Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah terdapat riwayat sekelompok Ashab al-Kahfi telah bertanya kepada Umar dan apa statusnya?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Abu Ishaq al-Tha‘labi dalam kitabnya ‘Arais al-Majalis (hlm. 466-474) juga ada menceritakan:

Apabila Umar bin al-Khattab menjadi khalifah, sekelompok pendeta Yahudi datang kepada beliau lalu berkata: “Wahai Umar, adakah engkau pemimpin setelah Muhammad?” Umar menjawab: “Ya.” Mereka berkata: “Kami ingin bertanya kepadamu tentang beberapa perkara, jika engkau memberitahu kami tentang jawapannya, kami akan masuk Islam, dan kami tahu bahawa agama Islam adalah agama yang benar, Muhammad itu adalah seorang nabi. Akan tetapi jika engkau tidak memberitahu kepada kami jawapannya, kami tahu bahawa agama Islam adalah agama yang palsu dan Muhammad itu bukanlah seorang nabi.” Maka Umar berkata: “Tanyalah kepada kami tentang apa yang ingin kamu tanyakan.” Mereka kemudian bertanya tentang beberapa perkara. Perawi berkata: Umar menundukkan kepalanya ke tanah, lalu mengangkat kepalanya dan menoleh kepada Ali bin Abu Talib seraya berkata: “Wahai Abu al-Hasan, aku melihat jawapan mereka hanya ada padamu. Jika engkau mengetahui jawapannya, maka jawablah (soalan-soalan tersebut).”

Maka Ali berkata kepada mereka: “Tanyalah kepada aku tentang apa yang menjadi pertanyaan kamu, tetapi ada satu syarat.” Mereka bertanya: “Apakah syaratmu?” Ali menjawab: “Jika aku memberitahu kamu tentang apa yang terdapat dalam Taurat, maka masuklah kamu ke dalam agama kami.” Mereka menjawab: “Ya.” Ali berkata: “Tanyalah kepadaku satu persatu (soalan-soalan yang ingin  ditanyakan).” Maka Ali pun menjawab pertanyaan mereka. Ada tiga orang pendeta, dua daripadanya bangkit lalu berkata: “Kami bersaksi bahawa tiada Tuhan sebenar-benarnya berhak disembah melainkan  hanya Allah, tanpa menyekutukan-Nya dengan sesuatu apapun dan Muhammad itu adalah hamba dan Rasul-Nya.” Perawi berkata: Kemudian, seorang lagi pendeta berdiri dan berkata: “Wahai Ali, sesungguhnya turut terjadi dalam hatiku apa yang telah terjadi dalam hati sahabat-sahabatku, namun masih ada satu persoalan yang belum ditanyakan kepadamu.” Ali pun berkata: “Tanyalah.” Dia berkata: “Khabarkan kepadaku tentang suatu kaum yang hidup pada awal zaman, kemudian mereka mati selama tiga ratus tahun sembilan tahun, kemudian Allah SWT menghidupkan mereka kembali. Apakah kisah mereka?” Ali mulai menjawab dengan ingin membaca surah al-Kahfi. Lalu seorang pendeta berkata: “Berapa banyak kami mendengar al-Quran kamu! Jika kamu tahu tentang mereka, maka beritahulah kepada kami berkenaan kisah mereka, nama-nama mereka, bilangan mereka, nama anjing mereka, nama gua mereka, nama raja mereka dan nama kota mereka.”

Ali berkata: “Tidak ada daya dan kekuatan kecuali dengan Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Agung. Wahai saudara Yahudi, Nabi Muhammad SAW menyampaikan kepadaku bahawa ada sebuah kota di negeri Rom yang dipanggil sebagai Aqsus. Kota ini mempunyai seorang raja yang soleh, namun setelah kematiannya, terjadi perselisihan dalam kalangan penduduknya. Perkhabaran ini sampai kepada seorang raja daripada kalangan raja-raja Parsi yang dipanggil Dikyanus. Maka, dia telah datang ke kota tersebut dengan pasukan seramai seratus ribu hingga masuk ke dalam kota Aqsus dan menjadikannya sebagai pusat pemerintahannya. Di sana, dia mendirikan istana yang panjangnya sejauh satu farsakh dan lebarnya juga satu farsakh. Dalam istana tersebut, dia membangunkan sebuah singgahsana yang panjangnya seribu hasta dan lebarnya seribu hasta, terbuat daripada marmar yang indah. Pada singgahsana tersebut, terdapat empat ribu tiang daripada emas dan begitu juga seribu pelita daripada emas yang mempunyai sumbu daripada perak, yang dinyalakan dengan sebaik-baik minyak. Di bagian timur singgahsana, dia menjadikan sebanyak lapan puluh kawwah (embrasure)[1] dan demikian juga di sebelah barat singgahsana. Matahari ketika terbit, cahayanya menyinari singgahsana tersebut sesuai dengan peredarannya. Dia juga membangunkan di dalam istana tersebut sebuah katil yang terbuat daripada emas, panjangnya lapan puluh hasta dan lebarnya pula empat puluh hasta. Kaki katil itu terbuat daripada perak yang dihiasi dengan permata dan ia ditinggikan dengan bantal-bantal. Di bahagian kanan katil dibina lapan puluh kursi daripada emas yang dihiasi dengan zamrud hijau dan dia telah menempatkan (mendudukkan) di atas kerusi tersebut patriarch. Manakala di bahagian kiri katil pula dibina lapan puluh kursi daripada perak yang dihiasi dengan rubi merah dan dia telah menempatkan di atas kerusi tersebut hercules.  Kemudian katil itu diangkat dan diletakkan mahkota  di atas kepalanya.”

Yahudi itu menerpa mendekati Ali seraya bertanya: “Daripada apa mahkota ini terbuat?” Ali menjawab: “Ia terbuat dari emas yang dibentuk dengan tujuh batang, dan di setiap batang terdapat mutiara putih yang bersinar seperti cahaya lampu di malam yang gelap. Dia memilih lima puluh pemuda dari keturunan Hercules, memakaikan mereka anting-anting berwarna merah, memakaikan mereka seluar sutera hijau, dan menghias mereka dengan mahkota, gelang tangan, dan gelang kaki. Dia memberikan mereka tongkat emas dan menetapkannya di atas kepala mereka. Dia juga memilih enam pemuda sebagai menteri. Tiga di sisi kanan dan tiga di sisi kiri. Yahudi itu bertanya: “Apakah nama ketiga-tiga pemuda yang di sebelah kanan dan yang di sebelah kiri?” Ali menjawab: “Mereka di sebelah kanan bernama Tamlikha, Maksilmina, dan Misyilinia. Dan mereka yang di sebelah kiri bernama Murnus, Dairunus, dan Syazrius.” Dia selalu mendapatkan nasihat mereka dalam semua urusan. Setiap hari, dia duduk di anjungnya, dengan Patriarch berada di sebelah kanannya dan Hercules di sebelah kirinya. Dan tiga pemuda masuk dengan seorang dari mereka membawa gelas emas yang dipenuhi dengan serbuk kasturi, seorang lagi memegang gelas perak dipenuhi dengan air mawar, dan pemuda yang ketiga memegang burung putih dengan paruh merah. Apabila raja melihat burung itu, dia bersiul, dan burung itu terbang menuju ke mangkuk air mawar untuk merendam dirinya di dalamnya. Kemudian, ia masuk ke dalam mangkuk kasturi lalu kasturi itu melekat pada bulu dan sayapnya. Kemudian, raja bersiul lagi untuk kali kedua, dan burung itu terbang ke mahkota raja, melepaskan kasturi itu dari bulu dan sayapnya ke atas kepala raja.”

Apabila raja melihat perkara itu, dia marah dan bersikap sombong. Dia mendakwa ketuhanan selain daripada Allah dan menyeru kaumnya kepada perkara tersebut. Setiap orang yang mentaatinya dalam perkara itu, akan dicintai dan diberinya pemberian, manakala setiap orang yang tidak berbai‘ah kepadanya, dia akan membunuhnya. Mereka tunduk kepadanya secara mutlak, dan dia menetapkan satu hari perayaan setiap tahun untuk mereka. Suatu hari semasa perayaan, para patriarch berada di sebelah kanannya dan para hercules berada di sebelah kirinya, tiba-tiba seorang patriarch datang kepadanya dan mengkhabarkan kepadanya bahawa tentera Parsi telah menyerang. Maka, raja menjadi khuatir sehingga mahkotanya terjatuh dari kepalanya. Salah seorang daripada tiga orang yang selalu berada di sebelah kanannya, yang dikenali sebagai Tamlikha (dan dia masih lagi remaja) berkata dalam hatinya: “Jika Diqyanus itu benar-benar tuhan sebagaimana yang dikatakan, mengapa dia gelisah dan takut? Tuhan tidak membuang air kecil mahupun besar, dan begitu juga tidak tidur. Ini bukanlah daripada perbuatan (sifat-sifat) tuhan.” Perawi berkata: Enam pemuda itu setiap hari berada di rumah salah seorang daripada mereka, dan pada hari itu, mereka berada di rumah Tamlikha dan dia menyediakan hidangan yang lazat untuk mereka.

Kemudian dia berkata kepada mereka: Wahai saudara-saudaraku, sesuatu telah menyentuh hatiku yang menghalangku dari makan, minum, dan tidur.” Mereka bertanya: “Apakah itu, wahai Tamlikha?” Dia menjawab: “Fikiranku terpaut pada langit ini, lalu aku berkata: Siapakah yang menegakkan langit yang kukuh ini  tanpa tiang atau ikatan dari atasnya? Siapakah yang mengatur matahari dan bulan sebagai dua tanda yang jelas? Siapakah yang menghiasi langit ini dengan bintang-bintang? Kemudian fikiranku tertuju pada bumi, aku berkata: Siapakah yang menjadikan bumi sebagai hamparan yang stabil di atas lautan yang dalam? Siapakah yang memasak bumi dengan gunung-gunung agar bumi tidak bergoyang-goyang? Lalu fikiranku tertuju pada diriku sendiri: Siapakah yang mengeluarkanku sebagai janin dari perut ibuku, yang memberiku makanan, dan siapa yang memeliharaku? Sesungguhnya, Dia adalah Pencipta, Pengatur selain Diqyanus, Dialah Raja segala raja, Yang Maha Kuasa atas langit-langit. Maka anak-anak muda tunduk kepada-Nya, mencium-Nya, dan berkata: ‘Dengan Engkau, Allah telah memberi kami petunjuk dari kesesatan ke jalan yang lurus. Maka tunjukkanlah kami kepada jalan yang benar.’ Maka Tamlīkh melompat, menjual sebakul kurma dari temboknya yang berharga  tiga ribu dinar, dan menyembunyikannya di belakang punggungnya. Mereka pun menunggang kuda-kuda mereka dan meninggalkan kota. Setelah mereka berjalan tiga mil, Tamlīkh berkata kepada mereka: “Wahai saudara-saudaraku, kediaman akhirat telah datang dan raja dunia telah pergi. Turunlah dari kuda-kuda kalian dan berjalanlah kaki. Mudah-mudahan Allah memberikan jalan keluar dan solusi dari masalah kalian.” Mereka pun turun dari kuda-kuda mereka dan berjalan kaki selama tujuh farsakh pada hari itu, sehingga kaki-kaki mereka berlumuran darah.

Mereka dijemput oleh seorang penggembala, dan mereka berkata: “Wahai penggembala, adakah kamu mempunyai segelas susu atau air untuk kami?” Penggembala itu menjawab: “Aku mempunyai apa yang kamu suka, tetapi aku melihat wajah-wajah kamu seperti wajah-wajah para raja, dan aku mengangka kamu adalah utusan daripada Raja Diqyus.” Mereka berkata: “Wahai penggembala, tidak halal bagi kami untuk berdusta. Adakah kamu membawa kebenaran untuk kami?” Lalu mereka menceritakan kisah mereka kepadanya, dan penggembala itu terduduk di atas lutut mereka, mencium kaki mereka, seraya berkata: “Wahai orang ramai, sesungguhnya telah terjadi kepada hatiku sebagaimana telah terjadi kepada hati-hati kamu. Akan tetapi berilah aku kesempatan sehingga aku mengembalikan kambing-kambing kepada tuannya lalu menyusul bersama kamu.” Mereka memberinya kesempatan, dan dia pun mengembalikan kambing-kambing itu kepada tuannya, kemudian dia menyusul mereka dengan anjingnya.

Orang Yahudi melompat dan berkata: “Wahai Ali, apa nama anjing itu? Dan warnanya apa?” Ali menjawab: “Tidak ada daya dan kekuatan kecuali dengan Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Agung. Adapun warna anjing itu, maka warnanya belang hitam. Adapun nama anjing itu pula, namanya ialah Qitmir.” Ketika para pemuda melihat anjing itu, sebahagian daripada mereka berkata: “Kami khuatir ia akan mengkhianati kami dengan gonggongannya.” Mereka lalu melempari anjing itu dengan batu, namun Allah memperkenankan anjing itu berbicara, maka anjing itu berkata: “Biarkanlah aku menjaga kamu daripada musuh kamu.”

Penggembala itu terus membimbing mereka hingga mereka tiba di gunung dan menuruni mereka ke dalam gua yang disebut al-Wasid. Di halaman gua, ada mata air dan pohon buah-buahan. Mereka makan buah-buahan dan minum air, kemudian malam tiba, mereka kembali ke gua dan anjing mereka berdiri di pintu gua, menjulurkan kedua kakinya. Allah menyampaikan wahyu-Nya kepada Malaikat Maut untuk mencabut nyawa mereka. Allah menugaskan dua malaikat untuk mengubah posisi tubuh mereka, mengiringkannya dari kanan ke kiri dan dari kiri ke kanan. Allah juga menyampaikan wahyu-Nya kepada penjaga matahari untuk menjauhi gua mereka di sebelah kanan dan ketika terbenam cahayanya pula menjauhi mereka di sebelah kiri.

Ketika Raja Diqyus kembali dari perayaan, dia bertanya tentang pemuda-pemuda itu dan diberitahu bahawa mereka keluar melarikan diri. Dia naik ke atas lapan puluh ribu kuda untuk mengejar mereka berdasarkan jejak mereka yang ditinggalkan hingga akhirnya dia tiba di depan gua mereka. Ketika dia melihat ke dalam, mereka semua tertidur. Raja berkata: “Jika aku ingin menghukum mereka, aku tidak akan menghukum mereka lebih daripada apa yang mereka hukumkan pada diri mereka sendiri. Namun, panggilkan tukang bangunan untuk menutup pintu gua dengan kapur dan batu, dan katakan kepada mereka: ‘Katakan kepada tuhan kamu di langit agar menyelamatkan kamu dan mengeluarkan kamu dari tempat ini’.”

Ali bin Abu Talib berkata:  Wahai saudara-saudara Yahudi, mereka telah tinggal selama tiga ratus tahun dan sembilan tahun. Ketika Allah berkehendak untuk menghidupkan mereka semula, nescaya Allah memerintahkan Malaikat Israfil untuk meniupkan roh pada mereka. Kemudian malaikat meniupkan roh, lalu mereka bangun dari tidur yang panjang. Ketika matahari terbit, sebahagian daripada mereka berkata: “Kita telah lalai malam ini dalam beribadah kepada Tuhan langit.” Kemudian mereka bangun dan mendapati mata air telah kering, dan pokok-pokok telah layu. Sebahagian mereka berkata:  “Apa yang kami hadapi sungguh menakjubkan, seperti mata air yang melimpah tiba-tiba menjadi kering, dan pokok-pokok menjadi layu hanya dalam satu malam!” Mereka berasa lapar lalu berkata: “Kirimkan wang kamu ke bandar itu untuk melihat mana yang lebih baik untuk dimakan. Minta mereka hantarkan rezeki dari situ, tetapi jangan biarkan mereka tahu tentang kita.” Tamlikha berkata: “Tidak ada seorangpun yang pergi memenuhi hajat-hajat kamu melainkanku. Namun, wahai penggembala, tolaklah pakaianmu kepadaku.”

Kemudian penggembala memberi pakaiannya dan dia pergi untuk memimpinnya ke kota. Dia mulai melihat tempat-tempat yang tidak dikenalinya, dan jalan yang tidak dikenalinya, hingga dia sampai di pintu gerbang kota. Tiba-tiba ada tanda berwarna hijau dengan tulisan: “لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ عِيسَى رَسُولُ اللهِ”. Dia mulai melihat tanda itu, mengusap matanya, dan berkata: “Sepertinya aku sedang tidur.” Lalu dia masuk ke dalam kota, mencari pasar, dan mendekati seorang tukang roti. Dia bertanya: “Wahai tukang roti, apa nama kota ini?” Dia menjawab: “Aqsus.” Dia bertanya: “Dan apa nama raja kamu?” Dia menjawab: “‘Abd al-Rahman.” Dia berkata: “Berikan makanan kepadaku dengan wang ini.” Tukang roti itu terkejut melihat berat wang dirham dan ukurannya yang besar.”

Orang Yahudi melompat dan bertanya: “Wahai Ali, berapa berat setiap dirhamnya?” Ali menjawab: “Berat setiap dirham sepuluh dirham dan dua pertiga dirham.” 

Tukang roti itu bertanya: “Apakah kamu menemukan harta karun?” Tamlikha menjawab: “Ini hanya harga daripada kurma yang aku jual tiga tahun yang lalu, dan aku meninggalkan kota ini saat orang masih menyembah raja Diqyus.”  Tukang roti itu mengambil tangan Tamlikha dan membawanya kepada raja. Raja bertanya: “Kenapa dengan pemuda ini?” Tukang roti menjawab: “Ini adalah lelaki yang menemui harta karun.” Raja berkata: “Wahai anak muda, jangan takut, kerana Nabi kita Isa A.S telah memerintahkan kita untuk tidak mengambil lebih daripada lima bahagian dari harta itu. Berikanlah lima bahagian kepadaku dan pergilah dengan selamat.”

Maka Tamlikha berkata: “Pandanglah, wahai Raja, dalam perkara ini aku tidak mendapat harta, aku adalah seorang lelaki daripada penduduk kota ini.” Raja bertanya: “Adakah kamu daripada penduduknya?” Dia menjawab: “Ya.” Raja bertanya lagi: “Adakah kamu mengenali sesiapa di dalamnya?” Tamlikha menjawab: “Ya.” Raja bertanya lagi: “Apakah namamu?” Dia menjawab: “Namaku Tamlikha.”

Raja berkata: “Dan ini adalah nama-nama dari orang-orang pada zamanku. Adakah kamu memiliki rumah di dalam kota ini?” Tamlikha menjawab: “Ya, naiklah, wahai Raja, bersamaku.” Raja dan orang ramai bersamanya mengikutinya, dan mereka dibawa ke rumah tertinggi di dalam kota. Tamlikha berkata: “Inilah rumahku.” Dia mengetuk pintu, dan seorang tua keluar dengan kedua matanya tertutup oleh kerudungnya yang besar kerana usia tua. Orang tua itu berkata: “Apakah urusanmu?” Raja menjawab: “Anak muda ini datang dengan keajaiban, dia mengaku bahawa rumah ini adalah rumahnya.” Orang tua itu bertanya: “Siapakah kamu?” Dia menjawab: “Aku Tamlikha, anak Qustikin.” Orang tua itu menjatuhkan diri ke kaki Tamlikha, mencium kaki-kakinya, sambil berkata: “Dia adalah datukku dan demi Tuhan Kaabah.” Kemudian dia berkata: “Wahai Raja, mereka ini adalah enam orang yang keluar melarikan diri daripada Raja Diqyus.”

Maka turunlah raja dari kudanya dan menggendongnya di atas bahunya, dan orang-orang ramai memenuhi untuk mencium tangan dan kaki beliau. Lalu beliau bertanya: “Wahai Tamlikha, apakah yang telah dilakukan oleh sahabat-sahabatmu?” Tamlikha memberitahu bahawa mereka berada di dalam gua, dan pada hari itu, di kota itu terdapat seorang raja Muslim dan seorang raja Yahudi. Mereka pun naik kuda bersama pengikut mereka. Ketika mereka mendekati gua, Tamlikha berkata kepada mereka: “Aku khuatir sahabat-sahabatku akan mendengar suara kuda dan mengira bahawa Raja Diqyus datang untuk menangkap mereka. Tetapi berilah aku kesempatan untuk masuk dahulu dan memberitahu mereka.” Maka berhentilah orang ramai dan Tamlikha ke hadapan dan masuk ke dalam gua. Ketika sahabat-sahabat Tamlikha melihatnya, mereka memeluknya dan berkata: “Segala puji bagi Allah yang menyelamatkanmu daripada Diqyus.” Tamlikha berkata: “Biarkan aku daripada kamu dan daripada Diqyus kamu.” Tamlikha bertanya: “Berapa lama kamu semua tinggal di dalam gua?” Mereka menjawab: “Kami tinggal di dalamnya selama sehari atau sebahagian daripada sehari!”

Tamlikha berkata: “Sebenarnya, kamu telah tinggal selama tiga ratus sembilan puluh tahun, dan Diqyus telah meninggal dunia, dan zaman demi zaman berlalu. Kemudian, Allah mengutus seorang nabi yang disebut Isa ibn Maryam, dan Allah mengangkatnya ke langit. Raja dan orang ramai datang kepada kita.” Salah seorang daripada mereka berkata: “Wahai Tamlikha, adakah engkau ingin menjadikan kami fitnah bagi seluruh umat manusia?” Tamlikha menjawab: “Apa yang kamu inginkan?”  Mereka berkata: “Berdoalah kepada Allah, Maha Suci, dan kami akan berdoa bersamamu sehingga nyawa kami diambil.” Mereka mengangkat tangan mereka, lalu Allah memerintahkan untuk mengambil nyawa mereka, dan Allah menutup pintu gua kepada manusia. Dua raja itu datang mengelilingi pintu gua selama tujuh hari tanpa menemukan pintu pada gua tersebut. Lalu raja Muslim berkata: “Mereka mati atas agama kami. Bangunkan masjid di pintu gua.” Raja Yahudi berkata: “Tidak, sebenarnya mereka mati atas agama aku. Bangunkan gereja di pintu gua.” Mereka berselisih pendapat, dan akhirnya yang menang adalah pihak Muslim yang mendirikan masjid di atasnya.”

Ali berkata lagi: “Wahai Yahudi, apakah ini sesuai dengan kitab Taurat kamu?” Pendeta Yahudi itu berkata: “Aku tidak menambah atau mengurangkan apapun, dan aku bersaksi bahawa tiada tuhan melainkan Allah, dan Muhammad adalah hamba dan rasul-Nya.”

Kisah ini diceritakan dengan sangat panjang dalam kitab ‘Ara’is al-Majalis (hlm. 466-474) oleh al-Tha‘labi. Bahkan kisah ini banyak dinukilkan oleh kitab-kitab syiah sebagaimana yang didapati dalam Qasas al-Anbiya’ oleh Qutb al-Din al-Rawandi (hlm. 255-261), Kasyf al-Yaqin oleh Ibn al-Mutahhar al-Hilli (hlm. 431-446), Bihar al-Anwar oleh al-Majlisi (14/411-419) Nur al-Mubin fi Qasas al-Anbiya’ oleh Ni‘matullah al-Jazairi (hlm. 495-502) dan lain-lain.

Kitab Qasas al-Anbiya’ yang dinamakan dengan ‘Ara’is al-Majalis oleh ِAbu Ishaq al-Tha‘labi, merupakan sebuah karya yang mengandungi banyak cerita palsu dan israiliyat. Oleh itu, tidak sesuai untuk digunakan sebagai rujukan bagi mereka yang tidak dapat membezakan antara hadith sahih, lemah dan palsu. Abu Ishaq al-Tha‘labi telah dikritik oleh para ulama’ dalam riwayatnya mengenai hadith dan khabar. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah menyebutkan, para ulama’ hadith bersepakat bahawa al-Tha‘labi meriwayatkan sebahagian daripada hadith-hadith yang bersifat maudhu‘ (palsu) dan mereka mengatakan: “Dia seperti pencari kayu api pada waktu malam,” hingga beliau berkata: “al-Tha‘labi mempunyai kebaikan dan agama, tetapi beliau tidak mempunyai kecekapan dalam mengetahui kebenaran hadith-hadith, dan tidak dapat membezakan antara Sunnah dan bid‘ah dalam banyak pandangan-pandangan beliau.” (Lihat Minhaj al-Sunnah, 7/12)

Bagi mereka yang ingin mendapatkan penerangan yang lebih lanjut, sila rujuk e-Bahth Ilmi kami yang bertajuk: Menelusuri Kisah Ashab al-Kahfi di dalam apps kami, al-Inarah.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”

 

Nota kaki:

[1] Kawwah (الكَوَّة) merujuk kepada merujuk kepada celah, lubang dalam dinding, bukaan, atau tingkap untuk pengudaraan, pencahayaan, dan sebagainya. (Lihat https://www.almaany.com/ar/dict/ar-ar/. Diakses pada 4 Januari 2024).

Leave a Reply