Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh tafsirkan kepada kami ayat 15 daripada Surah Saba’?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Firman Allah SWT dalam Surah Saba’:
لَقَدْ كَانَ لِسَبَإٍ فِي مَسْكَنِهِمْ آيَةٌ ۖ جَنَّتَانِ عَن يَمِينٍ وَشِمَالٍ ۖ كُلُوا مِن رِّزْقِ رَبِّكُمْ وَاشْكُرُوا لَهُ ۚ بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ
Maksudnya: Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri Saba’, satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu: Dua kumpulan kebun (yang luas lagi subur), yang terletak di sebelah kanan dan di sebelah kiri (kampung mereka). (Lalu dikatakan kepada mereka): Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepadanya, (negeri kamu ini adalah) negeri yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan Yang Maha Pengampun!
Surah Saba’ (15)
Syeikh al-Sya’rawi menyatakan bahawa Allah SWT menggunakan kalimah maskan (مَسْكَن) sebagai kedamaian dan ketenangan. Kemudian diteruskan lagi dengan perkataan ‘ayat’ (آيَة) yang memberi maksud perkara yang luar biasa yang jarang berlaku atau sebagai tanda kekuasaan Tuhan. (Lihat Tafsir al-Sya’rawi, 6/3508)
Al-Sabuni berkata dalam ayat ini, Allah SWT menyebutkan tentang nikmat yang dilimpahkan-Nya kepada penduduk Saba’ seperti yang diterangkan oleh Qatadah: “Kebun buah-buahan mereka mengandungi pelbagai jenis buah-buahan yang rendang dan dijadikan tempat berteduh oleh penduduk negara itu. Mana-mana orang yang lalu di situ dapat mengutip buahnya yang ranum dan lazat tanpa bersusah payah sedikitpun.”
Menurut al-Baidawi, maksud dua kebun itu bukanlah hanya dua buah kebun, tetapi dua kumpulan kebun, satu kumpulan di sebelah kanan dan satu kumpulan lagi di sebelah kiri. Kedua-duanya sama-sama subur dan mengeluarkan hasil yang memuaskan. Kedua-dua kebun itu berada dalam jarak yang dekat seakan-akan satu kebun sahaja. (Al-Syeikh Zadah, 3/85 dan al-Zamakhsyari, 3/454)
Perkataan Baldah Toyyibah memberi maksud negeri yang baik yang tiada padanya sebarang kering kontang (ketidaksuburan) dan perkara yang menderitakan. Menariknya, ayat yang seterusnya disebut dengan wa rabbun ghafur (وَرَبٌّ غَفُورٌ) di mana negeri Saba’ mempunyai tiga belas perkampungan besar dan Allah SWT mengutuskan mereka tiga belas orang Nabi, tetapi malangnya mereka mendustakannya.
Syeikh Muhammad Mutawalli Sya’rawi berkata: Digabungkan dengan wa rabbun ghafur (وَرَبٌّ غَفُورٌ) seolah-olah memberi maksud negeri yang baik mestilah membawa kepada akhirat dalam meraih mardhatillah (keredaan Allah) dan keampunan-Nya. Ertinya kesepaduan antara kehebatan dan tamadun dunia mestilah seiring dengan ketinggian roh maknawi untuk beribadat kepada Yang Maha Esa.
Terminologi Baldatun Toyyibah adalah berakar daripada intipati al-Quran ketikamana Allah SWT menggambarkan kemakmuran sesebuah negeri yang bernama Saba’. Secara literal, baldatun toyyibah memang bermaksud negara yang baik. Hakikatnya negara yang baik terhasil daripada pemerintahan yang baik. Justeru itu, terminologi ini mungkin dapat diertikan sebagai sebuah negeri yang berasaskan kepada good governance yang melahirkan civil society dalam istilah politik moden berasaskan ciri-ciri yang digariskan oleh al-Tabari ketika mentafsirkan ayat ini: “Negara yang mendapat keampunan Allah SWT, justeru rakyatnya yang diberikan kemakmuran, lantaran ketaatan mereka kepada perintah Allah SWT dan keterhindaran mereka daripada maksiat.”
Ciri kebaikan umat ini sebagaimana yang disebutkan oleh ayat di atas ialah amar makruf, nahi munkar dan keimanan kepada Allah SWT. Ketiga-tiga perkara ini akan tercapai apabila agama ini dipelihara dan dunia ini ditadbir berdasarkan nilai-nilai agama. Sebuah kerajaan tidak akan dapat mencapai piawai “Pemerintahan yang baik” (good govenance) jika amalan yang baik dalam pemerintahan (al-Ma’ruf) dan penolakan terhadap amalan yang buruk (al-Munkar) tidak menjadi polisi utamanya.
Antara amalan baik dalam pemerintahan termasuklah keadilan, ketelusan, kejujuran dan kebertanggungjawaban. Manakala amalan buruk yang patut ditolak justeru ia adalah mungkar termasuklah kezaliman, kedustaan, ketirisan, rasuah, kemalasan, budaya lepak ketika berkerja, tidak bersungguh-sungguh dalam melaksanakan tugas dan pengkhianatan. Penyalahgunaan kuasa dan rasuah termasuk dalam kezaliman dan pengkhianatan.
Dalam pada itu, penguatkuasaan dan juga penekananan berkenaan integriti hendaklah dipupuk dalam sistem pentadbiran sehingga membawa kepada khalayak rakyat jelata. Ini sudah pasti menatijahkan contoh dan ikutan yang baik selaras dengan kepimpinan melalui teladan. (Lihat Negara Sejahtera Rahmat Untuk Semua, hlm. 2-5)
Semoga Allah SWT jadikan negara kita Malaysia termasuk dalam negara yang bersifat Baldatun Tayyibatun wa Rabbun Ghafur. Begitu juga dikurniakan keberkatan yang banyak sama ada daripada langit atau bumi. Amin. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ وَلِّ أُمُوْرَنَا خِيَارَنَا ، وَلَا تُوَلِّ أُمُوْرَنَا شِرَارَنَا
Maksudnya: “Ya Allah! Lantiklah untuk urusan kami (pemerintahan) orang-orang yang terbaik di kalangan kami. Janganlah Engkau lantik untuk urusan kami orang-orang yang terburuk di kalangan kami.” (Lihat Ibtihalat wa Da’awat oleh Dr Yusuf al-Qaradhawi, hlm. 68)
اللَّهُمَّ اجْعَل وِلَايَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِين
Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah kuasa wilayah kami pada orang yang takut kepada-Mu dan bertakwa kepada-Mu, wahai Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” (Lihat Nafahat al-Minbar al-Makki, 1/137)