Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh tafsirkan kepada kami, ayat 41 daripada Surah al-Haj?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
. Firman Allah SWT:
الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ ۗ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ
Maksudnya: Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah SWT jualah kesudahan segala urusan.
(Surah al-Hajj: 41)
Ibnu Kathir berkata: ‘Athiyyah al-‘Aufi berkata tentang ayat ini, seperti firman-Nya: (وَعَدَ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ) “Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi,” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/544)
Sayyid Qutb berkata: Maksudnya, janji Allah yang kukuh dan tidak mungkir ialah Dia akan menolong siapa sahaja yang menolong agama-Nya. Siapakah orang-orang yang menolong agama Allah hingga mereka wajar menerima pertolongan Allah yang Maha Gagah dan Maha Perkasa, dan tidak akan mengalahkan siapa sahaja yang menjadikan Allah sebagai pelindungnya? Mereka ialah: (الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ) “Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi”; (أَقَامُوا الصَّلَاةَ) Mereka yang sentiasa beribadat kepada Allah dan mengukuhkan hubungan mereka dengan-Nya; (وَآتَوُا الزَّكَاةَ) Mereka yang menunaikan kewajipan harta, mengatasi tabiat bakhil, membersihkan diri mereka dari tamak haloba dan menumpaskan bisikan-bisikan syaitan, mengukuhkan perpaduan masyarakat dan menjamin keperluan golongan yang lemah dan golongan yang memerlukan bantuan dalam masyarakat; (وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ) Mereka yang menyeru dan mendorong manusia ke arah kebaikan; (وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ) Dan mereka yang menentang kejahatan dan kerosakan. (Lihat Tafsir Fi Zilal al-Quran, 11/184)
Prof Dr Hamka berkata: (الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ) “Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi”. Ertinya telah Kami tolong dan berhasil perjuangan mereka melawan kezaliman itu, “mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat.” Dengan susunan ayat seperti ini bukanlah bererti bahawa mereka baru mendirikan sembahyang dan kukuh di muka bumi, atau setelah mereka menang menghadapi musuh-musuhnya, bahkan sejak semula, perjuangan keyakinan dan keimanan kepada Tuhan itulah pegangan teguh mereka. (Lihat Tafsir al-Azhar, 17/177)
Berdasarkan ayat di atas juga, jelas menunjukkan mereka yang dikurniakan Allah SWT dengan kedudukan yang kukuh di muka bumi perlu melaksanakan perintah utama iaitu:
- Mendirikan solat.
- Menunaikan zakat.
- Melaksanakan amar makruf.
- Mencegah kemungkaran.
Kerajaan seperti ini, iaitu kerajaan yang mana ketuanya, agensi-agensi pentadbirannya dan majlis-majlis syuranya sangat mengambil berat tentang Islam dan melaksanakannya pada setiap individu.
Dalam kitab Fi Afaq al-Ta’alim pula, Syeikh Sa’id Hawwa menegaskan bahawa: “Sesebuah kerajaan tidak akan menjadi kerajaan Islam (yang adil) kecuali apabila anggota-anggota adalah Islam lagi patuh. Institusi-institusi, undang-undang dan perlembagaannya serta perhubungannya adalah Islam. Semua ini tidak boleh dipisah-pisahkan.”
Tafsiran ini bertepatan dengan apa yang disifatkan oleh Imam al-Syahid al-Banna, beliau menyatakan: “Kerajaan Islam ialah kerajaan yang mana anggota-anggotanya adalah orang Islam yang menunaikan kewajipan-kewajipan Islam, tidak melakukan maksiat secara terang-terangan dan kerajaan tersebut melaksanakan hukum-hukum dan ajaran-ajaran Islam. Tidak mengapa meminta bantuan daripada orang bukan Islam ketika darurat dan dalam jawatan-jawatan yang bukan menentukan polisi umum pemerintahan. Tidak diambil kira bentuk dan jenis kerajaan selama ia bersesuaian dengan kaedah-kaedah umum pemerintahan Islam. Antara sifatnya ialah ia berperasaan bertanggungjawab mengasihi rakyat, adil antara manusia, berhati-hati dan berekonomi dalam membelanjakan harta awam.
Antara kewajipannya ialah menjaga keamanan, melaksanakan undang-undang, mengembangkan pelajaran, menyediakan kekuatan, menjaga kesihatan, menjaga kepentingan umum, mengembangkan harta, menjaga harta, memperkuatkan akhlak dan menyebar dakwah.
Antara hak yang patut diterima setelah ia melaksanakan kewajipannya ialah patuh dan taat serta patut mendapat sokongan yang berbentuk jiwa dan harta. Tetapi apabila ia tidak menjalankan kewajipannya, ia patut diberi nasihat dan tunjuk ajar, dan sesudah itu patut dicabut kuasa dan dibuang negeri. Sesungguhnya tiada ketaatan kepada mana-mana makhluk untuk menderhaka kepada Allah.” (Lihat Rasa’il al-Imam al-Syahid Hasan al-Banna, hlm. 135)
Seterusnya, konsep ta’awun dan bertolong-tolongan hendaklah menjadi asas dalam kehidupan bermasyarakat untuk meraih negara yang diberkati. Firman Allah SWT:
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ
Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa”
(Surah al-Maidah: 2)
Syeikh al-Maraghi berkata: Oleh itu, manusia antara satu sama lain wajib memberi pertolongan dalam urusan yang membawa kepada kebaikan. Pertolongan itu sama ada antara individu atau pun masyarakat, dalam soal kehidupan dunia atau kehidupan akhirat. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 3/1474)
Syeikh al-Sabuni berkata: Iaitu bertolong-tolonganlah kamu dalam perkara melakukan kebaikan dan kebajikan dan meninggalkan kemungkaran serta (bertolong-tolonganlah dalam) perkara yang membawa ketaatan kepada Allah SWT. (Lihat Sofwah al-Tafasir, 1/301)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ وَلِّ أُمُوْرَنَا خِيَارَنَا ، وَلَا تُوَلِّ أُمُوْرَنَا شِرَارَنَا
Maksudnya: “Ya Allah! Lantiklah untuk urusan kami (pemerintahan) orang-orang yang terbaik di kalangan kami. Janganlah Engkau lantik untuk urusan kami orang-orang yang terburuk di kalangan kami.” (Lihat Ibtihalat wa Da’awat oleh Dr Yusuf al-Qaradhawi, hlm. 68)
اللَّهُمَّ اجْعَل وِلَايَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِين
Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah kuasa wilayah kami pada orang yang takut kepada-Mu dan bertakwa kepada-Mu, wahai Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” (Lihat Nafahat al-Minbar al-Makki, 1/137)