Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami kata-kata Muaz bin Jabal: “Aku berijtihad dengan pandanganku,”?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Kami mulakan terlebih dahulu dengan sejarah ringkas Muaz bin Jabal R.A:
Muaz bin Jabal bin Amr bin Aus al-Khazraji merupakan salah seorang sahabat Nabi SAW yang agung. Beliau dilahirkan 20 tahun sebelum hijrah dan kuniyah beliau ialah Abu Abd al-Rahman. Beliau telah memeluk Islam ketika berusia 18 tahun. Selain itu, beliau adalah seorang pemuda Ansar dan tergolong antara orang yang pertama masuk Islam dan turut serta dalam bai’at al-Aqabah yang kedua. Muaz bin Jabal juga termasuk dalam rombongan orang yang datang berbai’at kepada Rasulullah SAW di Madinah. Di samping itu, beliau menyertai peperangan Badar dan peperangan yang lain bersama Rasulullah SAW.
Kepandaian dan kefahaman beliau dalam ilmu agama telah diakui oleh Rasulullah SAW dan sahabat-sahabat Nabi SAW yang lain. Rasulullah SAW menggelarnya sebagai sahabat yang mahir dalam masalah halal dan haram. Beliau mempunyai banyak keistimewaan antaranya ialah beliau seorang yang sangat pandai dan berdedikasi tinggi. Dikatakan juga bahawa beliau antara sahabat yang paling terkenal dalam ilmu-ilmu feqah dan al-Quran. Tambahan pula, beliau adalah antara sahabat yang baik bacaan Al-Qurannya serta antara yang paling memahami maksud-maksud dan syariat-syariat Allah SWT yang terkandung di dalam al-Quran. Oleh sebab itu, Rasulullah SAW memujinya dengan bersabda: “Umatku yang paling alim tentang halal dan haram ialah Muaz bin Jabal.”
Beliau meriwayatkan hadis daripada Rasulullah SAW sebanyak 157 buah hadis. Selain itu, beliau juga meriwayatkan hadis daripada Abdullah bin Abbas, Abdullah bin Umar dan antara yang meriwayatkan hadis daripadanya ialah Anas bin Malik, Masruq, Abu Thufail Amir bin Wasilah. (Lihat Siyar A’lam al-Nubala 3/269).
Betapa hebatnya Muaz bin Jabal R.A, soalan yang ditanya dipuji oleh Rasulullah dan tanda kecerdikannya. Antaranya: Daripada Muaz bin Jabal R.A, katanya: “Wahai Rasulullah SAW, ceritakanlah kepadaku suatu amalan yang akan memasukkan aku ke dalam syurga dan menjauhkanku daripada neraka.” Lalu Rasulullah SAW bersabda:
لَقَدْ سَأَلْتَ عَنْ عَظِيمٍ، وَإِنَّهُ لَيَسِيرٌ عَلَى مَنْ يَسَّرَهُ اللهُ عَلَيْهِ: تَعْبُدُ اللهَ لَا تُشْرِكْ بِهِ شَيْئًا، وَتُقِيمُ الصَّلَاةَ، وَتُؤْتِي الزَّكَاةَ، وَتَصُومُ رَمَضَانَ، وَتَحُجُّ الْبَيْتَ، ثُمَّ قَالَ: أَلَا أَدُلُّكَ عَلَى أَبْوَابِ الْـخَيْرِ؟ الصَّوْمُ جُنَّةٌ، وَالصَّدَقَةُ تُطْفِئُ الْخَطِيئَةَ كَمَا يُطْفِئُ الْـمَاءُ النَّارَ، وَصَلَاةُ الرَّجُلِ فِي جَوْفِ اللَّيْلِ، ثُمَّ تَلَا: (تَتَجَافَى جُنُوبُهُمْ عَنِ الْـمَضَاجِعِ) حَتَّى بَلَغَ (يَعْمَلُونَ)، [سورة السجدة : 16 – 17]
ثُمَّ قَالَ: أَلَا أُخْبِرُكَ بِرَأْسِ الْأَمْرِ وَعَمُودِهِ وَذُرْوَةِ سَنَامِهِ؟ قُلْتُ: بَلَى يَا رَسُولَ اللهِ. قَالَ: رَأْسُ الْأَمْرِ الْإِسْلَامُ، وَعَمُودُهُ الصَّلَاةُ، وَذُرْوَةُ سَنَامِهِ الْجِهَادُ، ثُمَّ قَالَ: أَلَا أُخْبِرُكَ بِمَلَاكِ ذَلِكَ كُلِّهِ؟ فقُلْتُ: بَلَى يَا رَسُولَ اللهِ ! فَأَخَذَ بِلِسَانِهِ وَقَالَ: كُفَّ عَلَيْك هَذَا. قُلْتُ: يَا نَبِيَّ اللهِ ، وَإِنَّا لَـمُؤَاخَذُونَ بِمَا نَتَكَلَّمُ بِهِ؟ فَقَالَ: ثَكِلَتْكَ أُمُّكَ، وَهَلْ يَكُبُّ النَّاسَ عَلَى وُجُوهِهِمْ -أَوْ قَالَ عَلَى مَنَاخِرِهِمْ- إلَّا حَصَائِدُ أَلْسِنَتِهِمْ؟!
Maksudnya: “Sesungguhnya kamu telah tentang sesuatu yang agung. Sesungguhnya ia adalah mudah bagi sesiapa yang dimudahkan oleh Allah SWT: Kamu menyembah Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu, kamu mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa di bulan Ramadan dan menunaikan haji.
Kemudian baginda berkata: “Mahukah kamu kiranya aku tunjukkan kepadamu pintu-pintu kebaikan: Puasa itu benteng (pemelihara), sedekah menghapuskan kesalahan sepertimana air memadamkan api dan sembahyang seorang lelaki di tengah malam, kemudian baginda membaca firman Allah SWT yang bermaksud: “Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur (sedikit sangat tidur, kerana mengerjakan sembahyang tahajud dan amal-amal soleh), mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaan-Nya) serta dengan perasaan ingin mendermakan sebahagian daripada apa yang kami berikan kepada mereka. Maka tidak ada seseorangpun yang mengetahui satu persatu persediaan yang telah dirahsiakan untuk mereka (daripada segala jenis nikmat) yang amat indah dipandang dan menggembirakan, sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka telah kerjakan.”
Kemudian Baginda bersabda lagi: “Mahukah kamu kiranya aku ceritakan kepadamu tentang kepala segala urusan, tunggak dan kemuncaknya?” Aku menjawab: “Sudah tentu wahai Rasulullah!” Sabda Baginda: “Kepala segala urusan ialah Islam, tunggaknya
ialah sembahyang dan kemuncaknya adalah jihad.”
Kemudian Baginda bersabda lagi: “Mahukah kamu kiranya aku memberitahu kepadamu anak kunci kepada semua perkara tersebut?” Aku menjawab: “Sudah tentu wahai Rasulullah” Lalu Baginda memegang lidahnya seraya bersabda: “Kamu mesti menjaga ini!” Aku bertanya: “Wahai Nabi Allah! Adakah kita akan dibalas (dipersoalkan) dengan apa yang kita pertuturkan?” Baginda menjawab: “Celakalah kamu! Tidak ada yang menghumbankan manusia ke dalam neraka di atas muka meraka – dalam riwayat yang lain disebutkan di atas hidung mereka – melainkan hasil tuaian ini adalah ada lidah mereka?”
Riwayat al-Tirmizi (2619), Ibn Majah (3973) dan Ahmad (5/231)
Rasulullah SAW telah memintanya untuk ke Yaman bagi mengajar, memberikan pengetahuan agama dan mendidik masyarakat di sana. Rasulullah SAW memuji kebijaksanaan dan sikap Muaz bin Jabal apabila dilantik menjadi pendakwah dan qadhi di negeri Yaman. Baginda SAW bersabda:
كَيْفَ تَقْضِي؟ فَقَالَ: أَقْضِي بِمَا فِي كِتَابِ اللهِ، قَالَ: فَإِنْ لَمْ يَكُنْ فِي كِتَابِ اللهِ؟ قَالَ: فَبِسُنَّةِ رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ: فَإِنْ لَمْ يَكُنْ فِي سُنَّةِ رَسُولِ اللهِ؟ قَالَ: أَجْتَهِدُ رَأْيِي، قَالَ: الْحَمْدُ لِلهِ الَّذِي وَفَّقَ رَسُولَ رَسُولِ اللهِ
Maksudnya: Dengan apakah kamu akan berhukum? Maka Muaz menjawab: Aku akan berhukum dengan apa yang terdapat di dalam Kitabullah. Baginda bersabda: Sekiranya ia tidak terdapat di dalam Kitabullah? Maka jawab Muaz: Aku akan berhukum dengan Sunnah Rasulullah SAW. Baginda bertanya lagi: Sekiranya tidak terdapat di dalam Sunnah Rasulullah SAW? Jawab Muaz: Aku akan berijtihad dengan pendapatku. Maka Rasulullah SAW bersabda: Segala puji bagi Allah yang telah memberikan taufiq kepada utusan Rasulullah SAW.”
Riwayat al-Tirmizi (1327)
Rasulullah SAW amat menyayangi Muaz bin Jabal dan pernah bersabda:
أُوصِيكَ يَا مُعَاذُ لاَ تَدَعَنَّ فِي دُبُرِ كُلِّ صَلاَةٍ تَقُولُ اللَّهُمَّ أَعِنِّي عَلَى ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ
Maksudnya: Aku berpesan kepadamu wahai Muaz, janganlah engkau meninggalkan pada penghujung setiap solat dari membaca: “Ya Allah bantulah aku untuk mengingati-Mu, bersyukur kepada-Mu, dan elok dalam beribadah kepada-Mu.”
Riwayat Abu Daud (1552)
Muaz bin Jabal berada di Urdun (Jordan) pada saat negeri tersebut diserang wabak penyakit taun. Akhirnya Muaz bin Jabal wafat pada tahun 18 Hijrah di Jordan ketika itu usia beliau 33 atau 34 tahun.
Berkenaan persoalan di atas, dalam sebuah hadith, tatkala Rasulullah SAW ingin menghantar Mu‘az bin Jabal R.A ke Yaman, berlaku perbualan antara Baginda dengan Mu‘az. Rasulullah SAW bersabda:
كَيْفَ تَقْضِي؟ فَقَالَ: أَقْضِي بِمَا فِي كِتَابِ اللَّهِ. قَالَ: فَإِنْ لَمْ يَكُنْ فِي كِتَابِ اللَّهِ؟ قَالَ: فَبِسُنَّةِ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم. قَالَ: فَإِنْ لَمْ يَكُنْ فِي سُنَّةِ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم؟ قَالَ: أَجْتَهِدُ رَأْيِي. قَالَ: الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي وَفَّقَ رَسُولَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم
Maksudnya: “‘Dengan apakah kamu akan berhukum?’ Maka Mu‘az menjawab: ‘Aku akan berhukum dengan apa yang terdapat di dalam Kitabullah.’ Baginda bersabda: ‘Sekiranya ia tidak terdapat di dalam Kitabullah?’ Maka jawab Mu‘az: ‘Aku akan berhukum dengan Sunnah Rasulullah SAW.’ Baginda bertanya lagi: ‘Sekiranya tidak terdapat di dalam Sunnah Rasulullah SAW?’ Jawab Mu‘az: ‘Aku akan berijtihad dengan pendapatku.’ Maka Rasulullah SAW bersabda: ‘Segala puji bagi Allah yang telah memberikan taufiq kepada utusan Rasulullah SAW’.”
Riwayat al-Tirmizi (1327), Ahmad (22061). Syeikh Syuaib al-Arnaut dalam Takhrij al-Musnad mengatakan sanadnya dha‘if. Manakala, al-Zahabi mengatakan sanadnya hasan.
Yang dimaksudkan dengan ijtihad dalam kata-kata Mu‘az adalah, mengembalikan sesuatu isu itu kepada hukum-hakam yang difahami dari nas al-Quran serta al-Sunnah, dengan menggunakan Qiyas. Dan bukanlah yang dimaksudkan dengan ‘pendapat’ di dalam hadith ini sebagai pandangan yang datang dari dirinya sendiri atau lintasan fikirannya, tanpa sebarang asal dari al-Quran serta al-Sunnah. Dengan hadith ini, maka thabit kewajiban berhukum menggunakan Qiyas. (Lihat Ma‘alim al-Sunan, 4/165)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40; Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/75)