Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, siapakah sahabat Nabi SAW yang bernama Syurahbil bin Hasanah?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Beliau merupakan salah seorang Sahabat Nabi SAW. Nasab Syurahbil dinisbahkan kepada ibunya, Hasanah. Mengenai siapa bapanya, terdapat perbezaan pendapat. Ada riwayat yang menyebut, Abdullah bin al-Mu’ta bin Amr dari Bani Kindah. Ada juga yang menyebut, al-Ghauth bin Murra, saudara Tamim bin Murra dari Bani Tamim. (Lihat al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 3/265)
Ibunya Hasanah merupakan salah seorang Sahabat perempuan yang telah memeluk Islam sejak di Makkah, dan ikut berhijrah ke Habasyah. Beliau berhijrah bersama anaknya, Syurahbil bin Hasanah.
Ibn Sa’ad menyebut: “Hasanah telah memeluk Islam di Makkah, ikut berbai’ah dan berhijrah ke bumi Habsyah ketika hijrah yang kedua bersama anaknya, Syurahbil bin Hasanah.” (Lihat al-Tabaqat al-Kubra, 8/224)
Beliau juga termasuk sahabat yang memeluk pada zaman dakwah di Makkah lagi. Ibn ‘Asakir menyebut: Muhammad bin Ishaq menyebut: Hasanah Ummu Syurahbil (Ibu kepada Syurahbil) adalah isteri Sufyan bin Ma’mar bin Habib bin Wahb bin Huzafah bin Juma’. Dari Hasanah, beliau memiliki anak: Khalid dan Junadah. Keduanya anak Sufyan bin Ma’mar (yang ikut berhijrah) ke Habsyah. Kemudian dia keluar bersama isterinya, Hasanah, dan (kedua) anak mereka, Khalid dan Junadah, serta saudara seibu mereka, Syurahbil bin Hasanah dalam hijrah yang kedua menuju ke Habsyah. (Lihat Tarikh Madinah Dimasyq, 22/467)
Dikatakan, Syurahbil bin Hasanah nisbah kepada ibunya kerana bapanya meninggal awal sedangkan ibunya lah yang memelihara dan mendidiknya. Justeru, dinisbahkan kepada ibunya.
Syurahbil bin Hasanah turut bersama Rasulullah SAW dalam banyak siri peperangan. Beliau juga dilantik menjadi panglima perang ketika zaman Khalifah Abu Bakar R.A bagi misi pembebasan bumi Syam daripada kekuasaan Byzantine (Rom). Dalam kitab Tarikh Madinah Dimasyq, disebut: “Syurahbil bin Hasanah, Hasanah ialah (nama) ibunya. Beliau ialah Syurahbil bin Abdullah bin al-Muta’ bin ‘Amr dari (Bani) Kindah, (yang merupakan) sekutu Bani Zuhrah, yang (biasa) dipanggil dengan sebutan Abu Abdillah. Beliau termasuk (antara orang yang) awal (memeluk) Islam di Makkah, (dan termasuk golongan) yang berhijrah ke Habsyah pada fasa kedua. Beliau ikut berperang bersama Nabi SAW dalam banyak peperangan. Beliau juga salah seorang panglima perang yang dilantik oleh Sayyidina Abu Bakar ke Syam, dan meninggal dunia di Syam kerana wabak Ta’un Amawas pada tahun ke-18 H, pada zaman pemerintahan Khalifah Umar. (Ketika itu), beliau berusia 67 tahun.” (Lihat Tarikh Madinah Dimasyq, 22/470)
Antara peperangan yang disertai oleh Syurahbil bin Hasanah adalah peperangan Yarmuk yang berlaku pada tahun 13 Hijrah. Peperangan tersebut menyaksikan Syurahbil bin Hasanah diberi peranan sebagai salah seorang panglima dalam pembahagian pasukan Islam. Kehebatannya terbukti dengan keberanian dan kepintaran bermain senjata.
Syurahbil bin Hasanah telah meninggal dunia pada tahun ke-18 H di Syam, akibat wabak Taun ‘Amawas yang merebak ketika itu pada zaman pemerintahan Khalifah Umar R.A berdasarkan catatan di atas.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”