَا آذَى الْمُؤْمِن فَهُوَ مُصِيبَةٌ.
Maksudnya: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali”. Kemudian ditanyakan kepadanya: ‘Adakah ini dianggap suatu musibah wahai Rasulullah?’ Jawab Baginda: ‘Ya. Setiap perkara yang menyakiti orang yang beriman maka ia merupakan musibah.” (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 2/175) dan sabit maknanya dalam al-Sahih.
Justeru itu, disunatkan ke atas setiap Muslim untuk mengucapkan lafaz istirja’ pada setiap musibah ataupun dugaan yang menimpa diri mereka. Ini kerana ada beberapa hikmah di sebaliknya termasuklah pengakuan terhadap ke-Esaan Allah SWT, kepercayaan pada Hari Akhirat (tempat kembalinya manusia), berserah diri dengan ketentuan Ilahi serta berharap akan ganjaran di sisi-Nya. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 3/281)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, daripada berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, daripada seksa-Mu (bencana) yang datang secara tiba-tiba, dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.”