Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, tafsir ayat 96 daripada Surah al-A’raf serta maksud sebenar keberkatan seperti dalam ayat tersebut?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

0Dalam melayari kehidupan, sesebuah negara atau sesuatu tempat amat penting untuk memperoleh keberkatan, di mana ia sudah pasti akan membawa kedamaian dan kebahagiaan. Antara pra-syarat tersebut ialah beriman dan bertakwa. Kesan yang akan diperolehi adalah sepertimana disebut dalam firman Allah SWT:

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَـٰكِن كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُم بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

MaksudnyaDan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.

Surah al-A’raf (96)

Ibn Kathir berkata: “وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَىٰ آمَنُوا وَاتَّقَوْا” (Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa), maksudnya, hati mereka beriman dan membenarkan terhadap apa yang dibawa oleh para Rasul, lalu mereka mengikuti Rasul dan bertakwa dengan melakukan ketaatan dan meninggalkan semua larangan, ” لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ” (tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi). Maksudnya, hujan dari langit dan tanaman dari bumi. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/420)

Imam al-Baidhawi berkata: (لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ) (tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi) yakni “Allah SWT akan luaskan kebaikan bagi mereka dan mempermudahkannya bagi mereka dalam segenap aspek. Dikatakan maksudnya ialah hujan dan tanam-tanaman.” (Lihat Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta’wil, 2/294)

Al-Zamakhsyari berkata: (لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ) dengan maksud “Allah SWT akan datangkan kepada mereka kebaikan dalam pelbagai bentuk. Dikatakan maksudnya hujan dan tanam-tanaman.” (Lihat al-Kassyaf, 2/260)

Imam al-Suyuthi berkata: (لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ) dengan maksud “Langit akan memberikan kepada mereka berkatnya, manakala bumi dengan tanam-tanamannya.” (Lihat al-Durr al-Manthur fi al-Ta’wil bi al-Ma’thur, 4/274)

Syeikh Abu Bakar al-Jaza’iri berkata: (بَرَكَاتٍ مِّنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ) Iaitu jamak kepada “بركة” dan ia bermaksud berterusan dan berkekalannya kebaikan; ilmu, ilham dan hujan daripada keberkatan langit, manakala tanaman, kesuburan, kemakmuran, keamanan, afiyah daripada keberkatan bumi. (Lihat Aisar al-Tafasir1/486)

Syeikh al-Maraghi berkata: Jika mereka mahu beriman kepada apa yang diserukan oleh rasul terakhir, iaitu Nabi Muhammad SAW, beribadah kepada Allah SWT semata-mata, bertakwa terhadap segala yang dilarang seperti syirik dan kerosakan di muka bumi dengan melakukan kekejian dan dosa, sudah pasti Kami bukakan untuk mereka pelbagai berkat dari langit dan bumi yang belum mereka ketahui sebelumnya. Kemudian mereka akan memperoleh pintu-pintu kenikmatan dan keberkatan selain yang telah dikenali sifatnya, pertumbuhan, kekekalan dan pengaruhnya terhadap diri mereka.

Kemudian, Kami turunkan kepada mereka hujan yang bermanfaat, yang dapat menyuburkan tanah dan memberi kemakmuran hidup. Begitu juga Kami datangkan kepada mereka pelbagai jenis ilmu, pengetahuan dan kefahaman tentang sunnah alam semesta yang belum pernah dicapai oleh umat manusia sebelum mereka. Kesimpulannya, jika mereka mahu beriman, nescaya Kami beri kekayaan yang sangat luas dari setiap penjuru kepada mereka, dan Kami mudahkan mereka mendapat ganti daripada hukuman yang telah menimpa mereka. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 5/2318-2319)

Menurut Sayyid Qutb, ini adalah satu bahagian yang lain dari perjalanan Sunnatullah, iaitu jika penduduk negeri-negeri itu beriman sebagai ganti mendustakan rasul dan bertaqwa sebagai ganti bertindak sewenang-wenang nescaya Allah akan melimpahkan ke atas mereka berbagai-bagai kebajikan dan keberkatan dari langit dan bumi. Semuanya dibuka kepada mereka tanpa batas perkiraan sama ada dari atas kepala mereka atau dari bawah kaki mereka. Ungkapan al-Quran yang begitu menyeluruh dan syumul menggambarkan kelimpahan dan kemakmuran rezeki dan makanan yang tidak terbatas dengan kadar-kadar yang diketahui manusia.

Apabila seseorang itu hidupnya bebas dari hawa nafsu dan keterlaluan manusia dan apabila hidupnya menyembah Allah dengan khusyuk, maka hidupnya akan menuju ke arah yang baik dan menjadi produktif yang wajar menerima pertolongan-pertolongan dari Allah selepas mencapai keredhaan-Nya. Oleh sebab itu, hidupnya tetap dikelilingi keberkatan dan diselubungi kebajikan dan tetap mencapai kejayaan.

Keberkatan-keberkatan yang dijanjikan Allah dengan penuh ketegasan dan keyakinan kepada orang-orang yang beriman dan bertakwa itu adalah beraneka jenis dan tidak dihurai dan ditentukan oleh ayat itu, tetapi saranannya menggambarkan keberkatan yang turun dan mengalir melimpah ruah di setiap tempat tanpa ditentu, dihurai dan dijelaskan, iaitu keberkatan dari segala jenis dan rupa bentuk yang diketahui dan dikhayalkan oleh manusia dan keberkatan-keberkatan yang tidak pernah diketahui mereka sama ada di alam kenyataan atau alam imaginasi. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 6/245-246)

Prof. Dr. Hamka berkata: Keimanan dan takwa kepada Allah membukakan pintu rezeki. Sebab kalau orang telah beriman dan bertakwa, fikirannya sendiri terbuka, ilham pun datang. Sebab iman dan takwa itu menimbulkan silaturrahmi sesama manusia. Lantaran itu timbullah kerjasama yang baik sebagai khalifah Allah di muka bumi. Dengan demikian turunlah berkat dari langit dan menyemburlah berkat dari bumi.

Berkat itu dua macamnya, iaitu yang hakiki dan yang maknawi. Yang hakiki ialah yang berupa hujan membawa kesuburan bumi, maka teraturlah tumbuhan dan keluarlah segala hasil bumi. Atau terbukalah fikiran manusia menggali harta dan kekayaan yang terpendam dalam bumi itu seumpama besi, emas, perak dan logam yang lain, atau mengatur perkebunan yang luas, menyuburkan ekonomi seumpama kelapa, getah, benang nanas, kelapa sawit dan lain-lain.

(Berkat) yang maknawi pula ialah timbulnya fikiran-fikiran yang baru dan petunjuk dari Allah, baik berupa wahyu yang dibawakan oleh Rasul atau ilham yang ditumpahkan Allah kepada orang-orang yang berjuang dengan ikhlas. (Lihat Tafsir al-Azhar, 3/16)

Menurut Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili pula, kenikmatan dan kebaikan tersebut berupa hujan dan mengeluarkan segala nikmat dan kebaikan dari bumi seperti tanam-tanaman, barang galian, harta benda dan sebagainya. Allah juga akan memberikan mereka ilmu pengetahuan untuk memahami sunnah-sunnah yang terjadi di alam ini.

Dengan kata lain, seandainya mereka beriman nescaya Allah akan memudahkan untuk mereka segala bentuk kebaikan dari atas dan bawah mereka, dari diri dan fikiran mereka. Hal ini menunjukkan bahawa iman yang benar adalah faktor kebahagiaan dan kemakmuran. (Lihat Tafsir al-Munir, 5/43)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ وَلِّ أُمُوْرَنَا خِيَارَنَا ، وَلَا تُوَلِّ أُمُوْرَنَا شِرَارَنَا

Maksudnya: “Ya Allah! Lantiklah untuk urusan kami (pemerintahan) orang-orang yang terbaik di kalangan kami. Janganlah Engkau lantik untuk urusan kami orang-orang yang  terburuk di kalangan kami.” (Lihat Ibtihalat wa Da’awat oleh Dr Yusuf al-Qaradhawi, hlm. 68)

اللَّهُمَّ اجْعَل وِلَايَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِين

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah kuasa wilayah kami pada orang yang takut kepada-Mu dan bertakwa kepada-Mu, wahai Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” (Lihat Nafahat al-Minbar al-Makki, 1/137)

Leave a Reply