Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh Dato kongsikan satu kisah tentang kemuliaan tidak terletak pada harta benda?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya).

(Surah al-Hujurat: 13)

Syeikh Wahbah al-Zuhaili menyatakan: Ayat ini ditujukan buat seluruh manusia secara mutlak. Melalui ayat ini, Allah S.W.T menjelaskan bahawasa-Nya telah menciptakan kita berbagai bangsa dan puak untuk kita saling mengenali bukan saling membanggakan nasab. Namun, yang membezakan antara kita semua adalah ketakwaan kepada Allah SWT (Lihat Tafsir al-Munir 26/259)

Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كُلُّكُمْ بَنُو آدَمَ، وَآدَمُ خُلِقَ مِنْ تُرَابٍ

Maksudnya: “Kamu semua adalah anak-anak Adam, dan Adam diciptakan dari tanah.”

Riwayat al-Tirmizi (3955). Dinyatakan sebagai sahih dalam Sahih al-Jami’ (4568)

Menjawab persoalan di atas, jelas menunjukkan kepada kita bahawa kemuliaan hakiki pada ketakwaan dan juga ilmu yang dimiliki. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ

Maksudnya: “Allah meninggikan darjat orang yang beriman di antara kamu, dan orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dalam kalangan kamu) — beberapa darjat.

(Surah al-Mujadalah: 11)

Ayat di atas menunjukkan bahawa wujudnya ganjaran di akhirat dan kemuliaan di dunia. Maka dengan itu, diangkat orang yang beriman daripada orang yang tidak beriman dan orang yang alim daripada orang yang tidak alim. Ibn Mas‘ud R.A menyebutkan bahawa Allah SWT memuji para ulama dalam ayat ini, di mana Allah SWT mengangkat kedudukan orang beriman yang diberi ilmu pengetahuan lebih tinggi berbanding orang beriman yang tidak diberikan ilmu pengetahuan dengan beberapa darjat. ( Lihat Tafsir al-Qurtubi,17/299)

Kisah Tentang Kemuliaan yang Tidak Terletak pada Penampilan

Pada suatu hari berlaku satu pergaduhan antara dua kabilah di Kufah, iaitu di Masjid Jami’. Mereka sama-sama menghunus pedang dan memasang anak panah. Suasana menjadi genting. Hampir sahaja tengkorak terlepas dari jasad. Tiba-tiba, keluarlah seorang dari masjid untuk mencari seorang pendamai yang penyabar. Beliau yang dimaksudkan ialah al-Ahnaf bin Qais.

(Beliau adalah salah seorang sahabat Rasulullah SAW yang mempunyai banyak keistimewaan. Nama penuh beliau ialah al-Dahhak bin Qais al-Tamimi dari Bani Tamim. Oleh kerana sejak kelahirannya kakinya sudah tempang maka beliau digelar al-Ahnaf dan akhirnya namanya ini yang dikenali oleh orang ramai dan dia  disebut sebagai al-Ahnaf bin Qais.

Beliau lahir di perkampungan Barat Yamamah di daerah Najdi pada 3 tahun sebelum hijrah. Kehidupannya sebagai anak yatim kerana ketika beliau masih merangkak lagi ayahnya telah terbunuh. Ini mendidik jiwanya dan beliau adalah seorang yang jiwanya lembut dan peka terhadap suasana sekelilingnya.

Beliau telah memeluk Islam hasil daripada kedatangan pendakwah Rasulullah SAW kepada kaum Ahnaf dan mengajak mereka semua memeluk Islam. Sedangkan kaumnya saling pandang-memandang antara satu sama lain. Ketika itu, al-Ahnaf berkata, “Hai kaum, kenapa aku melihat kamu masih dalam keraguan? Kamu menerima seseorang dan kamu mentakhirkan seseorang. Demi Allah, sesungguhnya utusan ini adalah utusan yang  baik, mengajak kamu ke arah kesempurnaan akhlak dan melarang kamu dari keburukan akhlak. Demi Allah, kamu tidak dengar daripadanya kecuali yang baik. Hendaklah kamu menyahut seruan petunjuk ini, nescaya kamu akan mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.”

Selepas sahaja mendengar ucapan Ahnaf serta pandangannya, mereka semua memeluk Islam dan juga Ahnaf. Mereka datang bertemu Rasulullah SAW, dan Ahnaf sedikit kelewatan kerana urusan barangan yang hendak dibawa serta bekalannya. Apabila selesai, Ahnaf mengikuti mereka. Rasulullah SAW bersabda kepada Ahnaf:

Maksudnya: “Sesungguhnya pada kamu terdapat dua akhlak yang Allah dan Rasul-Nya suka, iaitu lemah lembut dan ketenangan.” Kata Ahnaf, “Ya Rasulullah SAW, adakah dua akhlak ini, aku berakhlak dengan kedua-duanya? Atau dua sifat ini, Allah kurniakan kepadaku secara fitrah?”Maka sabda rasulullah SAW: “Bahkan kedua-duanya sifat tersebut, Allah kurniakan kepadamu secara fitrah.” Lantas jawab Ahnaf,

“Alhamdulillah yang telah mengurniakan kepadaku dua sifat ini, di mana Allah dan Rasul-Nya amat cintakannya.”

Rasulullah SAW pernah mendoakan Ahnaf dengan doa, “Ya Allah berilah keampunan kepada Ahnaf.” Dengan sebab itu, Ahnaf sering berkata, “Tiada sesuatu dari segi amalanku yang aku harap pada hari kiamat lebih dari doa Rasulullah SAW.”)

Ketika itu Ahnaf berada di rumahnya sedang memerah susu kambing. Beliau memakai pakaian yang harganya tidak sampai sepuluh ribu dirham. Badannya kurus dan penampilannya menarik perhatian. Apabila diberitahu tentang apa yang berlaku, dirinya kelihatan tenang dan tidak terperanjat kerana sudah lali menghadapi kesusahan dan hidup dalam tekanan. Beliau hanya berkata: “Insya Allah, akan baik.”

Selepas itu, beliau bersarapan seketika untuk mengalas perutnya yang kosong. Sarapannya hanyalah sepotong roti kering, beberapa titis minyak zaitun, secubit garam dan segelas air. Selesai makan dia membaca: “Alhamdulillah…” Katanya: “Gandum dari Iraq, minyak dari Syria, air dari sungai Tigris, dan garam Marw adalah nikmat yang luar biasa.”

Kemudian beliau mengenakan pakaian dan mengambil tongkatnya. Beliau berjalan menuju ke arah sekumpulan manusia, serta merta beliau bercakap tentang perdamaian, dan meminta untuk segera bersurai. Semua yang terlibat dalam pergaduhan itu pun pulang. Kemudian, pergaduhan itu tidak lagi berlaku, dan fitnah yang mengganggu emosi mereka tadi hilang begitu sahaja. Tidak mustahil seseorang mendapat kemuliaan walaupun beliau hanya memakai kain lusuh dan baju yang compang-camping.

Daripada kisah tersebut, terdapat banyak pengajaran yang boleh diambil, antaranya:

“Kemuliaan itu bukan pada kegagahan dan penampilan. Kurangnya harta yang dimiliki seseorang bukan petunjuk bahawa dia hidup sengsara. Begitulah juga dengan kebahagiaan. Ia tidak dinilai dari jumlah kekayaan dan kemegahan.”  (Lihat Nota untuk Anakku, hlm. 61-62)

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ أَوْزِعْنَا أَنْ نَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيْنَا وَعَلَىٰ وَالِدِين وَأَنْ نَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنَا بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah kami supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapa kami, dan supaya kami tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan masukkanlah kami – dengan limpah rahmat-Mu – dalam kumpulan hamba-hamba-Mu yang soleh.”

Wallahu a‘lam

Leave a Reply