Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya punya soalan tentang samak, saya sekarang berada di luar negara untuk sambung belajar, dan salah seorang kawan saya telah menghadiahkan pinggan untuk saya guna akan tetapi pinggan itu pernah digunakan untuk hidang makanan haram seperti khinzir. Saya ingin samak menggunakan tanah akan tetapi menjadi kekangan akan dek pihak berkuasa tidak mengizinkan kita mengambil tanah tanpa permit, ini saya sudah pastikan apabila ada seorang kawan saya disaman akan kerana mengambil tanah sebagai sampel pengajian dia.Ini mungkin kerana saya tinggal di kawasan bandar. Persoalannya, bolehkah saya ganti dengan sabun daripada tanah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ

Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya).”

(Surah al-Ma’idah: 3)

Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebutkan bahawa pengharamkan babi itu meliputi semua bahagiannya sehingga pada lemak dan kulitnya. Adapun dikhususkan dengan menyebut dagingnya sahaja kerana ia merupakan kebanyakan bahagian yang dimakan. Sesungguhnya syarak telah melarang untuk mengambil manfaat daripada semua bahagian babi. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 6/77).

Tatacara Membersihkan Najis Mughallazah

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا شَرِبَ الكَلْبُ فِي إِنَاءِ أَحَدِكُمْ فَلْيَغْسِلْهُ سَبْعًا

Maksudnya: “Apabila anjing meminum pada bekas salah seorang daripada kamu, maka kamu basuhlah ia (bekas) sebanyak tujuh kali”.

Riwayat al-Bukhari (172)

Maka, cara pembersihannya adalah dengan 7 kali basuhan selepas menghilangkan ain najis dan salah satu daripada basuhan itu menggunakan air tanah. (Lihat Safinah al-Naja, hlm 27-28)

Fatwa-Fatwa Berkaitan Sabun Tanah Liat

  • Muzakarah Fatwa Kebangsaan

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-76 yang bersidang pada 21-23 November 2006 telah membincangkan Hukum Melakukan Samak Najis Mughallazah Menggunakan Sabun Tanah Liat.

Muzakarah telah memutuskan bahawa sabun yang mengandungi unsur tanah liat boleh digunakan untuk melakukan samak najis mughallazah dengan syarat tanah tersebut suci dan peratusan kandungan tanah dalam sabun melebihi daripada bahan-bahan yang lain serta kaedah samak tersebut dilakukan mengikut syarak.

  • Dar Al-Ifta’ Al-Misriyyah

Dibolehkan untuk mengganti tanah dengan sesuatu yang boleh mengambil tempatnya pada zaman ini dengan benda-benda moden yang dapat menyucikan. Ini kerana yang dimuktamadkan adalah taharah (suci) secara mutlak.[1]

  • Fatawa Al-Lajnah Al-Da’imah

Keputusan akhir fatwa berkaitan isu ini menyebut: ‘’Dan pakaian itu apabila dicampakkan ke dalam air yang suci dan ia dibasuh sehingga hilang kesan-kesan najis darinya, maka ia mensucikan keseluruhannya daripada najis-najis anjing dan selainnya. Dengan syarat  basuhan untuk najis anjing itu berulang sebanyak tujuh kali, dan basuhan yang pertama adalah dengan tanah atau apa-apa yang menggantikan tempatnya seperti sabun dan selainnya.’’(Lihat Fatawa al-Lajnah al-Da’imah, 4/196).

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan hukum menggunakan sabun tanah adalah harus kerana telah memadai dan mencapai maksud yang sama dengan penggunaan tanah.  Namun, sekiranya tidak menjadi masalah untuk mengambil dan menggunakan tanah tersebut untuk tujuan sertu, maka menggunakan tanah adalah lebih utama.

Semoga Allah membantu anda dalam lebih memahami syariat Allah SWT dan moga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

(Surah Ibrahim: 40)

Nota kaki:

[1] www.dar-alifta.org.eg, fatwa no. 3799.

Leave a Reply