Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh jelaskan, siapakah dia Dhirar bin Azwar?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Beliau ialah Dhirar bin al-Azwar , dan nama al-Azwar ialah Malik bin Aus bin Khuzaimah bin Rabi’ah bin Malik. (Lihat al-Isti’ab oleh Ibn ‘Abd al-Bar, 1/224) Justeru, nama sebenarnya ialah Dhirar Ibn Malik. Beliau merupakan seorang pejuang yang gagah dan cekap sejak sebelum memeluk Islam. Beliau dikenali oleh kaumnya sebagai al-Azwar. Beliau juga merupakan saudara daripada pejuang wanita terkenal, iaitu Khaulah binti al-Azwar yang juga sahabat perempuan Rasulullah SAW.
Al-Baghawi berkata: Beliau tinggal di Kufah. Dikatakan bahawa beliau mempunyai seribu ekor unta dan penggembalanya. Lalu kemudian beliau menyerahkan semuanya kepada Allah. (Lihat al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 3/482) Rasulullah SAW memuji tindakannya dan menyatakan beliau mendapat keuntungan dan sekali-kali tidak rugi.
Dhirar memeluk Islam selepas Peperangan Khandaq. Keluarga Dhirar termasuk antara yang pertama memeluk Islam dari kaumnya. Dikatakan, beliau dikenali sebagai orang yang amat kaya kerana memiliki seribu unta.
Beliau juga ikut serta dalam beberapa siri peperangan dan operasi serta berada di bawah panglima perang Islam terkenal, iaitu Khalid ibn al-Walid.
Dhirar bin Azwar juga dikenali sebagai panglima yang berani dan penyair. Beliau terkenal dengan ketangkasan dan kekuatannya semasa berperang. Cukuplah dengan mendengar namanya sahaja, musuh akan merasa takut dan gerun. Rasulullah SAW amat menyayangi Dhirar ibn Azwar R.A dan percaya kepadanya. Dengan sebab itu, beliau pernah diutus ke sebahagian kabilah-kabilah termasuklah untuk menghentikan serangan daripada Bani Asad.
Antara keberaniannya itu menyebabkan musuh merasa gerun. Beliau sanggup berbai’ah bersama Ikrimah bin Abi Jahal untuk berani mati dalam peperangan.Beliau juga mampu menyerang musuh seorang diri, menekan dan melibas musuh kiri dan kanan tanpa mereka dapat menghentikan Dhirar. Pernah terjadi 30 tentera Rom mengejarnya untuk membunuh. Lantas beliau membuka penyangganya dari dadanya dan membaling penahannya serta bajunya agar ringan pergerakannya sehingga orang Rom menggelarkan beliau syaitan yang telanjang dadanya. Itulah kehebatan beliau. Beliau pernah bertarung seorang sama seorang dengan pemimpin Rom, Wardan sehingga akhirnya beliau dapat membunuh Wardan dan membawa kepala Wardan menyebabkan tentera Islam bertakbir. Kemudian datang seorang panglima tentera Rom yang lain untuk membalas dendam atas Wardan. Maka berlakulah pertempuran antara Dhirar dan Bolas yang akhirnya pedang Dhirar terkena pada lehernya. Lalu dia menyeru Khalid untuk membunuhnya, “Hei Khalid, biar kamulah yang bunuh aku. Jangan dia yang membunuh aku.” Lantas jawab Khalid, bahkan dialah yang membunuh kamu dan membunuh Rom.
Dalam peperangan Yamamah, yang menyaksikan ramai para Sahabat mati syahid, ia adalah salah satu peperangan menentang golongan murtad pada tahun 12H, di bawah kepimpinan Ikrimah bin Abi Jahal. Dhirar menyertainya dan bersungguh-sungguh berperang sehingga kedua betisnya terpotong atau cedera parah, tetapi dia meneruskan peperangan di atas dua lututnya. Itulah Dhirar ibn al-Azwar.
Kematian Dhirar
Berlaku perselisihan pandangan tentang kematian Dhirar.
Ibn ‘Abd al-Bar berkata: “Dhirar telah meninggal dunia pada hari Ajnadain, pada zaman pemerintahan Khalifah Abu Bakar.”
Yang lain berkata: “Dhirar bin al-Azwar telah meninggal dunia pada zaman pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab R.A di Kufah.”
Al-Waqidi berkata: “Dhirar bin al-Azwar telah berjihad pada perang al-Yamamah sehingga dua kakinya terputus, lalu dia mula merangkak di atas lututnya dan berperang, dengan kuda menginjak-injaknya, sehingga kematian mengalahkannya.” Dikatakan, walaupun begitu, beliau tidak mati ketika itu, bahkan dapat terus hidup.
Beliau antara sahabat yang telah berbai’ah untuk mati dalam peperangan Yamamah ketika mana Ikrimah bin Abi Jahal berkata: “Siapa yang sanggup berbai’ah untuk mati.” Maka Dhirarlah orang pertama yang berbai’ah.
Dikatakan: “Dhirar tinggal di Yamamah dalam keadaan cedera, dan kemudian meninggal dunia sehari sebelum Khalid berangkat pergi.”
Dia berkata: “Ini lebih thabit di sisiku daripada yang lain.” (Lihat al-Isti’ab fi Ma’rifah al-Ashab oleh Ibn ‘Abd al-Bar, 1/225)
Ibn al-Athir menyebut bahawa Dhirar ikut serta dalam peperangan Yarmuk pada tahun ke-13 H. (Lihat Usd al-Ghabah, 1/531)
Dapatan kami menunjukkan, ketika menziarahi maqam Dirar bin al-Azwar di Jordan, dengan sebab Ta’un Amawas pada tahun 18 H dan dikebumikan di Ghur al-Urdun dan perkampungan tersebut diberi nama dengan sempenanya.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”