Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. nak tanya. Adakah jatuh talak, jika suami cakap: “Kalau awak nak balik rumah emak awak, bagitahu lah. Saya boleh hantar bila-bila masa.” Ketika diucapkan, dalam keadaan sedang bergaduh suami isteri.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Definisi Talak dan Pensyariatannya

Talak berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, bermaksud pelepasan ikatan nikah dengan ucapan talak, cerai, dan sebagainya oleh suami.

Firman Allah SWT :

ٱلطَّلَـٰقُ مَرَّتَانِ ۖ فَإِمْسَاكٌۢ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌۢ بِإِحْسَـٰنٍ

Maksudnya:” Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik.”

(Surah al-Baqarah: 229)

Syeikh al-Maraghi menyatakan di dalam syarahnya: Ayat ‘sesudah itu bolehlah ia memegang terus’ membawa makna rujuklah kembali bukan dengan niat untuk melukainya. Akan tetapi dengan niat untuk melakukan islah (tambah baik) dan bergaul dengan cara yang baik. Dan ayat ‘melepaskan dengan cara yang baik’ selepas berlaku 3 kali talak,maka berikanlah haknya.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/169)

 

Pembahagian Jenis Talak

Para ulama membahagikan talak dari segi kejelasan lafaz talak kepada dua, iaitu sorih yang bermakna jelas dan kinayah iaitu yang berkemungkinan membawa maksud talak atau tidak. Bagi lafaz sarih ada tiga perkataan yang jika disebutkan jatuhlah talak, Perkataan tersebut ialah cerai, pisah dan lepas.

Contoh lafaz sorih ialah ‘aku lepaskan engkau’ , ‘engkau tertalak’ atau ‘aku lepaskan engkau’. Jika lafaz-lafaz ini disebutkan oleh si suami maka jatuhlah talak bagi si isteri Contoh bagi lafaz kinayah pula ialah ‘pergilah ke ahli keluarga engkau’ , ‘jauhkan diri dari aku’ dan lain-lain lagi. Cumanya, lafaz kinayah ini memerlukan kepada niat si suami. Jika dia berniat mentalakkan maka jatuhlah talak. (Lihat al-Fiqh al-Minhaji, 4/123)

Lafaz kinayah adalah lafaz yang samar-samar. Sama ada jatuh atau tidak talak adalah bergantung kepada niat si suami.

Ibnu al-Qasim al-Ghazzi menyatakan: “Kinayah ialah setiap lafaz yang membawa makna talak ataupun selain daripada itu. Dan ianya memerlukan kepada niat. Jika berniat untuk menceraikan ketika melafazkan lafaz kinayah maka jatuhlah talak. Jika tidak, talak tidak jatuh.” (Lihat Syarh Ibnu al-Qasim ‘ala Matan Abi Syuja, 2/264)

Lafaz talak kiasan adalah semua lafaz yang membawa maksud talak dan maksud yang lain. Terdapat banyak lafaz talak secara kiasan, antaranya:

  • Engkau tiada apa-apa lagi denganku.
  • Engkau berasingan daripadaku.
  • Engkau terputus hubungan denganku.
  • Kembalilah kepada keluargamu.
  • Pergilah ke mana engkau mahu.
  • Pergi jauh daripadaku.
  • Asingkanlah diri daripadaku.
  • Aku biarkan kamu dengan caramu.
  • Engkau haram bagiku.

Semua lafaz ini dianggap sebagai lafaz kiasan yang menunjukkan talak kerana ia membawa maksud talak dan maksud yang lain.

Hal ini berdasarkan hadith, daripada Aisyah R.Anha katanya:

أَنَّ ابْنَةَ الْجَوْنِ لَمَّا أُدْخِلَتْ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَدَنَا مِنْهَا قَالَتْ أَعُوذُ بِاللَّهِ مِنْكَ، فَقَالَ: لَقَدْ عُذْتِ بِعَظِيمٍ، الْحَقِي بِأَهْلِكِ

Maksudnya:Anak perempuan al-Jawn berkata ketika dia dibawa Rasulullah SAW dan Baginda mendekatinya: “Aku berlindung dengan Allah daripadamu.” Lalu, Rasulullah SAW bersabda: “Engkau berlindung dengan yang Maha Agung, maka kembalilah engkau kepada keluargamu.

Riwayat al-Bukhari (4955)

Hukum Lafaz yang Nyata dan Lafaz Kiasan

Seperti yang kami terangkan terlebih dahulu, lafaz talak terbahagi kepada dua secara kinayah atau majaz dan keduanya secara sarih atau hakikat. Adapun secara sarih atau hakikat seperti lafaz cerai, berpisah, dan beberapa kalimat yang lain yang memberi makna talak, maka ia adalah talak tanpa syak lagi dan tanpa perlu ada niat. 

Sebaliknya, jika lafaz kinayah atau majaz contohnya, kata lelaki pada isterinya: “Kamu bebas daripada aku!” atau “Pergilah ke ahli keluarga engkau” dan selainnya. Jika dia berniat menceraikan isterinya dengan lafaz-lafaz tersebut, jatuh talak mengikut bilangan yang diniatkan, dan terjatuh talak satu jika dia tidak menetapkan bilangan talak. Ulama’ Syafie juga meletakkan syarat untuk terjatuhnya talak dengan lafaz kinayah adalah lafaz tersebut mestilah berserta niat, bukan sebelum lafaz atau selepas lafaz. (Lihat Mughni Al-Muhtaj, 4/462)

Justeru, secara ringkasnya, kedua-dua jenis lafaz sama ada lafaz nyata atau lafaz kiasan ada hukum berbeza:

  • Penceraian dengan lafaz yang nyata menyebabkan jatuh talak sama ada berniat talak ataupun tidak. Ini kerana lafaz yang nyata dan maksud yang muktamad menunjukkan talak tidak perlu kepada niat ketika melafazkannya.
  • Lafaz talak kiasan walaupun selalu digunakan untuk maksud talak, seperti: “Engkau haram atasmu,” tidak menyebabkan jatuh talak melainkan apabila suami bermaksud menceraikannya. Jika suami bermaksud yang lain selain talak atau bermaksud apa-apa pun, maka tidak jatuh.

Hal ini berdasarkan hadith, daripada Ka’ab bin Malik RA katanya:

فإِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَمَرَهُ أَنْ يَعْتَزِلَ امْرَأَتَهُ فَقَالَ أُطَلِّقُهَا أَمْ مَاذَا؟ قَالَ: بَلِ اعْتَزِلْهَا فلاَ تَقْرَبَنَّهَا. قَالَ: فَقُلْتُ لاِمْرَأَتِي: الْحَقِي بِأَهْلِكِ.

Maksudnya:Rasulullah SAW menyuruhmu mengasingkan diri daripada isterimu. Lalu, Ka’ab bertanya: “Adakah aku perlu menceraikannya atau bagaimana?” Rasulullah SAW menjawab: “Hendaklah kamu berasingan daripadanya dan jangan sesekali mendekatinya.” Lalu aku memberitahu isteriku: “Kembalilah kamu kepada keluargamu.

Riwayat al-Bukhari (4156) dan Muslim (2769)

Jika lafaz yang digunakan adalah lafaz kinayah, maka kemungkinan jatuh atau tidak adalah bergantung kepada niat si suami. Hal ini adalah berdasarkan apa yang berlaku Kaab bin Malik ketika mana beliau tidak menyertai perang Tabuk. Rasulullah SAW memerintahkan beliau untuk menjauhi isterinya. Lalu Ka’ab berkata :

أُطَلِّقُهَا أَمْ مَاذَا أَفْعَلُ

Maksudnya: Adakah perlu aku menceraikannya atau bagaimana patut aku lakukan?”

Rasulullah SAW menjawab:

لَا بَلْ اعْتَزِلْهَا وَلَا تَقْرَبْهَا

Maksudnya: “Tidak perlu sampai begitu, hanya jauhi dia dan jangan dekatinya.”

Lalu Ka’ab mengkhabarkan perkara tersebut kepada sahabatnya yang tidak pergi ke perang Tabuk bersama beliau. Kemudian beliau (Ka’ab) berkata kepada isterinya:

الْحَقِي بِأَهْلِكِ

Maksudnya:Pergilah ke ahli keluarga engkau.”

Apabila Allah menerima taubatnya, beliau kembali ke isterinya. Tidak pula beliau diperintahkan untuk berakad dengan akad yang baru.

Riwayat al-Bukhari (4419)

Perkataan “Pergilah ke ahli keluarga engkau” menunjukkan bahawa talak tidak akan  jatuh menggunakan lafaz kinayah melainkan dengan niat.

Merujuk ke Mahkamah Syariah untuk Kepastian

Walaubagaimanapun, kami berpandangan untuk merujuk kepada Mahkamah Syariah dan membuat permohonan pengesahan lafaz talak. Hal ini merupakan  satu usaha untuk membuktikan adakah si suami berniat untuk mentalakkan atau tidak.

Justeru, bagi mendapat kepastian, silalah rujuk ke mahkamah Syariah yang terdekat dengan anda kerana keyakinan kepada keputusan yang diperoleh dari hakim adalah bersifat muktamad. Seperti kaedah yang sering kami nyatakan:

حُكْمُ الْحـَاكِمِ يَرْفَعُ الخِلَافَ

Maksudnya: “Keputusan hakim (yakni pemerintah) mengangkat khilaf.”

Kami suka nyatakan juga di sini, janganlah mempermainkan isu talak kerana ia perkara halal yang paling dibenci oleh Allah SWT. Daripada Ibn Umar RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

أَبْغَضُ الْحَلَالِ إِلَى اللَّهِ الطَّلَاقِ

Maksudnya: “Perkara halal yang paling dimurkai Allah adalah talak.” 

Riwayat Abu Daud (2178) dan Ibn Majah (2018)

Begitu juga, sama ada kita bersungguh atau bergurau ia juga boleh menyebabkan berlakunya talak. Diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

ثَلَاثٌ جَدُّهنَّ جَدٌّ وَهَزْلُهُنَّ جَدٌّ: النِكَاحُ، وَالطَلَاقُ، وَالرَّجْعَةُ

Maksudnya: “Tiga perkara yang seriusnya dianggap bersungguh-sungguh dan gurauannya juga dianggap bersungguh-sungguh: nikah, cerai, rujuk semula.”

Riwayat Abu Daud (2194)

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Leave a Reply